`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, July 21, 2015

DOKTOR BIADAB DI POLIKLINIK ****** “ Klinik aku keno ikot caro aku "



DOKTOR BIADAB DI POLIKLINIK P******
(KOTA BHARU, KELANTAN)
* Nama doktor dan klinik telah dipadamkan kerana kes ini akan diadukan secara rasmi kepada pihak berwajib
* Penulis seorang doktor yang terkilan dengan sikap doktor terbabit
20/7/2015 (Isnin) jam 15:00– Saya membawa ibu dan bapa mertua ke sebuah klinik swasta (POLIKLINIK P******) untuk mendapat rawatan suntikan vaksin sebelum menunaikan haji. Setiba disana staf klinik meminta Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji kedua-dua ibu bapa mertua saya dan juga bayaran RM130 seorang untuk suntikan vaksin. Mengikut maklumat staf klinik itu, suntikan vaksin itu merangkumi Meningococcal, H1N1 dan MERsCOV vaksin.
Setelah menunggu hampir selama 1 jam 30 minit, nama ibu dan bapa mertua saya masih tidak dipanggil oleh staf klinik. Kami hairan kerana sudah 3-4 orang pesakit yang baru sahaja datang tetapi tidak perlu menunggu lama, nama mereka sudah dipanggil dan mendapat rawatan doktor serta ubat-ubatan. Kebanyakan mereka kelihatan muda usia 20-40an yang datang untuk mendapatkan rawatan kecantikan. Yang paling menghairankan apabila ada seorang pemuda yang hanya baru mendaftar pada jam 16:30 hanya menunggu tidak sampai lima minit, namanya sudah dipanggil dan mendapat rawatan suntikan vitamin daripada doktor itu.
Kami bertanya kepada staf klinik bilakah nama ibu bapa mertua saya akan dipanggil, tetapi jawab mereka “tunggu sebentar, doktor akan panggil nanti”. Beberapa kali kami bertanya kerana nama ibu bapa mertua saya masih tidak dipanggil sehinggkan jam 17:00. Kami meminta untuk dipulangkan buku-buku rekod rawatan jemaah haji ibu bapa mertua saya dan juga bayaran RM130 seorang, tetapi mereka enggan memulangkan, alasannya buku-buku rekod rawatan jemaah haji itu telah diisi lengkap dan ditandatangani serta dicop oleh doktor tersebut walaupun ibu bapa mertua saya belum berjumpa dengan doktor itu. Sungguh menghairankan.
Tiba-tiba nama kedua-dua ibu bapa mertua saya dipanggil oleh staf klinik untuk berjumpa doktor itu. Setibanya di bilik doktor itu, doktor itu memanggil kami “Gedebe” (membawa maksud dalam dialek Kelantan adalah “berlagak”) dengan nada yang tinggi dan keras, dan mula mengoyak-ngoyakkan buku rekod rawatan jemaah haji ibu bapa mertua saya. Saya cuba menjelaskan situsasi sebenar apa yang berlaku tadi tetapi tidak diendahkan oleh doktor itu. Doktor itu sebaliknya menyalahkan kami kerana tidak sabar menunggu giliran dipanggil. Doktor itu juga berkata “Mu tok kenal lagi sapo aku” (membawa maksud dalam dialek Kelantan adalah “kamu belum kenal lagi siapa aku”). Doktor itu berkata lagi “Klinik aku keno ikot caro aku, ikot aku nok panggil sapo dulu, rama lagi hok tunggu lamo ” (membawa maksud dalam dialek Kelantan adalah “di klinik aku kena ikut cara aku, suka hati akulah nak panggil pesakit mana dahulu, ramai lagi pesakit yang tunggu lebih lama”). Doktor itu dengan suara yang kuat menghalau kami keluar dan memanggil nama pesakit yang lain. Kami terkejut dan tergamam. Buku-buku rekod rawatan jemaah haji ibu bapa mertua saya yang telah dikoyakkan dipulangkan dan meminta kami mendapatkan buku-buku yang baru dari Tabung Haji.
Kami meminta balik bayaran RM130 seorang dari staf klinik dan dipulangkan kepada kami. Kami berlalu keluar dari klinik itu dan terus menuju ke Tabung Haji Kota Bharu untuk melaporkan kejadian. Setibanya di situ, kami berjumpa dengan staf tabung Haji dan menceritakan apa yang terjadi dan memohon untuk mendapatkan buku-buku rekod rawatan baru. Staf Tabung Haji itu agak terkejut dan faham apa yang telah terjadi. Beliau meminta ibu bapa mertua saya datang ke Tabung Haji semula pada esok pagi dan memohon semula buku rekod rawatan baru.
Persoalannya:
Pertama, wajarkah seorang yang bergelar doktor atau pegawai perubatan kerajaan mahupun swasta bertindak sedemikian rupa kepada pesakit yang datang kepada mereka untuk mendapatkan rawatan? Wajarkah doktor itu menggunakan kata-kata kesat dan meninggikan suara kepada pesakit walhal mereka mendapat bayaran? Dimanakah letaknya etika seorang doktor jika pesakit dilayan seperti ini?
Kedua, wajarkah seorang yang bergelar doktor atau pegawai perubatan kerajaan mahupun swasta mengoyak-ngoyakkan buku rekod rawatan jemaah haji? Dimanakah hak doktor itu untuk mengoyak-ngoyakkan buku tersebut walhal kita sedia tahu buku-buku rekod rawatan jemaah haji itu milik Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan Malaysia? Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan ke atas buku-buku yang rosak ini?
Ketiga, wajarkah seorang yang bergelar doktor atau pegawai perubatan kerajaan mahupun swasta pilih kasih pesakit mana yang ingin dirawat terlebih dahulu? Wajarkah pesakit warga emas dianaktirikan tetapi pesakit muda remaja dilayan seperti raja? Dimanakah letaknya keadilan dan dimanakah letaknya hak pesakit untuk bersuara?
*disertakan bukti buku-buku rekod rawatan jemaah haji yang telah dikoyakkan
 





SUMBER - https://www.facebook.com/danial.fakhri.5/posts/10205421145582714

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.