Exco Wanita PKR Farahida Fauzi minta pihak berkuasa jalan siasatan terhadap 'Eric See-To' dengan segera, telus dan tanpa pilih kasih.

PETALING JAYA Wanita PKR membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Eric See-To, atau Lim Sian See, berhubung hantaran yang didakwa mempersendakan ungkapan berkaitan ayat suci al-Quran, supaya siasatan sewajarnya dijalankan.
Exco Wanita PKR Farahida Fauzi berkata, susulan laporan dibuat di IPD Kuantan pada kira-kira 12 tengah hari tadi, pihak berkuasa diminta menjalankan siasatan dengan ‘segera, telus dan tanpa pilih kasih’.
“Sekiranya terbukti berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan tegas hendaklah diambil tanpa berlengah,” kata Farahida yang juga timbalan ketua Wanita PKR Pahang dalam kenyataan, lapor Bernama.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak mempermainkan agama bagi meraih perhatian, mencetuskan provokasi atau mengejar populariti.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mendesak individu itu memohon maaf secara terbuka kerana mempersenda penggunaan perkataan ‘lighad’.
Akmal menyifatkan tindakan tersebut sebagai memperlekehkan ayat suci al-Quran yang tidak boleh dipandang ringan.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan menegaskan kesucian al-Quran sebagai sumber utama ajaran Islam hendaklah sentiasa dihormati dan dipelihara.
Sebarang tindakan memperolok-olokkan atau menghina lafaz suci al-Quran adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh menyentuh sensitiviti umat Islam, tambahnya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.