`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, December 12, 2017

Antara 2/3 dan 3 penjuru

pau-2017-najib

Ada 3 perisytiharan dibuat pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu.
Pertama, BN (BN) mahu kembalikan kedudukannya sebagai kerajaan persekutuan yang memperolehi majoriti 2/3.
Kedua, anggapan bahawa pertandingan lebih daripada 2 penjuru akan menguntungkan BN adalah tidak betul. Oleh itu, dapat dinilai bahawa Umno mahukan pertandingan 2 penjuru.
Dalam pada itu, ada 2 pihak pembangkang sepanjang minggu lalu. Pertama, selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, dicadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi perdana menteri sekiranya (BN) dikalahkan. Minggu lalu juga, beliau mengingatkan sebagai ketua yang pernah membawa kepada kemenangan BN sebanyak 5 kali pilihan raya, faktor penting kekalahan pembangkang adalah mereka tidak bersatu.
Ketika BN bersatu dan memberi tumpuan untuk menang, iaitu pada pilihan raya umum 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999, pembangkang gagal menumpukan perhatian, sebaliknya berbalah sesama sendiri. Begitu jugalah dalam pilihan raya ke-14 ini, perbalahan sesama pembangkang akan mengulangi keadaan yang sama.
Banyak spekulasi menyatakan PRU ke-14 akan berlangsung pada Mac tahun depan. Perhimpunan Agung Umno yang baru berlalu itu merupakan majlis paluan gendang perang bagi menghadapi pilihan raya itu.
Maka perhimpunan itu berjaya menyuntik semangat dan harapan kepada penyokong Umno untuk bukan saja menang majoriti mudah seperti dalam PRU ke-13 tetapi menyasarkan kemenangan besar.
Kesan 2/3 untuk Umno
Pencapaian majoriti 2/3 dalam pilihan raya umum ke-14 akan menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi Umno. Pastinya kelantangan pembangkang akan dapat diredakan. Isu besar seperti 1MDB akan dapat diperkecilkan. Umno akan lebih bersatu dan stabil dengan kepimpinan 3 serangkai, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan dapat diperkukuhkan.
Kemenangan besar juga akan mengukuhkan perpaduan dalam BN. Adalah mudah bagi Umno untuk menguruskan soal hubungan antara kaum dan juga mengenai tuntutan parti BN Sarawak dan Sabah.
Perhimpunan itu dibayangkan bahawa kemenangan besar bukan hanya harapan tetapi benar-benar boleh dicapai walaupun suasana sekarang dirasakan diselubungi dengan cabaran daripada pembangkang yang merupakan paling besar dalam sejarah negara ini.
Ini kerana Umno tidaklah terbahagi secara besar seperti yang dibimbangkan sebelum ini. Walaupun ada ahli dan penyokongnya meninggalkan parti untuk menyertai PPBM, tetapi perpecahan itu tidak membawa kepada Umno terbelah dua.
PPBM hanya menjadi serpihan kecil. Ketokohan Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak cukup kuat untuk membela Umno.
Sementara itu, dikesan bahawa orang Melayu masih mahu menyokong Umno dengan mempunyai sentimen perkauman yang mendokong pengekalan status quo serta berasa bimbang terhadap kaum lain khususnya cabaran dari DAP.
Dalam pada itu, kejayaan Umno untuk menarik PAS supaya bersamanya menentang DAP juga memberi harapan cerah kepada mereka untuk mendapatkan kemenangan besar BN. Soal kaum dan agama masih menjadi perkiraan orang Melayu.
Sejak dari awal lagi pertelingkahan antara PAS dan DAP hingga membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat telah memusnahkan harapan untuk mengalahkan BN. Walaupun Amanah menggantikan PAS dalam Pakatan Harapan (PH), serta adanya penyertaan PPBM, ia tetap tidak dapat menggantikan kekuatan PAS dalam barisan pembangkang sebelum ini.
3 penjuru tak dapat dielak
Pertandingan 3 penjuru antara BN, PH dan PAS adalah suatu yang tidak dapat dielakkan dan undi pembangkang akan pecah serta ia pasti memberi kemenangan kepada pihak pimpinan Umno. Itulah perkiraan yang dibuat oleh banyak pihak.
Strategi BN memecahkan Pakatan Rakyat bermula sejak ia ditubuhkan selepas pilihan raya umum tahun 2008. Pakatan Rakyat gagal dipecahkan pada PRU 2013. Dalam kedua-dua pilihan raya itu, BN gagal memperoleh majoriti 2/3.
Tetapi kali ini PAS sudah tiada dalam pakatan pembangkang, maka BN mempunyai harapan untuk mendapat kemenangan besar. Namun begitu, dalam perhimpunan Umno itu dinyatakan bahawa pertandingan 3 penjuru tidak menguntungkan BN.
Apakah maknanya kenyataan itu? Adakah kenyataan itu hanya taktik untuk mengelirukan pembangkang? Jika benar, sudah tentu menteri dalam negeri mempunyai maklumat dan perangkaan yang pembangkang tidak ada mengenai keadaan politik akar umbi.
Kekuatan PH
Mungkinkah PH mempunyai kekuatan yang besar hinggakan ia boleh menang walaupun bertanding 3 penjuru, dengan PAS turut bertanding? Jika untuk mengelak pertandingan 3 penjuru, BN perlu membahagi kerusi dengan PAS. Ini perlu dilakukan supaya pertandingan adalah dua penjuru, antara PH dengan BN+PAS.
Sikap untuk mengelak pertandingan 3 penjuru ini sememang dipegang sejak awal oleh Dr Mahathir. Ketika PPBM baru ditubuhkan pun, parti itu cuba mencari jalan bekerjasama dengan PAS. Pada masa itu, PPBM tidaklah berhasrat untuk menyertai PH. Ia hanya mahu bekerjasama dengan PH dan PAS.
Tetapi PAS tetap enggan bekerjasama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP dan Amanah. Tetapi PPBM perlu kerjasama dengan DAP. Begitu juga dengan PKR. Mereka juga cuba berunding dengan PAS untuk mengadakan kerjasama di luar PH.
Tetapi rundingan itu gagal kerana sebagai anggota PH, PKR perlu kerjasama dengan DAP dan Amanah.
Dengan pelbagai isu termasuk 1MDB yang mendorong kepada penubuhan PPBM, peluang pembangkang adalah besar untuk buat pertama kali mengalahkan BN dalam pilihan raya umum akan datang. Cumanya bila PAS bergerak menjadi mesra Umno dan memusuhi DAP, harapan PH tinggal harapan.
Masalah PM
Satu lagi masalah bagi PH adalah pucuk kepimpinan yang akan dicalonkan menjadi perdana menteri. Bagi pihak BN, ia tidak menjadi masalah. Tiga pucuk pemimpin utama BN ialah Najib, Zahid dan Hishammuddin.
Tetapi bagi PH, ia menjadi kompleks. Adakah 3 pemimpin utamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail?
Anwar masih dalam penjara dengan dijangkakan bebas pada Jun tahun depan, iaitu selepas pilihan raya umum diadakan. Dr Mahathir berusia 90 tahun. Dr Wan Azizah pula dilihat hanya sebagai proksi suaminya.
Maka tidak ada pilihan lain kecuali Dr Mahathir. Tentu ada kalangan akar umbi PKR, DAP dan Amanah yang sebahagian besar hidup mereka menentang Dr Mahathir berasa tidak selesa.
Ada yang mencadangkan supaya tokoh muda diangkat menjadi bakal perdana menteri. Tokoh yang disebut itu ialah Datuk Seri Azmin Ali. Adalah dipercayai bahawa keadaan ini tidak menjadi masalah bagi Dr Mahathir. Tetapi dalam PKR sendiri, beliau tidak dapat sokongan padu.
Namun begitu, penghalang besar bagi PH ialah keupayaan BN menggunakan jentera kerajaan untuk keuntungan politiknya. Setakat ini pun PH belum dapat didaftarkan.
Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.