PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menepis cabaran Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mencabar bekas perdana menteri itu keluar dari Selangor, susulan tindakan memulangkan pingat kebesaran negeri kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis.
Dr Mahathir berkata Selangor bukan milik Jamal sehubungan itu beliau bebas untuk menetap di negeri itu.
“Ini negeri bukan dia yang punya,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Pakatan Harapan di ibu pejabat PKR hari ini.
Terdahulu, Jamal menasihatkan Dr Mahathir supaya tidak menjadi kebudak-budakan dengan memulangkan pingat kebesaran negeri Selangor selepas ditegur oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Katanya, Dr Mahathir sepatutnya cukup berpengalaman dan cukup dewasa untuk mengambil teguran tersebut dengan terbuka. Justeru, beliau mencabar bekas perdana menteri itu “berhijrah” ke negeri lain.
“Jadi kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan Dr Mahathir ini. Kalau Dr Mahathir sudah tidak suka lagi dengan sultan Selangor, keluarlah daripada Selangor,” katanya Jamal.
“Kita tahu Mahathir pun tinggal di dalam negeri Selangor, rumahnya di Seri Kembangan, jadi eloklah pindah daripada Selangor ini berhijrahlah ke negeri-negeri lain,” tambahnya.
Semalam media melaporkan Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menyerahkan semula anugerah kebesaran yang diterima daripada Sultan Selangor terdahulu pada Khamis.
Keputusan bekas perdana menteri memulangkan pingat kebesaran itu dianggap tindakan terhormat yang patut dilakukan, kata bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim.
“Apabila sultan mengambil langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu mengisytiharkannya sebagai orang yang tidak diingini secara terbuka, Tun tidak lagi boleh menyandang gelaran yang diberikan kepadanya,” kata Zaid.
Pingat diserahkan selepas Dr Mahathir sekali lagi dikritik Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam wawancara yang diterbitkan The Star dan Utusan Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.