`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Monday, October 12, 2026

Tutup sekolah asrama, segerakan audit keselamatan

 Kita perlu menyifatkan masalah buli sebagai 'threat to nation' dan mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikannya.

tajuddin rasdi

Orang Melayu ada pepatah, sudah terhantuk baru tengadah. Maknanya, apabila sesuatu yang buruk berlaku, barulah kita sedar untuk berbuat sesuatu. Sesuatu yang dibuat itu sudah tentulah perubahan yang agak drastik supaya tidak terhantuk lagi. Namun demikian, dalam kes buli yang mengakibatkan kematian, kecederaan dan trauma, orang Melayu seperti ‘sudah terhantuk terus lali dan tidur’. Sebabnya, banyak insiden yang terpaksa kita tanggung sebagai rakyat dan orang Melayu, tetapi ia tetap berlaku. Selang beberapa hari di Negeri Sembilan yang kini tersohor dengan kemelut pemerintahan tidak berkesudahan, kita dengar kes buli di sekolah berasrama. Ada juga kes buli yang mengakibatkan kematian di sekolah awam, tetapi perkara itu, bagi saya lebih mudah diselesaikan. Saya hendak cuba selesaikan masalah buli di sekolah berasrama dulu sebab ia paling teruk dan memalukan orang Melayu. Sebabnya kita tak pernah dengar kes buli yang mencederakan mangsa, mati atau trauma dari sekolah vernakular Cina atau India. Mungkin sebab sekolah vernakular tidak ada asrama penuh seperti orang Melayu.

Saya mendesak semua sekolah berasrama ditutup, paling kurang enam bulan atau setahun. Sudah tentu akan ada backlash besar daripada ibu bapa yang lebih mementingkan pelajaran. Cadangan saya adalah semua pelajar sekolah berasrama ditempatkan sementara di sekolah awam berdekatan sehingga segala peralatan keselamatan, SOP pentadbiran dan latihan mengenal pasti buli yang disertai semua guru sekolah agama dilaksanakan.

Pertamanya, Kementerian Pendidikan dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) perlu membiayai audit di semua sekolah berasrama yang akan dijalankan sebuah firma audit keselamatan paling profesional. Mungkin firma ini mempunyai kriteria audit sendiri, tetapi saya ingin mengemukakan beberapa pemerhatian saya untuk diambil kira.

Pertama, audit perlu dijalankan terhadap keberkesanan penempatan CCTV di tempat strategik, bukan ikut suka pentadbir sekolah. Jumlah dan visual coverage CCTV perlu ditentukan secara khusus dan mengikut kajian mendalam, selain mewujudkan bilik kawalan CCTV oleh pengawal terlatih.

Kedua, cadangan saya bahawa pengasingan asrama untuk pelajar senior dan junior perlu dilakukan supaya tidak bercampur di luar bilik darjah. Tempat sembahyang, kantin, riadah dan tandas perlu diasingkan atau mengikut giliran supaya tiada percampuran senior dan junior langsung. Audit harus memastikan perkara paling penting ini.

Ketiga, cadangan saya supaya warden dan pengawal keselamatan meronda sekeliling sekolah dan asrama secara rambang sekurang-kurangnya tiga kali setiap hari, walaupun CCTV beroperasi. Imej pengawal meronda penting supaya pembuli tidak berani bertindak sewenang-wenangnya. Penggunaan dron sebagai kawalan tambahan boleh dijadikan amalan keselamatan.

Keempat, audit harus memastikan semua pintu bilik darjah, dewan atau makmal dan setor dikunci apabila tidak digunakan. Kematian pelajar Tingkatan 4, Irene Sofiya Mohd Khairoul Faisal di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor mungkin dapat dihalang, jika pintu dewan dikunci, tetapi kini ‘nasi sudah menjadi bubur’.

Kelima, semua guru sekolah harus mengikuti kursus mengenal pasti buli dalam kalangan pelajar serta membuat persediaan seperti kaedah menyoal pelajar, pemerhatian kelas serta penulisan laporan tindakan kepada guru disiplin. Guru yang sekolah asrama diaudit akan ditempatkan di sekolah berdekatan rumah mereka selepas kursus disempurnakan.

Keenam, audit juga perlu memastikan ‘penalti’ dikenakan terhadap kakitangan pentadbiran dan warden apabila kejadian buli mengakibatkan kecederaan serius serta kematian. Setakat ini, tidak kira berapa ramai pelajar yang mati atau cedera dibuli, kakitangan pentadbiran tetap dinaikkan pangkat dan gaji bertambah setiap tahun.

Akhir sekali, tiba masanya menyimpulkan kebenaran yang perit, penyeliaan sekolah berasrama gagal menjadi payung keselamatan dan kesihatan anak Melayu kita. Kita perlu menyifatkan masalah buli sebagai threat to nation dan mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikannya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.