`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, August 21, 2019

Premis gantung bendera terbalik diarah tunjuk sebab

(Gambar Facebook)
KUANTAN: Sebuah pusat pameran, jualan dan servis kenderaan di Sungai Isap diarahkan memberi penjelasan mengenai kejadian memasang Jalur Gemilang terbalik, yang tular di laman sosial pada minggu lepas.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Hamdan Hussin berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada Isnin lalu.
“Pemilik premis diberikan tempoh 3 hari untuk memberi penjelasan dan saya difahamkan tempoh ini akan berakhir esok. Setakat ini, kami masih menanti jawapan mereka,” katanya, semasa ditemui pada Program Pemantauan Pemasangan Bendera Malaysia sempena bulan kebangsaan di premis sekitar bandar Kuantan hari ini, yang turut disertai Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Abd Rahim Muda.
Premis tersebut menurut Hamdan, boleh dikenakan kompaun sehingga RM500 mengikut Akta Kerajaan Tempatan sekiranya gagal mengemukakan surat dan penjelasan yang diminta pihak MPK.
Rakaman gambar 2 daripada 3 bendera yang dinaikkan di hadapan premis perniagaan itu berada dalam keadaan terbalik tular di Facebook pada Isnin lepas, dan difahamkan mereka membuat permohonan maaf di laman sosial rasmi pada hari sama selepas menyedari kejadian tersebut.
Sementara itu, Rahim berkata tinjauan hari ini mendapati hanya sekitar 50% premis sahaja yang memasang Jalur Gemilang di premis mereka dan diharapkan lebih ramai yang akan berbuat demikian dalam masa terdekat.
Katanya, antara alasan yang kerap diberikan apabila ditanya ialah tidak menyedari keperluan berbuat demikian selain ada yang menunggu bendera percuma daripada kerajaan.
“Surat pekeliling berhubung pemasangan bendera bermula 16 Ogos sehingga 16 Sept telah diberikan dan kita akan mengeluarkan surat peringatan dalam tempoh terdekat kepada mereka,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.