`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, April 15, 2013

Najib rayu rakyat jangan ‘UBAH’


KL TODAY

 

Rakyat diminta bijak membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti dan tidak terpengaruh dengan kempen ‘ubah’ yang dilaung-laungkan oleh pihak pembangkang bagi mengelakkan mereka menyesal dan kecewa pada kemudian hari.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pada masa ini terdapat pihak-pihak yang tertarik dengan slogan ‘ubah’ seolah-olah dengan melakukan perkara itu ia akan dapat menyelesaikan banyak masalah.
Menurut beliau, rakyat perlu berfikir secara rasional dan sepatutnya mengekalkan kerajaan sedia ada kerana ia telah terbukti dapat menunaikan segala aspirasi rakyat termasuk menyediakan pengangkutan awam yang banyak memberikan kemudahan kepada rakyat.
“Apa yang penting bukanlah ubah itu, sebaliknya keberhasilan daripada setiap yang dilakukan untuk rakyat dan pembangunan negara.
“Kerajaan yang ada sekarang berjaya membuktikan bahawa setiap program berkaitan dengan dasar transformasi negara menjurus kepada usaha menjaga kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan (TBS) di sini semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membuktikan keberhasilan dalam menunaikan segala janji kepada rakyat.

Katanya, langkah yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini merupakan contoh terbaik yang perlu dinilai oleh rakyat dan tiada sebab untuk mereka cuba mengubahnya.
Perdana Menteri berkata, segala kemudahan yang disediakan kerajaan itu pada mulanya dikutuk oleh pihak-pihak tertentu tetapi kini mereka pula mengidamkan untuk memiliki kemudahan tersebut.
“Cuba bayangkan jika Malaysia tanpa KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Putrajaya, TBS, KLCC (Menara Berkembar Petronas), jambatan Pulau Pinang dan Lebuh Raya Utara Selatan.
“Sudah tentu kita akan rasa kemunduran kerana tidak mampu bersaing dengan negara-negara lain yang membangun,” ujarnya.
Justeru, Najib berharap rakyat tidak membuat keputusan yang merugikan diri mereka pada PRU-13 nanti dengan memilih kerajaan yang silap.
Pada majlis berasingan, Perdana Menteri turut melakukan upacara pelepasan belon gergasi sebagai gimik dan tanda sokongan pihak Maju Holdings Sdn. Bhd. terhadap BN pada PRU-13 nanti.

Sementara itu, Najib memberitahu, pembinaan Terminal TBS dengan kos RM570 juta merupakan salah satu daripada inisiatif kerajaan bagi menjayakan Pelan Transformasi Kerajaan dan ia terkandung dalam Bidang Keberhasilan Utama Kebangsaan yang melibatkan penambahbaikan Sistem Pengangkutan Awam Bandar.
“Sistem rangkaian pengangkutan awam yang efisien, kos efektif dan berkesan mampu meningkatkan produktiviti rakyat dan dapat mengurangkan kos saraan hidup.
“Seperti mana kita dapat saksikan, kemudahan di TBS sangat canggih dan bertaraf lima bintang serta lebih moden dan selesa daripada kebanyakan lapangan terbang dalam dan luar negara,” katanya.
Najib memberitahu, kerajaan juga akan membina terminal bersepadu timur di Gombak, Selangor bagi mengurangkan kesesakan dan melicinkan pergerakan keluar masuk ke ibu negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.