`




THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Tuesday, December 30, 2014

HARGA RON95 TANPA SUBSIDI RM1.91 SELITER, RM633 JUTA CUKAI DIKUTIP BAGI DISEMBER 2014



HARGA RON95 TANPA SUBSIDI RM1.91 SELITER, RM633 JUTA CUKAI DIKUTIP BAGI DISEMBER 2014

Harga pasaran bagi petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 1 Disember 2014 hingga 30 Disember 2014 disertakan di dalam Lampiran A (harga pasaran RON95) dan Lampiran B (harga pasaran diesel) yang disertakan bersama.

Data harga telah diperolehi secara sah dari pasaran seperti berikut:
RON95 – ditentukan oleh MOPS bagi Singapore Mogas 95 Unleaded
Diesel – ditentukan oleh MOPS bagi Singapore Gasoil
Kadar tukaran matawang – ditentukan oleh kadar rasmi Bank Negara

Dari Lampiran A dan Lampiran B, jelas bahawa harga pasaran bagi RON95 (tidak termasuk jaminan keuntungan dan kos yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat minyak) telah menjunam ke harga hanya RM1.43 seliter pada 30 Disember 2014.

Keadaan yang sama juga berlaku dengan harga diesel yang menjunam dari paras ke harga hanya RM1.56 seliter pada 30 Disember 2014 (tanpa jamin keuntungan).

Malah, dengan jaminan keuntungan dan kos yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat minyak sebanyak 32 sen seliter (RON95) dan 23 sen seliter (diesel) seperti yang terpaksa dibayar rakyat sekarang, harganya sepanjang Disember 2014 adalah jauh lebih rendah dari yang terpaksa dibayar rakyat. Pengguna di Malaysia telah membayar harga yang jauh lebih tinggi dari harga pasaran disebabkan dasar penetapan harga oleh Barisan Nasional ini.

Mengambil kira jaminan keuntungan dan kos kepada syarikat minyak itu, harga RON95 ialah RM2.05 seliter (pada 1 Disember 2014) dan terus menurun kepada RM1.75 seliter (pada 30 Disember 2014); berbanding harga yang dibayar oleh rakyat RM2.26 seliter.

Harga diesel pula (termasuk jaminan keuntungan dan kos kepada syarikat minyak) ialah RM2.10 seliter (pada 1 Disember 2014) dan terus menurun kepada RM1.79 seliter (pada 30 Disember 2014); berbanding harga yang dibayar oleh rakyat RM2.23 seliter.

Oleh kerana rakyat terus membayar pada harga yang lebih tinggi dari harga pasaran (walaupun tanpa subsidi), Barisan Nasional mendapat durian runtuh dengan mengutip cukai petrol tanpa diumumkan kepada rakyat.

Perkiraan cukai petrol tersembunyi yang telah ditanggung oleh rakyat ditunjukkan di dalam Lampiran C. Anggaran ini dibuat berdasarkan jumlah penggunaan petrol sebanyak 14 bilion liter setahun dan penggunaan diesel sebanyak 9.64 bilion liter setahun seperti jawapan Perdana Menteri di Parlimen.

Dalam bulan Disember 2014, rakyat membayar sebanyak RM402 juta cukai petrol bagi RON95 dan RM231 juta bagi diesel.

Maka, jumlah cukai petrol yang dikutip secara senyap oleh kerajaan bagi Disember 2014 ialah RM633 juta tanpa diketahui oleh rakyat.

Berdasarkan harga purata RON95 dan diesel bagi Disember 2014, maka harga bagi Januari 2015 yang sepatutnya diumumkan oleh Barisan Nasional pada mala mini tidak boleh lari dari harga berikut:

RON95 ditetapkan pada harga RM1.91 seliter (tanpa subsidi 30 sen). Jika subsidi dikembalikan seperti dituntut KEADILAN, harga RON95 hanyalah RM1.61 seliter.

Diesel ditetapkan pada harga RM1.94 seliter (tanpa subsidi 30 sen). Jika subsidi dikembalikan seperti dituntut KEADILAN, harga diesel hanyalah RM1.64 seliter.

Sekiranya harga yang diumumkan Barisan Nasional berbeza dari harga ini, menteri yang terbabit perlu menjelaskan bagaimana harga RON95 dan diesel ditentukan kerana pengiraan yang dibuat KEADILAN setakat ini menggunakan formula Barisan Nasional sendiri dan harga pasaran MOPS yang diterbitkan.

Sehingga kini juga tidak ada seorang pemimpin Barisan Nasional pun yang menyangkal pendedahan saya bahawa Barisan Nasional telah mengutip cukai petrol dan diesel secara senyap-senyap akibat mekanisme penentuan harga sebegini. Ini bermakna mereka mengesahkan bahawa rakyat memang telah membayar cukai petrol dan diesel sejak November 2014 lagi.

Dengan pendedahan bahawa jumlah cukai yang dikutip bagi Disember 2014 telah mencecah RM633 juta, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak wajib menjelaskan ke mana wang ini telah dibelanjakan dan kenapa rakyat perlu membayar cukai petrol dan diesel kepada rakyat dalam keadaan kos sara hidup yang sangat membebankan.

Saya akan terus membawa isu cukai petrol dan diesel ini hingga ke Parlimen sesi depan sehingga saya mendapat jawapan yang memuaskan dari Barisan Nasional.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

31 Disember 2014

No comments:

Post a Comment