`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 28, 2014

[GAMBAR & VIDEO]: Laungan "Student Power" Sambut Anwar Ibrahim


RRibuan pelajar dan orang ramai memasuki Universiti Malaya (UM) yang ditutup daripada dimasuki semua kenderaan setelah mereka berjaya memaksa laluan di sebelah pintu masuk Kuala Lumpur/Bangsar dibuka dan berarak ke kawasan kampus. 

Mereka menuju lokasi di mana Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan berucap pada program "40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara."

Terdahulu hari ini, Ketua Pembangkang mengatakan tetap akan datang ke universiti alma mater beliau dan menemui pelajar pada program itu walaupun pentadbiran universiti mengisytiharkannya tidak sah.

Program anjuran Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) itu asalnya dijadualkan bermula jam 9 malam di Dataran Dewan Tunku Canselor dalam kawasan kampus.

Presiden PMUM Fahmi Zainol yang baru tiba memberitahu media UM tidak mahu memberi persetujuannya kepada program itu walaupun selepas mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor Profesor Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin tengahari ini.

Lintas langsung dari lokasi program:

10.28 malam – Anwar meninggalkan dataran. Semua yang hadir berjalan bersama beliau ke pintu pagar.

10.04 malam – Orang ramai bersorak apabila Anwar mula berucap.

9.51 malam – Keadaan gelap gelita sekitar Dataran Dewan Tunku Canselor di mana Anwar akan berucap. Tiada satu lampu jalan pun dipasang.

9.49 malam – Perserta program mencecah kira-kira 2,000 orang.

9.41 malam – Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah turut kelihatan di atas trak. Pelajar Fahmi Zainol juga bersama mereka. Orang ramai mula melaungkan "Hidup, hidup, mahasiswa! Hancur, hancur kezaliman!"

9.40 malam – Anwar tiba Dewan Tunku Canselor dengan menaiki sebuah trak pikap hitam yang dipandu perlahan, sambil melambai kepada orang ramai.

9.36 malam – Seorang pemimpin pelajar mengumumkan Anwar akan tiba tidak lama lagi. Keadaan kelihatan terkawal. Anggota polis masih tidak kelihatan.

9.31 malam – Pemimpin pelajar mula bercakap kepada hadirin dalam kawasan kampus. Mereka juga terus menyanyi dan melaungkan slogan. Bilangan yang hadir makin ramai apabila pelajar yang tinggal di asrama turut serta.

9.22 malam – Orang ramai diberitahu Anwar akan hadir dalam masa 5 minit.

9.20 malam – Pelajar berarak masuk melalui pintu masuk utama di Kuala Lumpur, melaungkan "Hidup Mahasiswa!", menuju Dataran Dewan Tunku Canselor.

9.18 malam – Pagar dibuka apabila orang ramai mula agresif dan berjaya memaksa ia dibuka.

9.08 malam – Pelajar mula mengambil giliran bercakap, menghangatkan keadaan sementara menunggu ketibaan Anwar. "Ini universiti rakyat," kata seorang daripada mereka.

9.01 malam – Seseorang mula mengkritik UM kerana mengeluarkan arahan terdahulu hari ini supaya kakitangannya meninggalkan kampus jam 4 petang kerana 'masalah bekalan elektrik.' "Bagaimana UM boleh dakwa ia universiti nombor satu di Malaysia? Bagaimana ia kata ia ikut Perlembagaan Persekutuan jika ia tak benarkan Anwar masuk?"

8.57 malam – Orang ramai mula menyanyikan lagu pelajar, termasuk berterima kasih kepada UM. Bilangan yang hadir mencecah 600 hingga 700 termasuk pemerhati. Tiada pegawai polis kelihatan.

8.49 malam – Pensyarah undang-undang UM Prof Madya Dr Azmi Sharom kelihatan berada bersama orang ramai yang hadir.

8.48 malam – Pengurusan UM membuka pagar di tepi bagi membenarkan pelajar dari dalam keluar.

8.39 malam – Wakil Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Fazril Saleh berkata: "Apa yang kami lakukan bukan satu kesalahan. Tolong benarkan pelajar masuk berkumpul."

8.37 malam – Dua kumpulan kelihatan di kawasan kampus – satu berhampiran pagar dan satu lagi tidak jauh dari situ apabila pengawal keselamatan meluaskan sempadan antara pagar dengan penghadang ke 200m dari pagar.

8.36 malam – Kekecohan di hadapan pintu masuk Kuala Lumpur apabila pelajar cuba merempuh keluar.

8.32 malam – Orang ramai mencecah 500 di pintu masuk Kuala Lumpur, termasuk di dalam dan luar pagar. Pelajar mula melaungkan "Bangkit! Bangkit!"

8.30 malam – Johari cuba minta timbalan naib canselor membuka laluan tetapi nampaknya tidak berjaya. Aktivis pelajar Safwan Anang kelihatan berada di lokasi.

8.27 malam – Orang ramai mencecah 400 orang.

8.24 malam – Pelajar mula menjerit "Buka! Buka!" di hadapan pagar. Pemimpin PKR Datuk Johari Abdul tiba. Beliau juga alumni UM.

8.22 malam – Sedikit kekecohan di hadapan pagar apabila pelajar dari dalam cuba keluar.

8.20 malam – Fahmi cuba berunding meminta mereka dibenarkan memasuki kampus. Timbalan naib canselor (pendidikan) juga hadir. Hujan makin lebat. Payung mula dibuka di sana sini.

8:15 malam – Pelajar dari asrama dalam UM dihalang keluar kampus. Mereka berkumpul di hadapan pagar yang dihalang pegawai keselamatan.

8:12 malam – Hujan mula lebat. Orang ramai mula mencari perlindungan. Kakitangan PKR masih cuba memasang sistem pembesar suara. Pikap PKR diparkir betul-betul di hadapan pagar utama UM di Kuala Lumpur.

8:04 malam – Pelajar dari UKM, UiTM dan UM antara yang hadir depan pagar utama. Khalilah Ismail, 22, berkata dia berada di situ bagi mendengar sendiri apa yang akan dikatakan Anwar, tidak hanya membaca mengenainya daripada sumber lain.

8:04 malam – Hujan rintik mula turun. Seorang lelaki kelihatan memasang sistem pembesar suara di atas trak pikap.

8:02 malam – Kira-kira 200 orang mula bergerak ke pintu pagar utama di Kuala Lumpur mengekori sebuah trak pikap PKR. Mereka berkumpul berhampiran trak itu, ingin tahu jika Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalamnya.

7:57 malam – Lima pelajar dari HELP University mula sampai. "Ini negara kami dan kami mahu tahu apa yang berlaku."


Siswa, penyokong Anwar berhimpun di pintu pagar UM

Ribuan mahasiswa dan penyokong PKR merempuh pintu pagar Universiti Malaya membolehkan mereka memasuki kampus itu bagi mengikuti pidato Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka merempuh pintu pagar Kuala Lumpur yang berkunci dan dirantai oleh pihak keselamatan sambil melaungkan "buka, buka" dan kemudiannya memasuki kawasan kampus.

Kemudian, mereka berhentikan berarak ke Dewan Tunku Canselor kira-kira 200 meter dari pintu pagar bagi menunggu ketibaan Anwar.

Sementara itu, kira-kira jam 9.40 malam Anwar bersama keluarganya sampai dengan menaiki sebuah pacuan empat roda dan mereka mula berarak ke Dewan Tunku Canselor.

Menyampaikan ucapan atas pacuan empat roda itu di depan dewan itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya Fahmi Zainol mencerita sejarah perjuangan mahasiswa UM untuk rakyat.

Beliau juga bersedia berdepan tindakan displin daripada pentadbiran universiti selepas ini.

"Saya tahu pihak UM marah dengan saya. Saya sedia menerima hukuman termasuk dibuang universiti," katanya.

Kemudian, Anwar pula memulakan ucapannya dengan mempersoal pentadbiran kampus mahu menghalang beliau berucap di kampus itu

"Saya dihina dan dikeji 16 tahun. Apa salah saya datang bercakap di sini?" katanya sambil mengucap terima kasih dan tahniah kepada Fahmi dan pelajar UM.

Dalam ucapannya juga Anwar yang juga ketua pembangkang berharap pertuduhan berhubung kes liwat dilucutkan

"Saya wajib dibebaskan dengan menggunakan undang2 human right yang ada. Sheikh Al-Qardawi utus kenyataan kepada Anwar supaya lucutkan pertuduhan ke atas saya.

"Saya masih menaruh harapan hakim lucutkan pertuduhan kepada saya," katanya sambil memuji Fahmi Zainol kerana memilih untuk melawan.


Sebelum itu, keadaan hujan rintik-rintik mereka berkumpul di situ memandangkan pihak keselamatan kampus menutup pintu masuk ke kampus perdana untuk sebarang lalu lintas.

Ada juga di kalangan mereka membuka payung masing-masing.

Pentadbiran kampus itu tidak membenarkan pidato anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya itu kerana tiada permohonan dibuat.

Antara pemimpin yang dilihat hadir MP Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sean bersama beberapa penyokong PKR menaiki sebuah kereta dan memasang sistem audio.

Turut kelihatan ADUN Kuala Sepetang Chua Yee Ling, ADUN Rawang Gan Pei Nie, Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shahrin, aktivis siswa Safwan Anang dan pensyarah Dr Azmi Sharom sebagai pemantau.

Mahasiswa dan penyokong Anwar turut melaungkan "student power" dan "hidup rakyat" sambil meminta pihak keselamatan membuka pintu pagar.

Ini kerana kelihatan sekumpulan pelajar dilarang meninggalkan kawasan kampus menyebabkan siswa yang di luar pintu pagar melaungkan:

"Lepaskan mereka, mereka juga mahu bersama dengan kami," kata mereka.

Pelajar yang awalnya dilarang keluar bagaimanapun dilepaskan selepas perbincangan diadakan. 
-mk







No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.