`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, March 15, 2015

Kerajaan Umno@Bn tidak bimbang 45,000 golongan muda muflis?

Pengumuman Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam hampir 45,000 rakyat Malaysia yang berumur bawah 35 tahun berdepan dengan tindakan dirampas pasport antarabangsa kerana diisytiharkan muflis amat membimbangkan. Menteri dalam negeri itu berkata, sejak tiga tahun lalu, pihak berkaitan mengemas kini maklumat tersebut secara terus kepada Jabatan Imigresen. “Golongan muda adalah antara kelompok tertinggi yang diisytiharkan muflis di negara ini. 

“Trend ini semakin meningkat dalam kalangan anak muda dan hampir 30% gaji yang diperoleh digunakan untuk membayar hutang manakala 37% membelanjakan wang di luar kemampuan dan 15% tidak mempunyai wang simpanan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia. Ini bermakna, hampir 45,000 golongan muda muflis ini sudah tidak bermakna lagi hidupnya kerana terlalu banyak yang tidak boleh dilakukan. 

Apabila diisytiharkan muflis, golongan ini tidak boleh lagi memegang apa-jawatan tertentu dalam perkhidmatan awam. Selain itu, golongan muflis juga tidak boleh meninggalkan negara tanpa perintah mahkamah. 

Mereka juga tidak boleh menjadi pengarah syarikat atau menjalankan perniagaan atau terlibat dalam pengurusan syarikat tanpa kebenaran mahkamah. Seseorang yang muflis juga tidak boleh melibatkan diri dalam pengurusan syarikat atau menjadi pekerja di syarikat dimiliki oleh pasangan atau saudara terdekat dan pasangan mereka.  

Jika diisytiharkan muflis mereka tidak boleh menjadi ahli jawatankuasa mana-mana badan yang berdaftar dan tidak boleh membuat sebarang pinjaman melebihi RM1,000 tanpa memaklumkan kepada pemiutang tentang status kebankrapan. 

Apakah kerajaan tidak bimbang dengan peningkatan angka golongan muda bawah 35 tahun menjadi muflis? Apakah yang dilakukan untuk membantu golongan ini membebaskan diri mereka daripada status muflis?  

Apa yang perlu dikaji ialah apakah benar golongan muda ini berbelanja di luar kemampuan mereka sehingga tidak mampu membayar hutang atau terpaksa berbuat demikian kerana peningkatan kos kehidupan? Malaysia juga sudah kehilangan hampir 45,000 pemimpin masa hadapan dan sumber tenaga yang seharusnya membantu membangunkan lagi negara.  

Bagaimana sekiranya golongan ini tidak mempunyai pekerjaan? Mengapa hanya peminjam PTPTN 'diseksa'? Minggu lalu Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Sakib Kusmi mendedahkan 29,398 orang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disenarai hitam daripada ke luar negara kerana gagal membayar balik pinjaman.  

Ini bermakna 29,398 golongan terpelajar juga berdepan dengan masalah hutang dan tidak mustahil pada masa akan datang mereka juga akan menjadi muflis. Sayangnya jika Malaysia kehilangan hampir 30,000 golongan terpelajar untuk membantu negara.  

Akan tetapi yang malangnya golongan ini bakal menjadi muflis hanya kerana tidak mampu membayar kembali pinjaman pengajian mereka. Apa yang menghairankan, kita hanya mendengar tindakan tegas diambil kepada peminjam PTPTN tetapi tidak kepada peminjam agensi kerajaan lain. 

Tidak pernah terdengar kerajaan mengeluarkan amaran terhadap pelajar yang gagal menjelaskan pinjaman kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara). Kita juga tidak pernah mendengar amaran sama dikeluarkan kepada pelajar yang gagal membayar pinjaman kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

Apakah semua peminjam Mara dan JPA berjaya melangsaikan pinjaman mereka? Atau ada kepentingan politik di sini? Apakah parti yang memerintah kerajaan takut mereka akan kehilangan undi Melayu dan Bumiputera sekiranya tindakan tegas seperti kepada peminjam PTPTN dilakukan kepada peminjam Mara dan JPA?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.