`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, December 14, 2017

Khalid Samad dakwa proses tauliah tidak telus, pilih kasih

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata tauliah agama seperti ditakrifkan dalam enakmen kini lebih menjurus kepada menutup mulut umat Islam.
khalid-samad-ceramah-agama-tauliahPETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata tauliah mengajar yang diwajibkan ke atas penceramah agama bukan sahaja terlalu luas sehingga mengekang kebebasan bersuara, tetapi juga diberikan melalui proses yang tidak telus dan pilih kasih.
Pemimpin Amanah itu berkata ini menyebabkan tauliah diberikan kepada mereka yang tidak layak.
“Ada yang memohon tetapi dinafikan semata-mata dirinya tidak disukai oleh pihak pemberi tauliah. Dengan itu didapati ada mufti-mufti yang tidak diberi tauliah seperti mana juga pensyarah-pensyarah universiti yang mengajar bidang syariah di universiti yang dinafikan tauliah,” katanya dalam catatan di laman rasmi beliau.
“Maka didapati anak muridnya berkerja sebagai pegawai Jabatan Agama dan bertauliah tetapi gurunya sendiri dinafikan tauliah.”
Khalid disabitkan atas tuduhan mengajar Islam tanpa tauliah sah, kerana menyampaikan ceramah berkenaan kunjungannya ke Palestin pada 2011. Awal tahun ini, beliau didenda RM2,900, tetapi denda tersebut dikurangkan kepada RM1,900, membolehkannya terus memegang jawatan wakil rakyat dan bertanding pada pilihan raya akan datang.
Beliau bagaimanapun dikritik kerana tidak mencabar sabitan salah itu, tindakan yang dilihat akur dengan kewujudan tauliah.
Khalid berkata beliau menghormati desakan supaya mencabar keputusan itu, tetapi berkata ia sesuatu yang mustahil kerana definasi tauliah dalam enakmen syariah.
“Masalahnya adalah istilah ‘mengajar’ itu telah diberikan satu takrif yang terlalu luas oleh enakmen berkenaan. Ianya merangkumi ceramah motivasi, ceramah umum, pengisahan dan nasihat sehingga boleh dirumuskan bahawa tauliah diperlukan untuk ‘bercakap mengenai sesuatu berhubung dengan agama Islam’ bukan ‘mengajar’,” kata Khalid.
Menurutnya, ia seperti menyamakan “mengajar” dengan “bercakap”.
“Ini menjadikan umat Islam terkunci mulut mereka dan tidak boleh memenuhi tugasan mereka sebagai umat yang menyeru kepada agama Allah,” tambahnya.
Isu tauliah beberapa kali menjadi kontroversi, termasuk keputusan istana Selangor menarik balik tauliah terhadap pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin baru-baru ini kerana mengkritik Sultan Johor.
September lalu, penulis Turki, Mustafa Akyol, ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana memberikan syarahan di beberapa sesi anjuran Islamic Renaissance Front. Pihak berkuasa agama berkata Akyol melanggar keperluan tauliah untuk bercakap mengenai Islam.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru pihak berkuasa agama negeri melaksanakan peraturan tauliah dengan tegas.
“Mais (Majlis Agama Islam Selangor) dan Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) sebagai badan agama tertinggi di Selangor perlu sentiasa tegas di dalam mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melanggar titah beta dan segala peraturan ditetapkan,” katanya. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.