`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, November 26, 2024

Kes remaja hamil luar nikah, khalwat di Kelantan berkurangan

 

Free Malaysia Today
Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan berkata penurunan itu menunjukkan pelaksanaan pelbagai program dan pendekatan lain memberi impak dalam menangani gejala sosial di negeri terbabit.

KOTA BHARU
Kes hamil luar nikah dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 19 tahun di Kelantan menunjukkan trend penurunan dari 2021 hingga 2023, kata Timbalan Menteri Besar, Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dirujuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan menunjukkan daripada 146 kes hamil luar nikah pada 2021, jumlah itu berkurangan kepada 136 kes pada 2022 dan 61 kes tahun lepas.

“Bilangan kes khalwat di Kelantan turut mengalami penurunan, iaitu 196 kes pada 2022, susut kepada 86 kes bagi 2023.

“Ini menunjukkan langkah kerajaan melaksanakan pelbagai program sama ada melalui pendidikan, peranan exco kebajikan, pembangunan keluarga dan wanita beserta pendekatan lain memberi impak dalam menangani gejala sosial di Kelantan,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-undang itu berkata, kerajaan negeri turut mengambil pendekatan menubuhkan jawatankuasa induk bagi menangani gejala sosial di Kelantan.

Menurutnya, jawatankuasa itu bukan hanya dianggotai agensi kerajaan negeri, tetapi juga agensi kerajaan persekutuan termasuk polis, Jabatan Pendidikan dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri.

“Kita tidak memandang sepi isu gejala sosial di Kelantan dan kerana itu kita ambil pendekatan ini dengan membahagikannya kepada sembilan kluster,” katanya sambil menambah kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas untuk menangani isu berkenaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.