`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, February 5, 2013

ALW 2012 CABUL KEDAULATAN SABAH




Oleh: LAHIRUL LATIGU

PERSIDANGAN Dewan Rakyat yang bersidang pada April tahun 2012 lalu telah meluluskan penggubalan Rang Undang-Undang Laut Wilayah 2012. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semasa sesi penggulungan rang undang-undang ini, telah mengatakan sebab penggubalan undang-undang tersebut adalah kerana memandangkan tiada undang-undang persekutuan lain yang menetapkan lebar laut wilayah Malaysia selain daripada Ordinan N0.7 1969 yang dibuat di bawah Proklamasi Darurat 1969 dan Akta Zon Ekonomi Ekslusif 1984 (Akta 311).

Meskipun akta ini adalah bertujuan menetapkan lebar laut wilayah Malaysia, namun perlu dilihat juga sebagai satu akta yang bakal menghapuskan hak dan kuasa kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang sudah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan dipelihara dalam Perkara 2 Perlembagaan Malaysia.
Ini sekaligus menyaksikan kedaulatan, kehormatan dan hak kerajaan Negeri Sabah bakal 'hilang' buat selama-lamanya sekiranya akta ini diluluskan.

Perkara 2, Perlembagaan Malaysia merangkumi:

Penerimaan masuk wilayah-wilayah baru ke dalam Persekutuan. Parlimen boleh melalui undang-undang:

a) menerima masuk Negeri-negeri lain ke dalam Persekutuan

b) mengubah sempadan mana-mana Negeri

tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.

Dalam Section (2) of the North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954 ada menyebut:

“The boundaries of the colony of North Borneo are hereby extended to include the area of the continental shelf being the seabed and its subsoil which lies beneath the high seas contiguous to the territorial waters of North Borneo.”

Secara ringkas, mengikut ordinan ini telah menetapkan bahawa sempadan bagi Negeri Sabah meliputi pelantar benua dan dasar laut serta tanah di bawahnya.

Kerajaan Persekutuan juga telah didapati gagal untuk mengawal selia pelantar benua dan dasar laut serta tanahnya walaupun meluluskan beberapa akta lain lagi yang dilihat memihak kepada Kerajaan Persekutuan.

Berdasarkan dua (2) seksyen utama yang terkandung dalam Akta Laut Wilayah 2012 iaitu Seksyen 3 dan Seksyen 4 ini, kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak sedikit sebanyak telah terjejas.

Akta ini menghadkan wilayah laut di semua negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak hanya kepada tiga (3) batu nautika, berbanding dengan kuasa Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang meliputi keseluruhan pelantar benua seperti yang termaktub dibawah North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954.

1. Seksyen 3, Akta Laut Wilayah 2012:

Bagi maksud Akta Pelantar Benua 1966 (Akta 83), Akta Perlombongan Petroleum 1966 (Akta 95), Kanun Tanah Negara (Akta 56/ 65) dan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah yang berkuat kuasa di Sabah dan Sarawak, apa-apa sebutan mengenai laut wilayah dalamnya hendaklah berhubung dengan mana-mana wilayah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai bahagian laut itu yang berdampingan dengan pantai wilayah itu tidak melebihi 3 batu nautika diukur dari garis air surut.

Kedaulatan berkenaan dengan laut wilayah, dan berkenaan dengan dasarnya dan tanah bawahnya, terletak hak pada dan dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai hak Malaysia.

Justeru, dua seksyen dalam Akta Laut Wilayah 2012 yang baru diperkenalkan ini dilihat ingin 'menghapuskan secara halus' kedudukan istimewa, kuasa negeri dan hak Negeri Sabah dan Sarawak ke atas pelantar benua tersebut.

Sekiranya akta ini berjaya dibentuk dan diiktiraf sebagai akta sah yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, maka tidak ada bezanya kedudukan Sabah dan Sarawak seperti Kelantan dan Terengganu termasuk dalam pembayaran royalti petroleum.

Royalti petroleum akan tertakluk kepada hanya ehsan Kerajaan Persekutuan semata-mata dan tidak lagi wajib dibayar sebagai satu kewajipan dalam perjanjian.

Dengan kebimbangan inilah Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah berpendapat, bukan setakat Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak patut menolak akta ini, malah setiap wakil ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak perlu menyatakan pendirian mereka terhadap akta ini.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah juga mengajak rakyat dikedua-kedua buah negeri Sabah dan Sarawak untuk bersama-sama mempertahankan kuasa dan hak sedia ada ini bagi menjamin sebuah negeri yang berdaulat, berprinsip dan tidak mudah dijadikan bahan eksploitasi mana-mana pihak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.