"Ini kerana orang Islam yang ingin bakar Bible dan menghina anutan orang Hindu tidak didakwa sehingga kini," kata MP PAS Sepang.
PETALING JAYA: Ahli parlimen PAS kawasan Sepang, Mohamed Hanipa Maidin meminta kerajaan tidak mendakwa pasangan Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24 di bawah Akta Hasutan kerana akta itu telah banyak menzalimi rakyat negara ini.
Jika mereka didakwa di bawah Akta Hasutan kerana menghina Islam tidakkah pasangan remaja ini juga akan merasa bahawa ada diskriminasi dan ketidakadilan ke atas mereka, kata beliau.
“Ini kerana orang Islam yang ingin bakar Bible dan menghina anutan orang Hindu tidak didakwa sehingga kini. Adakah ini keadilan?
“Tidak malukah kita kepada orang bukan Islam apabila kita sendiri gagal bersikap adil? Di mana keadilan yang juga menjadi prinsip utama ajaran Islam hendak kita campakkan?,” katanya dalam satu kenyataan.
Kedua-dua pasangan muda itu telah mencetus kontroversi kerana mempersendakan umat Islam dan bulan Ramadan dengan mempamerkan gambar lucah, didakwa di Mahkamah Jalan Duta di sini, hari ini.
Peguam PAS itu sebaliknya meminta umat Islam menerima maaf dari pasangan itu.
Islam menurutnya, adalah agama rahmah di mana Allah telah menulis untuk DiriNya rahmah (belas ikhsan).
`Menerima kemaafan’
“Maka oleh itu saya rasakan tidak salah bagi umat Islam untuk menerima kemaafan kedua pasangan remaja itu dan memberi mereka peluang untuk tidak lagi mengulangi perbuatan biadap mereka itu.
“Saya percaya mereka sudah cukup terseksa dengan luahan kemarahan umat Islam di negara ini. Itu sudah cukup, bagi saya, menjadi hukuman perit ke atas mereka,” katanya.
Beliau menambah, bagilah peluang kedua kepada mereka berdua, remaja yang mudah tergelincir.
Katanya, percayalah Islam tidak akan dilemahkan dengan penghinaan mereka berdua dan Islam juga tidak dikuatkan hanya kerana kita melaung kuat untuk menghukum mereka di bawah kta yang zalim seperti Akta Hasutan.
Sebaliknya, dekatilah mereka dengan lemah lembut dan berhemah supaya segala keraguan mereka atas agama ini dapat dipadamkan dari benak pemikiran mereka.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.