`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, November 30, 2024

Bersatu Sarawak mahu tanding 12 kerusi, gesa pemimpin kerap turun padang

 

Free Malaysia Today
Pemimpin Bersatu Sarawak yakini peluang pada PRN akan datang, mengatakan parti itu satu-satunya pembangkang yang kuat di Sarawak.

SHAH ALAM
Bersatu Sarawak meminta pertimbangan pusat untuk bertanding 12 DUN pada PRN yang dijangka pada 2026, dengan memberi keyakinan mereka telah pun bersedia.

Wakilnya, Ambrose Labang Anak Jamba, berkata Bersatu mendapat sambutan baik dari rakyat Sarawak dan PRN akan datang masa terbaik untuk bertanding.

Ambrose yang juga ahli badan pimpinan Bersatu Sarawak membawa usul berkenaan ke perhimpunan agung tahunan parti hari ini.

“Kita nak minta peringkat nasional beri kita sokongan… sekurang-kurangnya 12 bahagian dah bersedia untuk PRN,” katanya kepada pemberita di IDCC Shah Alam.

Ambrose menggambarkan Bersatu sebagai satu-satunya pembangkang yang kuat di Sarawak.

“Bersatu sahaja pembangkang yang kuat di sana, yang lain kerajaan dan yang belum ditubuhkan belum tahu sama ada mereka boleh bertanding atau tidak,” katanya.

Pada PRN Sarawak Dis 2021, Bersatu memutuskan tidak bertanding serta bersetuju membantu kempen Gabungan Parti Sarawak (GPS), walaupun wujud gesaan akar umbi supaya meletakkan calon.

Bersatu Sarawak turut melucutkan keahlian tiga individu yang bertanding sebagai calon bebas pada PRN berkenaan.

Penggal DUN Sarawak akan berakhir pada 2026 dengan PRN terakhir diadakan pada 20 Disember 2021, melibatkan 82 kerusi.

Sementara itu, Ambrose yang juga ketua Bersatu Julau menggesa pemimpin pusat supaya turun ke Sarawak dengan kerap.

“Ada turun tapi kurang, hanya Presiden Muhyiddin Yassin dan Wan Saiful Wan Jan sahaja yang turun yang lain mana ada.

“Pemimpin lain mesti turun dan beri sokongan kepada kami disana,” tegasnya.

Dalam pada itu, pembahas Sabah, Muhammad Affan Jumahat, menggesa Bersatu bentuk struktur pilihan raya lebih awal bagi menghadapi PRN Sabah dijangka tahun depan.

Menurutnya, parti itu perlu menampilkan calon yang tinggi integriti, bagi mengelak peristiwa pemimpin keluar parti seperti sebelum ini.

“Kita tak boleh bekerja saat akhir. Calon juga perlu dikenal pasti di Sabah untuk kita bekerja lebih awal,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.