Keadaan banjir di beberapa negeri ketika ini semakin buruk. Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, banjir terus bertambah buruk dan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan juga semakin bertambah.
Melihat keadaan hujan yang masih mencurah dengan lebat, adalah dijangka banjiryang disifatkan antara yang terburuk ini akan terus melanda untuk beberapa lama lagi. Tidak mustahil juga ia akan berlarutan sehingga awal tahun baru 2015 nanti.
Di Perak dan Perlis pula, beberapa kawasan turut mulai dilanda banjir dan angka mangsa yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemulihan juga terus bertambah.
Meskipun bantuan dari segi makanan, keperluan harian dan usaha memindahkan mangsa terus giat dijalankan oleh pelbagai agensi kerajaan, tetapi amat malang kehadiran pemimpin meninjau ke tempat banjir agak mengecewakan kali ini.
Selain pemimpin peringkat negeri yang tentunya bertungkus-lumus membantu mangsa di kawasan masing-masing, kehadiran pemimpin Pusat ke negeri-negeri yang dilandabanjir nyata agak mengecewakan.
Tiada kelibat Perdana Menteri, Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kanan seperti Zahid Hamidi, Hishammuddin, Shafie Apdal, Ahmad Maslan dan lain-lainnya. Jika bercakap berkaitan isu politik dan mengampu pemimpin, begitu ramai yang berebut-rebut mahu ke depan, namun di mana mereka ketika rakyat derita ini?
Yang nampak hanyalah beberapa kerat pemimpin seperti Shahidan Kassim, Shahrizat Jalil, Abdul Azeez Rahim, Mustapha Mohamad dan Ahmad Shabery Cheek saja. Pemimpin sayap Pemuda dan Puteri juga hampir tidak kelihatan sama.
Ke manakah pemimpin-pemimpin sihat dan segar-bugar ini menghilang? Muhyiddinsudah lebih seminggu tak kelihatan dan dipercayai sedang bercuti di luar negara ketika ini. Najib juga dipercayai baru berlepas bercuti ke luar negara dua hari lalu setelah meluangkan sedikit waktu melawat mangsa banjir di Pahang.
Majoriti pemimpin lain dipercayai turut bercuti di luar negara ketika ini. Ada yang bercuti sebelum banjir melanda dan ada pula yang berlepas setelah banjir makin besar. Najibsendiri pergi bercuti setelah mengetahui banjir kian bertambah buruk dan ini merupakan percutian keduanya dalam tempoh tidak sampai lima bulan di mana pada Hari Raya Aidilfitri lalu beliau juga bercuti ke beberapa bandar di Eropah.
Soalnya, apakah perasaan pemimpin yang sedang bercuti ini sedangkan mereka mengetahui ada rakyat yang sedang sengsara dan sesetengahnya berjuang antara hidup dan mati menyelamatkan nyawa dan harta benda akibat banjir?
Apakah bercuti dan berehat di luar negara terlalu penting sehingga ianya tidak boleh ditangguhkan langsung? Atau kalau sedang bercuti, tidak bolehkah pulang segera dan menunjukkan keprihatinan sebagai pemimpin kepada rakyat?
Sekadar meminta mangsa bersabar dan berdoa dengan keadaan banjir yang kian buruk sedangkan mereka berada di luar negara, mungkin riang gembira dan ketawa bermain salji, bukan saja tidak memadai tetapi jelas memperlihatkan perlakuan paling buruk sebagai pemimpin.
Inilah masanya mereka yang bergelar pemimpin perlu bersikap jujur dan mengutamakan rakyat. Berehat, bercuti, membeli-belah dan bemain salji di luar negara yang lebih penting atau nasib rakyat yang lebih utama?
Kepada pemimpin yang tiada perasaan, tidak prihatin dan lebih mengutamakan diri sendiri dengan tidak sanggup menangguh atau memendekkan percutian mereka di ketika rakyat sedang sengsara ini, eloklah kita juga mendoakan agar mereka itu dilaknat Allah, kalah dalam pilihanraya akan datang dan tidak lagi bergelar pemimpin. ~shahbudin
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.