Datuk kena cekup separuh bogel
KUALA LUMPUR - “Jangan ambil wang itu, takut hilang. Saya sudah kumpul lama untuk beli rumah,” kata seorang lelaki selepas pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menemui wang RM15,000 ketika pemeriksaan dilakukan di bilik sebuah hotel, di sini, semalam.
Lelaki berusia 20 tahun itu ditahan bersama pasangannya, seorang remaja berusia 16 tahun antara 10 pasangan yang ditahan sempena pada malam sambutan Hari Kekasih.
Ketika disoal penguat kuasa, lelaki dari Kuala Lumpur itu berkali-kali memberitahu wang itu adalah untuk membayar pendahuluan pembelian rumah yang disimpan hasil perniagaan yang diusahakan.
Sementara itu, sepasang pelajar berusia 17 tahun yang cuba menipu pihak berkuasa kononnya mereka adik-beradik, ditahan kerana disyaki berkhalwat, di bilik sebuah hotel.
Apabila diberitahu pegawai penguat kuasa bahawa kes mereka akan dimaklumkan kepada ibu bapa mereka, mereka menangis dan minta dilepaskan.
Datuk dicekup dengan janda
Dalam operasi sama juga, seorang ahli perniagaan berpangkat datuk ditahan bersama seorang janda di sebuah bilik di hotel bajet di Jalan Tiong Nam, awal pagi semalam.
Datuk yang berumur 60 tahun berada dalam bilik bersama wanita berusia 29 tahun apabila pihak penguat kuasa mengetuk pintu bilik.
Setelah pintu dibuka selepas diketuk kira-kira 15 minit, datuk itu didapati dalam keadaan separuh bogel, sementara wanita itu berkemban.
Janda itu difahamkan memberitahu pihak penguat kuasa bahawa dia susah dan sedar apa yang dilakukan adalah satu kesalahan.
Datuk itu pula mengaku tiada pertalian sah dengan wanita berkenaan.
Pihak penguat kuasa juga menahan seorang wanita hamil lapan bulan dan seorang lelaki yang disyaki berkhalwat.
Jawi menyifatkan jumlah tangkapan khalwat yang rendah pada malam sambutan Hari Kekasih semalam membuktikan umat Islam di negara mempunyai kesedaran untuk tidak terlibat dalam gejala kemaksiatan.
Pegawai Penguat Kuasa Kanan Perhubungan Awam Jawi, Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, operasi di lapan hotel murah sekitar Kuala Lumpur dan Tasik Titiwangsa mencatatkan penahanan paling sedikit, iaitu sebanyak 10 pasangan.
“Tangkapan ini adalah melalui operasi pihak kami secara berterusan di kawasan Kuala Lumpur.
“Ini tangkapan paling kecil bilangannya dan ia menunjukkan penurunan daripada tangkapan pada tahun sebelumnya,” katanya di pejabat Jawi, semalam.
Menurutnya, pasangan yang ditahan berusia 13 hingga 50 tahun itu turut menerima tiga surat perintah hadir di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang membawa hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan.
Bermadu kasih bersama teman lelaki, ibu sanggup tinggal anak
JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal sanggup meninggalkan dua anaknya berusia enam dan 14 tahun semata-mata untuk meraikan Hari Kekasih bersama teman lelakinya di sebuah hotel murah di Taman Ungku Tun Aminah, di sini.
Lebih memeranjatkan, wanita berusia 40an dan lelaki berusia 33 tahun itu yang tinggal dalam kampung sama di Pontian mengaku datang ke hotel terbabit untuk memadu kasih bersama kekasihnya yang mempunyai tiga anak dan sudah beristeri.
Pasangan itu antara 36 individu yang ditahan dalam Ops Mawar Merah yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij).
Timbalan Pengarah Operasi Jaij, Ramly Jusoh berkata, operasi bermula jam 9 malam hingga 3 pagi itu membabitkan hotel sekitar Danga Bay, Taman Perling, Bukit Indah, Nusa Bestari, Taman Tan Sri Yaakob dan Taman Ungku Tun Aminah.
Menurutnya, operasi yang membabitkan sepasukan 13 pegawai dan anggota Jaij itu memeriksa kira-kira 19 hotel murah bagi mengekang umat Islam di negeri ini menyambut sambutan Hari Kekasih.
“Daripada 36 yang ditahan, tiga daripadanya bukan beragama Islam dan berasal daripada Singapura dan Filipina.
Mereka yang ditahan berumur 18 hingga 45 tahun.
“Pemeriksaan hari ini pada sebelah pagi menahan 14 orang. Kita akan meneruskan operasi ini hingga malam ini bagi mengesan pasangan bukan muhrim yang meraikan sambutan ini,” katanya di sini, semalam.
Ramly berkata, pasangan yang ditahan dibawa ke Jaij untuk diambil keterangan dan kesemuanya disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan -SH
Ops Jejak Kekasih berjaya tahan 10 pasangan sambut Hari Valentine Pasangan yang ditahan di sekitar negeri ini pagi semalam dibawa ke pejabat Jaipp di Butterworth
BUTTERWORTH - Seorang ibu tunggal beranak satu merupakan seorang daripada 40 yang ditahan dalam Ops Jejak Kekasih pada sambutan Hari Valentine, pagi semalam.
Dalam operasi cegah maksiat yang dijalankan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) itu, wanita yang bekerja sebagai penyanyi kelab malam itu ditahan di sebuah ‘service apartment’ bersama pasangannya di Gelugor.
Ketua Unit Operasi Penguatkuasaan JAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, kesemuanya ditahan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996.
Menurutnya, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun ataupun kedua-duanya.
Kesemuanya yang berusia lingkungan 19 sehingga 52 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula pukul 11.30 malam sehingga 6 pagi di sekitar Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR), pantai Queensbay dan motel murah sekitar Tanjung Bungah serta Gelugor.
“Kebanyakan pasangan menggunakan alasan yang sama iaitu mereka tidak buat apa-apa manakala ada yang telah bertunang dan bakal menikah tidak lama lagi.
“Ada juga yang menangis walaupun kami masih belum menangkap mereka dan hanya menjalankan soal siasat untuk mengenal pasti identiti mereka yang ditahan.
“Kesemuanya dibawa ke pejabat agama di sini untuk disoal siasat dan dibebaskan dengan jaminan oleh ahli keluarga masing-masing serta akan didakwa di Mahkamah Syariah,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun turut ditahan bersama pasangannya yang bukan Muslim.
“Hasil pemeriksaan mendapati, lelaki tersebut seorang ahli perniagaan dan merupakan orang tempatan manakala anak isterinya bermastautin di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, serbuan telah dijalankan di lima buah lokasi dengan 15 pegawai penguat kuasa dan dibantu Unit Cawangan Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kebanyakan yang ditahan merupakan orang tempatan dan ada juga yang berasal dari Kedah, Selangor dan Kelantan, malah kami menyasarkan kawasan serbuan merangkumi hotel bajet dan motel.
“Tahun ini, jumlah tangkapan berkurangan dan kami tidak menolak kemungkinan yang mereka memilih tempat lain untuk bermalam.
“Saluran maklumat daripada orang ramai diperlukan bagi membantu mencegah maksiat secara efektif,” katanya -SH
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.