`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, November 25, 2024

Jual sawit: Orang Asli lebih selesa berurusan dengan Jakoa

 

Free Malaysia Today
Syarat mewajibkan geran tanah dan lesen bagi penjualan buah kelapa sawit diwujudkan bagi memenuhi standard Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah.

PETALING JAYA
Sebuah parti politik merayu kerajaan membenarkan Orang Asli yang mahu menjual buah kelapa sawit tetapi tidak memiliki geran tanah dan lesen hanya perlu mendapatkan pengesahan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Parti Orang Asli Malaysia menyokong ‘dasar lama’ itu, memandangkan komuniti berkenaan lebih selesa berurusan dengan institusi kerajaan berbanding syarikat bawah kerajaan negeri, mengambil contoh Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (Oraco) yang ditubuhkan kerajaan Pahang.

Presidennya Rashid Ka mendakwa, ada dalam kalangan Orang Asli merasakan Oraco mahu mengambil alih ladang yang mereka bangunkan secara sendirian, di atas tanah yang banyak tidak diwartakan.

Rashid Ka'.
Rashid Ka’.

“Apabila Oraco masuk ambil hasil sawit ramai Orang Asli tak setuju.

“Jadi saya cadang soal pengesahan penjualan hasil sawit Orang Asli biar Jakoa uruskan, bukan melalui kerajaan negeri yang menubuhkan syarikat,” katanya kepada FMT.

Selasa lalu Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Abdul Ghani, berkata Orang Asli yang mahu menjual buah kelapa sawit tetapi tidak memiliki geran tanah dan lesen perlu merujuk kepada kerajaan negeri masing-masing.

Beliau berkata, syarat pemilikan geran tanah dan lesen kepada penjual kelapa sawit terpakai untuk semua pemain industri kelapa sawit dalam negara.

Johari menjelaskan, penebangan hutan tanpa kebenaran bagi penanaman kelapa sawit tidak melayakkan Orang Asli untuk memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), justeru menyebabkan kumpulan itu tidak dapat menjual hasil mereka.

Katanya, syarat mewajibkan geran tanah dan lesen bagi penjualan buah kelapa sawit diwujudkan bagi memenuhi standard Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Bagi memenuhi syarat pensijilan Eropah katanya, mana-mana tanah yang ditanam kelapa sawit wajib mempunyai hak milik.

Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakob, pada Isnin meminta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melonggarkan syarat penjualan buah kelapa sawit tanpa perlu mewajibkan geran tanah dan lesen kerana ia membebankan pekebun kecil khususnya masyarakat Orang Asli.

FMT sedang mendapatkan respons Oraco berhubung dakwaan Rashid. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.