`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, July 31, 2013

Kenapa SPRM Membisu Skandal RM80 Juta Manifesto BN?

Shahbudin Husin
Beberapa hari selepas kemenangan tipis BN dalam pilihanraya umum 5 Mei lalu, terdedah suatu skandal yang melibatkan beberapa nama yang rapat dengan Najib yang didakwa mengaut keuntungan atas angin lebih RM80 juta berkaitan urusan pencetakan manifesto pilihanraya BN.
Pendedahkan skandal itu menggambarkan bahawa di ketika UMNO, BN dan para pemimpinnya sedang bergelut antara hidup dan mati untuk memenangi pilihanraya, rupa-rupanya ada segelintir mereka yang diamanahkan sedikit kuasa telah bertindak rakus mengambil "kesempatan dalam kesempitan" semata-mata untuk kepentingan peribadi masing-masing.

Isu itu mula timbul apabila seorang yang menamakan dirinya "Hamba Allah Yang Prihatin Dan Anti Rasuah" telah menulis surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, meminta agar suatu siasatan dapat dilakukan terhadap syarikat di mana beliau bekerja iaitu Zeal Hitech Solution Sdn Bhd yang dikatakan mendapat pembekalan mencetak manifesto pilihanraya untuk BN yang berjumlah 7 juta unit.

Pengadu mendakwa, pada mulanya kontrak itu diarahkan oleh Najib untuk diberikan kepada Utusan tetapi melalui permainan orang-orang tertntu di ibu pejabat UMNO serta di sekeliling Najib, kontrak itu kemudiannya diberikan kepada Zeal Hitech Solution Sdn Bhd.

Beliau mendakwa, perencanaan untuk mengalihkan kontrak yang pada mulanya diberikan kepada Utusan ke Zeal Hitech Solution Sdn Bhd itu didalangi oleh beberapa nama yang rapat dengan Najib, antaranya Ketua War Room UMNO, Alies Nor, Setiausaha Kerja UNNO, Raof Jusoh, dua penasihat media Najib, Farid Ridzwan, Khalid Mohd serta beberapa nama yang lain.

Apa yang diketahui pengadu, setelah kontrak itu diberikan kepada syarikat terbabit, urusan pencetakan manisfesto itu diserahkan juga kepada Utusan. Namun, pengadu yang mendawa diarahkan oleh Zeal Hitech Solution Sdn Bhd untuk membuat tuntutan pembayaran mendapati, kos pencetakan kepada Utusan hanyalah RM1.17 seunit sedangkan syarikatnya membuat tuntutan kepada UMNO pada kadar RM12.83 seunit.

Pengadu juga mendakwanya, Zeal Hitech Solution Sdn Bhd juga bukanlah sebuah syarikat percetakan atau penerbitan dan tidak mempunyai sebarang lesen percetakan daripada Kementerian Dalam Negeri.

Menyedari bahawa kemungkinan terdapat kecurangan dalam urusniaga itu dan adanya pihak yang mengaut keuntungan atas angin lebih RM80 juta daripadanya, pengadu telah menulis surat kepada SPRM meminta agar suatu siasatan dapat dibuat untuk merungkai segala salah laku yang mungkin wujud di sebaliknya.

Namun sehingga ini, setelah hampir tiga bulan selepas pilihanraya umum berlalu, khabar berita mengenai perkembangan siasatan kes itu oleh SPRM masih tidak diketahui statusnya. Sama ada kes itu sedang disiasat, telah disiasat, akan disiasat atau sebenarnya sudah dibakulsampahkan, tiada siapa yang tahu.

Namun keresahan ahli-ahli UMNO yang mengetahui tentang perkara itu, mereka sering bercakap mengenainya dan akhirnya cenderung menyalahkan kelemahan Perdana Menteri kerana membiarkan orang-orang di sekelilingnya mengkhianati perjuangan UMNO semata-mata kerana wang dan kemudian seperti melindungi mereka yang terbabit pula.

Ini berikutan ramai yang menyedari bahawa mereka yang terbabit dan disebut namanya dalam aduan kepada SPRM itu masih berada bersama Najib dan UMNO serta sering dilihat kemunculannya dalam majlis-majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri sepanjang Ramadan ini.

Keadaan ini tentunya memeranjatkan kerana sebelum ini banyak blog dan laman sosial mendedahkan mengenai perkara itu sambil ada diantaranya yang mendakwa, beberapa nama yang disebut itu juga bergaya mewah ke sana-sini memandu Porsche, Lamborghini, memiliki kondo mewah di tengah-tengah ibukota serta mengubahsuai rumah dengan kos yang tinggi.

Bahkan, penerima Anugerah Wartawan Negara, A Kadir Jasin juga pernah menulis mengenainya dalam blog beliau.

Bagi kebanyakan ahli UMNO, mereka mahu perkara ini disiasat dengan telus dan berdasarkan fakta serta sekurang-kurangnya menjelang Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini, ada jawapan mengenainya.

Bagi mereka ini, mustahil Najib yang begitu meminati dunia internet dan laman sosial serta menggalakkan rakyat menggunakan media itu untuk berhubung, langsung tidak mengetahui mengenai apa yang dipercakapkan oleh kebanyakan rakyat dan ahli UMNO mengenai kecurangan orang-orang yang rapat dengannya.

Keengganan atau kelambatan Najib mengambil tindakan bukan saja memberi erti seolah-olah beliau merestui perbuatan salah mereka itu, bahkan menambahkan lagi siri kebencian dan pertikaian terhadap kepimpinannya yang dianggap lemah, lembik serta tidak tegas.

Kegagalan SPRM bertindak juga mengundang persoalan. Jika dalam kes-kes yang melibatkan "ikan bilis" mereka didapati begitu pantas bertindak tetapi dalam kes yang diadukan oleh Hamba Allah Yang Prihatin Dan Anti Rasuah dan melibatkan orang-orang kepercayaan Najib ini, SPRM didapati seperti membisu seribu bahawa sedangkan segala fakta mengenai apa yang didakwa, sudah cukup jelas dan mencukupi untuk memulakan siasatan.

Pengadu telah menyebut mengenai kes ini dengan jelas, nama-nama yang didakwa terbabit, syarikat yang terlibat dan jumlah penyelewengan atau penipuan yang dilakukan terhadap UMNO. Semuanya telah lengkap.

Ia hanya terpulang kepada SPRM sama ada mereka mahu bertindak atau tidak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.