Perdana menteri memberi contoh pertikaian Malaysia dengan Norway berhubung urusan pertahanan.

Merujuk pertikaian Malaysia dengan Norway berhubung satu perjanjian berkaitan pertahanan, Anwar berkata Malaysia sudah membayar 95% daripada nilai kontrak bagi sistem peluru berpandu serangan laut.
Namun menurutnya Malaysia tidak menerima penjelasan memuaskan berhubung keputusan Norway membatalkan lesen eksport itu, walaupun telah diminta berkali-kali.
“Jika beginilah cara negara Eropah melayan kami, sedangkan negara lain pula memilih untuk berdiam diri, maka kami terpaksa mencari alternatif dan tidak lagi berurusan dengan mereka,” katanya menurut Bernama dalam temu bual eksklusif bersama rangkaian televisyen Rusia, RT.
Kerajaan Norway dilaporkan menarik balik lesen eksport itu pada Mac, hanya beberapa hari sebelum penghantaran dijadualkan dibuat. Keputusan itu dikatakan berpunca daripada kawalan eksport yang lebih ketat terhadap teknologi ketenteraan sensitif.
Menteri Pertahanan Khaled Nordin pada 2 Jun berkata keputusan sepihak itu menyebabkan Malaysia mengalami kerugian langsung melebihi RM600 juta, manakala kerugian tidak langsung boleh melebihi RM1 bilion.
Anwar menegaskan Malaysia sudah memenuhi semua tanggungjawabnya di bawah kontrak berkenaan.
“Ini benar-benar tidak masuk akal. Bagi saya, ia tidak boleh diterima dan amat mengecewakan bagi sebuah negara seperti Norway, yang sebelum ini mempunyai hubungan sangat baik dengan kita, membuat keputusan tanpa memberi sebarang penjelasan,” katanya.
Beliau berkata beliau sudah bercakap dengan Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Støre, yang memohon maaf tetapi menyatakan kebimbangan keselamatan sebagai alasan di sebalik keputusan itu.
Anwar berkata Malaysia turut menghantar wakil ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan penjelasan, dan dimaklumkan bahawa Washington tidak terlibat dalam perkara itu.
“Jadi, jelas mereka melayan kita seolah-olah kita ini sebuah ‘banana republic’. Ini menunjukkan keangkuhan mereka. Kita sudah membantah dengan keras dan perkara ini tidak akan berakhir begitu sahaja,” katanya.
Membandingkan perkara itu dengan hubungan Malaysia bersama Rusia, Anwar berkata Moscow tetap memenuhi komitmennya walaupun berdepan kesukaran akibat sekatan dan kekangan terhadap sistem pembayaran.
“Rusia memenuhi semua komitmennya, walau sesukar mana sekalipun. Kita tidak menemui sebarang pelanggaran. Itu hakikatnya, berbeza dengan propaganda besar-besaran Barat terhadap Rusia. Saya tidak berkongsi pandangan mereka,” katanya.
Anwar berkata Malaysia juga melihat masih banyak potensi yang belum dimanfaatkan dalam kerjasama ekonomi dengan Rusia, walaupun Amerika Syarikat merupakan rakan dagang dan pelabur utama Malaysia, manakala perdagangan dengan China pula berkembang dengan ketara.
“Daripada teknologi digital dan kecerdasan buatan kepada keselamatan siber serta pertanian moden, semua ini adalah bidang yang perlu kita teroka,” katanya sambil menambah bahawa beliau amat berterima kasih kepada Presiden Rusia Vladimir Putin atas sokongannya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.