`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, July 10, 2013

Terjemah akhbar Cina dan Tamil dalam BM

KDN dan SKMM perlu mengarahkan akhbar berkenaan menterjemah setiap naskhah dan keluaran secara online.
KUALA LUMPUR: Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM) mahu akhbar berbahasa Cina dan Tamil diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia supaya konsep kebebasan media dapat dinilai dengan lebih adil.
Presiden KWMM Dzulkarnain Taib berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mengarahkan akhbar berkenaan menterjemah setiap naskhah dan keluaran secara online.
“Terjemahan dalam online lebih menjimatkan kos dan membolehkan semua orang membaca dan menentukan sama ada kandungan laporan berita itu dianggap rasis atau berat sebelah, ini barulah adil,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang bercadang untuk melancarkan boikot terhadap akhbar Utusan Malaysia, The Star, New Straits Times (NST) dan TV3 selepas Hari Raya Aidilfitri sehingga organisasi berkenaan gulung tikar.
“Kalau dahulu saya kejar ‘lembu’, lepas ini kita akan kejar Utusan, TV3, The Star dan NST. Kita harus sedar bahawa majoriti orang yang menolak Barisan Nasional (BN), kuasa ekonomi ada di tangan anda, kuasa beli ada dekat kita.
“Selepas ini kita bukan sahaja boikot Utusan, The Star, NST dan TV3 dengan tidak membeli akhbar, malah memboikot semua syarikat yang membuat pengiklanan di keempat-empat media ini supaya mereka tidak ada pendapatan dan tiada pilihan lain kecuali tutup kedai,” katanya dipetik Utusan semasa berucap dalam jamuan makan malam PKR di Ipoh minggu lalu.
Dzulkarnain ketika mengulas berkata, Rafizi dilihat mengambil langkah terkebelakang apabila cuba bersifat perkauman dengan memboikot media milikan Melayu-Bumiputera.
Katanya, Rafizi perlu menilai semua laporan berita termasuk yang berbahasa Cina dan Tamil kerana dakwanya akhbar berkenaan juga mengkritik pembangkang Pakatan Rakyat dan bersikap perkauman.
“Kalau disenaraikan, yang disasar (kecuali The Star) hanya media berkaitan pemilikan Melayu dan ini adalah perkauman. Kenapa tak boikot akhbar-akhbar bukan Melayu,” soalnya.
Beliau berkata, tindakan itu langsung tidak membantu memajukan industri media tempatan dan bimbang ia menjejaskan pendapatan pekerja.
“Kita bimbang jika mereka berkuasa kebanyakan media arus perdana akan ditutup dan kemungkinan editor serta wartawan akan ditangkap,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, walaupun jumlah saman yang difailkan pembangkang terhadap Utusan sejak tahun 2008 mencecah hampir RM1bilion, pihaknya tidak menghalang sekiranya pembangkang masih mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berkenaan jika wujud dakwaan berasas.
Turut hadir dalam sidang media Penasihat KWMM Datuk Jaafar Hussin serta Pengarah Strategik Pewangsa Malaysia Kelana Putra Mohamad.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.