`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, December 15, 2014

RAHSIA KEMEWAHAN PENJUAL BURGER DIBONGKAR

Rahsia seorang pemuda yang hanya menjual burger, tetapi hidup mewah terbongkar apabila dia sebenarnya pengedar pil kuda.

Pemuda berusia 22 tahun itu ditahan bersama isterinya berusia 21 tahun dan sepasang lagi suami isteri berusia 23 dan 25 tahun dipercayai saudaranya dalam serbuan oleh Pasukan Khas Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sebuah rumah di Kampung Terusan Limbat, Rabu lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, hasil serbuan itu, sebungkus kertas mengandungi 1,000 biji pil kuda yang disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang hadapan kereta jenis Perodua Kancil dipercayai milik salah seorang pasangan berkenaan ditemui.

“Pemeriksaan lanjut menemui wang tunai sebanyak RM84,557 selain sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dianggarkan bernilai RM12,000 turut dirampas.

“Ketika serbuan itu, seorang daripada suspek cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditahan di kawasan rumah berkenaan. Dia (salah seorang yang ditahan) hanya jual burger, tetapi banyak wang dan itu yang kita pelik,” katanya pada sidang media di IPK Kelantan, di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan mendapati penjual burger itu aktif mengedar pil kuda sejak enam bulan lalu di daerah ini dan tidak menolak kemungkinan mempunyai pelanggan tetap.

Katanya, kedua-dua pasangan suami isteri itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, dalam dua operasi berasingan yang berakhir kelmarin di Jalan Pintu Pong dan Kampung Cherang, di sini, Mazlan berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun.

“Seorang daripada mereka bekerja sebagai buruh berusia 20 tahun ditahan bersama satu paket plastik dipercayai mengandungi 200 biji pil kuda bernilai RM5,000 di depan sebuah rumah di Jalan Pintu Pong.

“Kita menemui dadah itu dalam poket seluarnya dan suspek disiasat mengikut Seksyen 39 (A) (1) ADB,” katanya.

Menurutnya, soal siasat lanjut terhadap suspek membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 19 tahun ditahan dan sejumlah 600 biji pil kuda bernilai RM14,850 yang diletakkan dalam raga motosikalnya dirampas.

Katanya, suspek berasal dari Tawang, Bachok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jumlah keseluruhan rampasan dalam operasi selama empat hari itu adalah RM116,407 membabitkan dadah jenis pil kuda, kenderaan dan wang tunai.

“Dengan tertangkapnya semua suspek, kita percaya dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah dan kini giat mengesan saki baki anggota yang terbabit dalam pengedaran di daerah ini, Tumpat, Pasir Mas dan Bachok,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.