`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, November 30, 2024

PH-BN yakin tembus ‘politik penglipur lara’ Sanusi

Free Malaysia Today
Mahfuz Omar berkata Kedah yang dipimpin Menteri Besar Sanusi Nor gagal menyelesaikan masalah rakyat.

PETALING JAYA
Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mahu menembusi ‘politik penglipur lara’ Menteri Besar Kedah Sanusi Nor dengan meningkatkan keyakinan pengundi terhadap kemampuan kerajaan perpaduan.

Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar, berkata diakui Sanusi mempunyai aura yang mampu ‘memberi kegembiraan’ pada luaran namun hakikatnya negeri ditadbir PAS itu gagal, merujuk beberapa perkara asas seperti bekalan air bersih masih belum selesai.

Katanya, ‘kegembiraan sementara’ itu seakan-akan sudah berakhir apabila rakyat Kedah khususnya anak muda ketika ini terdidik untuk melihat penyelesaian kepada permasalahan dihadapi masyarakat setempat.

“Sanusi mempunyai sedikit pendekatan penglipur lara. Memberi kegembiraan pada luaran bergelak, maki orang dan sebagainya yang menunjukkan dia seperti seorang badut boleh memberi kegembiraan kepada orang tapi hakikatnya ia tidak beri satu kehidupan.

“Akhirnya, rakyat dapat melihat kerajaan Madani lebih berkeupayaan menyediakan penyelesaian kepada masalah kehidupan rakyat negeri ini dan kita tak boleh hidup dalam angan-angan dengan Kedah The Greater 2050,” katanya kepada FMT.

The Greater Kedah 2050 dilancarkan bulan lalu – rangka tindakan hala tuju negeri untuk dicapai menjelang 2050 merangkumi pelan perancangan sedia ada antaranya, Pelan Pembangunan Kedah 2035 (Kedah 2035), Pelan Strategik Ahli Majlis Kerajaan Negeri 2024-2028 serta Rancangan Struktur Negeri (RSN).

Sebelum ini, penganalisis berkata PH dan BN perlu meyakinkan rakyat Kedah yang ia boleh memajukan negeri itu dengan lebih baik jika mahu merampasnya daripada PAS.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata tumpuan perlu diberikan khususnya pengundi Melayu yang dikatakan lebih senang mengundi PAS biarpun tidak banyak menerima pembangunan fizikal seperti Kelantan dan Perlis.

Free Malaysia Today
Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata rakyat juga boleh melihat tuduhan politik dendam dimainkan pembangkang terhadap persekutuan adalah tidak benar apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini berjaya membawa masuk pelaburan bernilai RM2.16 bilion oleh Hyundai Motor ke Kulim.

Beliau percaya, melihat kepada prestasi kerajaan pusat hari gabungan PH-BN ada tawaran lebih baik apabila gelanggang pilihan raya dibuka.

“Soal politik dendam adalah sentimen kosong dan tunggangan kosong yang cuba dibawa kerajaan negeri nak meletakkan semua salah kepada pusat dan menggambarkan mereka mangsa.

“Mereka bukan mangsa tapi keculasan dan tak mahir memimpin negeri,” katanya.

Mengulas pembahagian kerusi antara dua parti, Shaiful berkata setakat ini belum ada perbincangan rasmi mengenai tuntutan masing-masing.

Katanya, ini kerana masing-masing gagal merebut sebarang kerusi Parlimen pada PRU15 kecuali Sungai Petani yang dimenangi Taufiq Johari daripada PKR.

“BN kalah, PH pun kalah yang ‘confirm’ adalah Sungai Petani (milik PH)…yang lain masih terbuka untuk perbincangan.

“Jadi tak ada mana-mana pihak boleh dakwa itu kerusi dia ini kerusi dia sebab masa PRU lepas semua kalah,” katanya sambil menambah tidak akan wujud pertembungan kerusi antara kedua-dua gabungan pada pilihan raya akan datang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.