`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 21, 2018

Perdana menteri penunggu, 10 tahun kemudian

Tidak seperti dulu, saya tidak fikir saya keseorangan dan dilihat aneh kerana berpendapat lebih ramai calon lain selain daripada Anwar Ibrahim.
KOMEN
Sepuluh tahun lalu, akhbar The Sun bertarikh 31 Julai 2008 menemuramah saya dan bertanyakan sebuah soalan: “Segelintir pihak merasakan Anwar Ibrahim akan menjadi pemimpin yang hebat, apakah pandangan kamu?”
Saya kurang mengingat mengapa Bissme S tergamak bertanyakan soalan sedemikian. Apakah konteksnya?
Ketika soalan itu diaju, pilihan raya umum ke-12 telah pun berlangsung dalam bulan Mac, dan Pak Lah menjadi perdana menteri meskipun dengan hakisan kerusi yang dianggap signifikan untuk Barisan Nasional (BN).
Ada banyak yang saya nyatakan dalam wawancara sukar tersebut. Harus diingat, tatkala itu saya masih seorang konservatif dan merupakan suara Islam tradisional yang acah progresif.
Wawancara itu malah menonjolkan sisi saya yang mempertahankan kekuasaan Melayu-Islam. Namun, dalam tempoh 10 tahun, saya mengalami perubahan pesat.
Dari menulis novel “Tuhan Manusia”, saya kini diwakili oleh novel seperti “Bagaimana Anyss Naik ke Langit”, dan “Profesor”.
Terlalu banyak pandangan hidup saya sudah mengalami kejutan. Saya telah menempuh pengalaman dan kembara intelektual yang menakjubkan meskipun saya masih menganggap diri ini pelajar.
Terima kasih kepada tuduhan bahawa saya seorang Syiah oleh mufti Perlis, dan pengharaman buku-buku saya oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Daripada seorang relativis budaya, saya kini acah mengaku penggiat hak asasi manusia. Saya antara lain mengarang artikel tentang kebebasan beragama untuk siri buku Routledge.
Saya malah, seperti yang saya beritahukan kepada Pak A Samad Said dan audien di Pesta Sastera George Town beberapa tahun lalu, sudah tidak lagi percaya kepada gagasan dan agenda Sastera Islam, sesuatu yang dikaitkan dengan saya sejak mula.
Saya kini percaya kepada idea pembebasan dan kemerdekaan untuk manusia, yakni untuk setiap individu. Dan saya percaya bahawa dosa pahala adalah rahsia Allah, Tuhan sahaja yang dapat menghitungnya; dan saya tidak memerlukan manusia lain untuk menjadi mesin kira-kira amal dan mungkar saya.
Mengapa cuma Anwar?
Akan tetapi, ketika saya mengulang baca wawancara berjudul “Writing for Change” itu, saya dapati terdapat soalan politik yang diajukan. Salah satunya mengenai kemungkinan Malaysia – ingat ini adalah pada tahun 2008 – dipimpin kelak oleh Saudara Anwar Ibrahim.
Saya masih ingat betapa polosnya saya tertawa dan membalas soalan tersebut. Jawapan saya, diterjemah di sini, di dalam bahasa Melayu; lebih kurang begini:
“Ini adalah perkara yang subjektif. Mengapa mesti Anwar menjadi perdana menteri. Mengapa kita meletakkan beban ini di atas beliau sahaja? Kita tidak ketandusan pemimpin, bukan? Mengapa tidak kita beri jawatan perdana menteri kepada generasi lebih muda? Terdapat generasi lebih muda dalam PKR, PAS, DAP dan Umno, dengan idea baharu. Mereka patut diberi peluang.
“Mengapa tidak Nurul Izzah (anak perempuan Anwar)? Beliau seorang yang segar. Beliau tentu memiliki idea yang baharu. PAS memiliki wajah muda yang liberal dan sofistikated. Lim Guan Eng dari DAP juga bagus. Beliau malah bergambar dengan Ning Baizura (penyanyi) dan terbang dalam kelas ekonomi.
“Kumpulan pemimpin berusia… mereka selalu sahaja terperangkap dengan episod drama dari masa lampau dan ini dengan mudah menjadi isu sesama mereka. Kita mesti memberi generasi muda kesempatan.”
Saya bahkan menambah: “Lihat kepada presiden Rusia. Beliau sangat muda (Dmitry Anatolyevich Medvedev. Usia: 43). Lihat kepada Amerika, mereka mungkin memilih (Barrack) Obama. Beliau seorang yang agak muda (Usia: 47). Seisi dunia sedang berubah kepada perspektif orang muda dan idea-idea baharu. Saya berpendapat Malaysia harus menempuh jalan yang sama.”
Wawancara 2008 tersebut rupa-rupanya pada waktu itu meletakkan saya dalam keadaan tidak selesa. Ramai yang merasakan saya kurang bersopan dalam menyuarakan pendapat tersebut. Mungkin ini kerana sebahagian rakyat Malaysia, sedang mengharapkan Pakatan Rakyat yang ketika itu dipimpin Anwar. Sungguhpun kala itu saya memikirkan, ia adalah jawapan paling lojik, munasabah dan terkehadapan.
Orang muda
Hari ini rakyat Selangor dipimpin seorang menteri besar yang muda. Amiruddin Shari adalah berusia 38 tahun. Pakatan Harapan yang telah membentuk kerajaan pada 10 Mei lalu membariskan ramai ahli Parlimen dan DUN dari kalangan anak muda.
Saya malas menyenaraikan mereka. Ramai yang menang dan menanti masa berkincah di gelanggang menunjukkan kemampuan mereka.
Lim Guan Eng yang saya sebutkan dalam wawancara itu sudah 10 tahun lebih berusia, tetapi sudah juga banyak pengalaman. Beliau masih dikira muda berbanding usia Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Anwar (selaku perdana menteri penunggu).
Nurul Izzah pula, saya kurang faham mengapa beliau yang saya rujuk pada 2008 sebagai segar dan sarat idea baharu, masih belum dapat posisi yang saksama di arena politik. Sila, tolong jawab PKR? Kita memerlukan Izzah, seorang perempuan yang bervisi untuk Malaysia Baharu tentunya.
Saya kurang faham mengapa beliau tidak boleh ditonjolkan di dalam kabinet pentadbiran Dr Mahathir. Beliau perlu menggali pengalaman sebelum Dr Mahathir mengundur diri. Saya tidak fikir bapanya akan menghalang.
Saya seorang bapa kepada anak perempuan yang berpotensi dan bercita-cita tinggi, saya sanggup mengalah untuk puteri saya. Saya fikir semua orang akan begitu. Saya tidak perlu membawa contoh dari hikayat lama dan sirah Nabi seperti selalu untuk berhujah.
Ya, mengkehadapan dan memupuk orang muda, adalah sesuatu yang waras. Kita yang berusia, di laluan menuju kebinasaan dan kita meninggalkan dunia untuk anak-anak mewarisi.
Hari ini kita mempunyai segerombolan anak muda dalam semua parti, baiklah lupakan Umno yang masih mencari dahan berpaut dalam renang di muara yang ganas dan lemas, akan tetapi kita memang tidak ada pilihan lain selain anak muda.
Anak muda ini mesti dibenarkan memilih acuan mereka sendiri. Pemimpin berusia yang membimbing sebagai mentor tentu tidak sampai menentukan A sehingga Z, kerana kita juga tahu yang anak muda hadir mengkritik serba-serbi kehidupan hari ini baik puas atau tidak lunas. Ini lumrah.
Saya percaya selepas Dr Mahathir pergi, lantas beredar, kerana fitrah dunia sememangnya begitu, anak muda akan lebih mendesak supaya mereka yang belia diberi ruang yang lebih. Maksud ruang lebih ialah untuk memimpin.
Sudah tiba masanya pemberdayaan anak muda, dan semakin pemimpin berusia mencari jalan menutup peluang yang muda semakin dia atau mereka akan dibenci dan dikecam di dalam hati. Ini lumrah.
Lama kelamaan kecaman itu akan membesar dan menjadi agam langsung melahar muntah memerciki siapa pun. Ini lumrah.
Hari ini, 10 tahun kemudian; soalan Bissme S pada tahun 2008 tersebut sekan-akan bergema kembali:
“Segelintir pihak merasakan Anwar Ibrahim akan menjadi pemimpin yang hebat, apakah pandangan kamu?”
Berbanding dahulu; saya tidak fikir saya keseorangan, saya tidak fikir saya akan dilihat aneh, saya tidak fikir saya akan jadi canggung, bahkan saya tidak fikir akan dipinggir seperti dulu kerana menyuarakan “lihat yang muda, yang selain Anwar”.
Saya fikir kita semua berbilang bangsa ada suara yang padu. Malaysia Baharu akan bergerak melampaui siapa pun yang cuba menutup lebuhraya untuk anak muda. Saya beri amaran terakhir; ini lumrah.
Tidak perlu jadi bijak memikirkannya. Erdogan atau Qaradawi, nama-nama yang dijatuhkan untuk kelihatan bernas, sudah semakin ditinggalkan. Beri kepada orang muda dalam tempoh 2 hingga 5 tahun ini. Ini bukan hujah politik. Ini hujah alami. Ia adalah hujah kehidupan. Ia adalah fitrah manusiawi.
Duhai, ini lumrah! - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.