Saya mesti mulakan penulisan ini dengan menyampaikan sekalung tahniah kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ketangkasan dan kecekapan menahan warga Israel di Kuala Lumpur yang datang ke Malaysia untuk misi membunuh. Ditahan sebelum dia sempat melakukan apa yang hendak dilakukan.
Orang kena tahan itu sendiri memberitahu polis dia datang untuk membunuh seorang warga Israel di sini “susulan masalah keluarga”. Sama ada benar sasarannya warga Israel atau orang lain (warga Malaysia mungkin?) tidak dapat dipastikan setakat ini.
Polis masih menyiasat. “Mungkin dia ada agenda yang lain yang dia datang sini bermula 12 Mac sehingga tertangkap (Rabu lalu),” kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain kepada media, Jumaat lalu.
Suspek berusia 36 tahun itu mendiami dua atau tiga hotel sebelum ditangkap di sebuah hotel di Jalan Ampang Kuala Lumpur.
Pada hemat saya realitinya dia datang ke sini dengan niat melakukan pembunuhan bersasar atau targeted assassination. Kata Razarudin, polis merampas enam pucuk pistol bersama 200 peluru. Polis sudah menahan pasangan suami isteri warta tempatan yang disyaki membekalkan senjata kepada suspek. Sekali lagi polis bertindak pantas.
Sememangnya sejak awal polis percaya suspek tidak bergerak seorang dan punya kontak di sini yang perlu dikenal pasti. Ertinya selain pasangan suami isteri yang ditahan persoalan juga timbul sama ada suspek ada kontak – warga tempatan atau asing?
Kata Razarudin suspek memasuki Malaysia dengan penerangan yang melalui Emiriah Arab Bersatu (UAE), tiba di KLIA 12 Mac lalu dan memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis.
Mungkin Imigresen boleh memberi pencerahan sama ada ia mempunyai peralatan yang boleh mengesan pasport palsu. Setakat ini tidak ada maklumat mengenai status passport Perancis yang digunakan suspek.
Bagaimana pula warga Israel yang kononnya menjadi sasaran suspek? Jika dia benar benar wujud dan berada di Malaysia bila dan bagaimana pula dia masuk negara? Pasport apa yang dia gunakan? Tulen atau palsu? Ini Imigresen boleh bantu siasatan polis.
Apa pun polis akan mempertingkatkan kawalan keselamatan ke atas pemimpin negara kerana “apa membimbangkan di sini isu di Palestin dan Israel”, kata ketua polis negara.
Pendirian Malaysia mengenai konflik Gaza memang diketahui dunia. Apa lagi kelantangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap keganasan Israel .
Dan apabila media bertanya jika suspek adalah perisik Israel kata Razarudin siasatan polis mengambil kira aspek berkenaan. “Kita siasat ke arah itu,” kata beliau.
Sewajarnya begitu kerana negara pernah ada kejadian dikatakan membabitkan anggota agensi perisik Israel atau Mossad. Imbau kembali kes penculikan dua warga Palestin di ibu negara pada Okt 2022.
Polis waktu itu tidak memberi butiran tetapi menurut laporan media agen Mossad dikatakan mendapat khidmat warga Malaysia untuk melakukan penculikan ke atas warga Palestin yang dipercayai ada kaitan dengan Qassam Brigade, sayap military Hamas. Warga Malaysia terbabit dikatakan bertindak untuk “klien mereka dalam rejim Zionis”.
Polis berjaya mematahkan penculikan itu dan menahan 11 rakyat Malaysia dan dihadapkan ke mahkamah.
Pada 2018, Fadi Mohammed al Batsh ,jurutera Palestin yang dilahirkan di Gaza ditembak mati oleh dua lelaki semasa beliau berjalan dari kediamannya di Setapak Kuala Lumpur untuk ke masjid bagi mendirikan sembahyang subuh.
Dua lelaki itu menunggu berdekatan kondominium Fadi sebelum menyerang hendap menunjukkan pembunuhan sememangnya dirancang dan Fadi ialah mangsa pembunuhan sasaran. Kedua pembunuh melarikan diri dengan menaiki motosikal berkuasa besar.
Keluarga Fadi percaya beliau dibunuh oleh ejen Mossad. Menteri pertahanan Israel waktu itu Avigdor Lieberman menafikan melalui kenyataan siaran akhbar Times of Israel pembabitan pihaknya dalam pembunuhan. Namun Liberman memberitahu radio tentera Israel, Fadi “terlibat dalam rekaan sistem peluru berpandu Hamas”.
Menurut Times of Israel, perintah Israel mempunyai sejarah panjang melancarkan pembunuhan sasaran ke atas musuhnya di Tebing Barat, Gaza dan di tempat lain di dunia. Akhbar itu melaporkan pihak keselamatan Israel menafikan wujud targeted killings. Tetapi pegawai yang bersara sering membincangkan dasar itu secara terbuka pada sesi temubual awam.
Menurut Wikipedia Mossad ditubuhkan pada 13 Disember 1949. Agensi itu berperanan mendapat dan mengumpul maklumat atau intelligence collection, melancar operasi sulit dan “menentang keganasan”. Bajet tahunannya dikatakan sekurang sekurang-kurangnya USD2 billion dan dikatakan mempunyai lebih 7,000 anggota membuatnya antara agensi espionage terbesar di dunia. Dan Mossad dikatakan melaporkan terus kepada perdana Menteri Israel.
Ada anggotanya dipanggil “katsa” (istilah Hebrew) yang tugasnya mengumpul maklumat secara rahsia, ringkasnya “spy”. Kemudian ada “kidon”. Mereka adalah kumpulan elite assassin atau pembunuh. Kidon dilatih di pusat latihan Mossad di Herzliya.
Satu lagi kumpulan ialah “sayanim” ialah pembantu. Mereka memberi bantuan logistik untuk operasi Mossad. Sayanim bergerak merata dunia. Mereka memegang dua kerakyatan lazimnya. Menurut wartawan penyiasat British Gordon Thomas ada 4,000 sayanim di Britain dan 16,000 di Amerika Syarikat (AS). Thomas meninggal dunia pada 2017.
Berbalik penahanan warga Israel yang disebut tadi. Kita yakin siasatan polis dijalankan dengan menyeluruh demi keselamatan negara. Sesungguhnya pelbagai aspek mesti diteliti dan disiasat rapi. Seribu satu persoalan mesti dijawab. Kita pasti itulah yang polis sedang cuba lakukan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.