`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, April 20, 2013

PAS NS terpaksa menang banyak kerusi untuk menutupi kelemahan PKR



Saya berasal dari Negeri Sembilan maka tidak hairan jika ramai yang bertanya tentang keadaan dan ‘status’ peluang kedua-dua pihak dalam pilihanraya kali ini. Saya tidak dapat memberikan secara terperinci kerana saya kurang bergiat di NS dalam siri kempen selama ini. Sebab kenapa saya kurang berhadapan dengan orang ramai di NS itu tentu mudah difahami oleh ramai. Saya tidak mahu menyebutnya dalam posting ini.

Peluang untuk Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan NS sememangnya besar, tetapi peluang untuk BN untuk mengekalkan kerajaan juga besar. Pada asasnya sememangnya tidak ada sebab kenapa BN masih mampu berkuasa lagi tetapi oleh kerana pihak yang ingin mengambil alih sendiri mempunyai masalah yang mungkin menjadikan usaha untuk mengambil alih itu akan gagal.

Secara jujur ‘the weaker link’ dalam PR di NS itu adalah PKR. Keutuhan sokongan terhadap DAP dan PAS nampaknya begitu kuat dan jika BN mampu mempertahankan kuasa kali ini adalah disebabkan PKR dan tidak ada sebab yang lain. Beberapa kali saya berada di NS dalam siri kempen sejak setahun yang lalu saya nampak isu ini diperkatakan oleh ramai. Jika saya tidak bercakap pun orang ramai akan bercakap juga.

Ramai yang beranggapan yang PKR adalah sebuah parti yang mempunyai DNA UMNO yang kuat. ‘Attribute’ PKR tidak banyak bezanya dari UMNO itu. Pengongkongan kuasa oleh pimpinan PKR NS memberikan masalah kepada rakan kongsi dalam PR sendiri. Suka tidak suka ini adalah pandangan yang paling realistik dan ‘real’ yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat di NS.

PAS dijangka mendapat kemenangan tambahan di beberapa kawasan di NS itu. Ramai yang berpendapat Johol, Lenggeng, Labu dan Chembong adalah kawasan-kawasan yang hampir pasti jatuh ke tangan parti itu. PAS mungkin juga mendapat kemenangan dalam beberapa kawasan dalam Parlimen Jempol. Pendeknya PAS merupakan parti yang mempunyai penambahan sokongan yang besar kerana orang Melayu mengambil PAS sebagai parti ‘alternative’ kepada UMNO yang kian hari kian hilang sokongan.

PKR tidak mahu memahami yang mereka perlu bersatu sesama sendiri dalam parti itu sendiri untuk membantu jemaah PR menuju kemenangan. DAP merupakan parti ‘dominan’ dan parti itu telah memenangi semua kerusi yang sepatutnya dimenangi dalam pilihanraya yang lalu, kecuali untuk merampas kawasan Chennah di Parlimen Jelebu.

Berlakunya perbalahan diantara pimpinan PKR itu berkisar dalam isu merebutkan kerusi Menteri Besar jika PR memerintah. Selalu saya nyatakan dalam posting saya yang kita tidak boleh berebut sebelum memenangi majoriti dalam DUN NS itu. Kamarul Baharin mesti ingat jika kita menjadi tukang jolok, buah yang jatuh itu akan di sambut oleh orang lain. ‘Tidak mungkin orang yang menjolok itu dapat menyambut buah yang jatuh itu’.

Jika betul pun niat Kamarul Baharin bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar, beliau sepatutnya lebih menumpukan kepada membariskan calon-calon yang tidak berbalah dalam menghadapi BN ini. Tidak ada siapa yang boleh menahan beliau jadi Menteri Besar jika Pakatan menang, tetapi jika belum pun melangkah kedepan parti itu bergaduh sesama sendiri, itu akan pasti menghadapi kekalahan dan seterusnya akan membawa rakan-rakan dalam Pakatan itu sendiri kecundang untuk mendapatkan mandat rakyat itu.

Sekarang ini, jika PKR tidak dapat mempertahankan kerusi DUN yang mereka menangi dalam PRU yang lalu maka untuk mendapatkan kejayaan menempah kuasa dalam kerajaan NS itu adalah satu ‘uphill battle’ dan kemungkinan BN akan masih berkuasa bertambah besar. Tindakan mencabut dan menganjak calon-calon yang telah membuat kerja selama ini adalah satu tindakan yang membunuh PKR itu sendiri.

Sekarang yang saya nampak PKR mempunyai peluang untuk menang satu atau dua kerusi DUN hanyalah di Kuala Pilah, itu pun kerana UMNO di Kuala Pilah begitu bercelaru hasil dari tindakan Mohamad Hasan memecah belahkan UMNO bahagian itu untuk kepentingan selera dan kemahuan beliau sendiri itu. Saya sudah tidak nampak bagaimana PKR boleh mempertahankan kerusi Sikamat dan Ampangan yang di menangi oleh PKR pada pilihanraya yang lalu.

Kamarul yang bertanding di kawasan Ampangan itu belum tentu dapat menguasai sokongan ramai kerana penyokong-penyokong Rafei yang sepatutnya bertanding di kawasan itu telah melakukan ‘protest’ secara senyap dan terbuka terhadap Kamarul Baharin.

Pendeknya yang memberi masalah kepada Pakatan Rakyat di NS adalah PKR. Masalah PKR ini memungkinkan prestasi rakan-rakan kongsi dalam Pakatan itu akan terjejas.

Dalam masa dua minggu ini lah PKR terpaksa meningkatkan prestasinya di hadapan rakyat yang semuanya sedang membuat pemerhatian yang teliti. Jika PKR tidak mampu melakukannya maka kerusi idaman PKR dan pemimpinnya di NS itu akan terlepas.

Ada pepatah adat berbunyi, ‘togah dek lonjak posok kotayap di kopalo’. Terlampau banyak menjolok, buah yang jatuh itu di sambut oleh orang yang lain. Walau bagaimana pun kelemahan PKR itu akan dapat di tutupi oleh beberapa kemenangan tambahan pihak PAS di beberapa kawasan yang lain di NS.

Setiap insan yang mahukan perubahan di NS berwajib untuk memenangkan semua 12 calon PAS dalam pilihanraya ini untuk menambah kemenangan sebelas kerusi yang bakal di menangi oleh DAP.. Setiap rakyat yang prihatin wajar memainkan peranan secara sendiri dan secara berjemaah untuk memberikan kemenangan mutlak kepada semua calon PAS. 'Kok yang pokak bakarlah meriam, kok yang buto pengembus losung, kok yang capek penunggu jemuran dan kok dio alim hendakkan doa nya'.

Sayang, "‘baju pengantin' yang sudah ditempah mungkin tidak dapat dipakai akhirnya". Teringat juga kepada sejarah perang Uhud dahulu. Tentera Islam kalah kerana sambil berperang tentera Islam sibuk memerhatikan harta rampasan perang itu. Tentera Islam tidak dapat melepaskan pandangan mereka terhadap harta rampasan perang yang bakal mereka perolehi selepas peperangan itu.

Akhirnya menang juga pihak musyrikin. Tentera Islam jatuh bergelimpangan walaupun mati mereka itu adalah kematian syahid.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.