`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, May 24, 2020

Biar sakit rindu asal keluarga selamat, geng bujang cekal beraya sendirian

Muhammad Shamsul Abd Ghani dari Perak.
PETALING JAYA: Sambutan lebaran mengimbau nostalgia dan cukup bermakna bagi setiap individu. Kebiasaannya, walau di mana pun seseorang itu berada, hari raya lebih meriah disambut bersama keluarga.
Pastinya ramai golongan bujang, terutama yang merantau mencari rezeki, terkesan gara-gara musuh halimunan Covid-19.
Sehingga kini lebih 7,000 rakyat dijangkiti dengan ratusan menjadi korban pandemik itu.
Lebih membimbangkan, tidak semua mangsa sedar dia membawa virus kerana tiada tanda-tanda.
Bagi Muhammad Shamsul Abd Ghani, walaupun sedih lagi sunyi tidak dapat beraya bersama keluarga, larangan kerajaan itu diambil dari sudut positif membuat dia redha.
Mohammad Faris Che Ya dari Kelantan.
Dia yang berasal dari Gerik, Perak menganggap ia “jihad” memerangi musuh yang tidak kelihatan.
“Biar saya sakit rindu kepada keluarga, jangan keluarga sakit disebabkan kita. Sedih tidak dapat balik beraya hanya seketika daripada sedih tengok keluarga dijangkiti virus berbahaya itu gara-gara sikap kita yang mementingkan diri.”
“Jika kita pulang ke kampung, dan kita positif dijangkiti virus itu, kita akan menyusahkan keluarga. Biarlah sunyi tahun ini meraikan Aidilfitri seorang diri, tapi keluarga di kampung halaman selamat,” katanya.
Aifaa Husna Asha’ri dari Johor.
Kesedihan sama turut diluahkan Mohammad Faris Che Ya, apabila raya kali ini tidak dapat merasa masakan air tangan ibunya.
“Kalau tahun-tahun sebelum ini, bila sibuk atau tidak dapat cuti raya, saya akan merayu kepada majikan supaya diberi cuti, malah sanggup meredah kesesakan jalan raya berpuluh jam hanya untuk pulang ke kampung saya di Machang, Kelantan.
“Tapi kali ini, nak merayu macam mana pun memang tak boleh. Saya terpaksa menggunakan cara lain, termasuk menggunakan aplikasi Zoom atau panggilan video, untuk melepaskan rindu kepada ahli keluarga di pagi raya, mungkin akan bermaafan, termasuk mendengar khutbah raya secara dalam talian daripada ayah,” katanya yang bekerja di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur.
Raya bersama geng bujang
Nur Hazieqah dari Johor.
Sementara itu, Aifaa Husna Asha’ri dari Johor dan rakan-rakan serumah cuba mengubati kesedihan dengan beraya bersama.
“Bukan saya sorang sahaja ada dekat rumah sewa ini, ramai lagi rakan serumah yang terkandas dan tidak dapat balik ke kampung.”
Aifaa bersama rakan serumah merancang memasak menu raya bersama.
“Kami akan pastikan dapur bujang kami tahun ini ‘berasap’ dengan memasak pelbagai menu raya.
“Cuma bezanya kali ini semua kena buat sendiri, tak ada ibu untuk tolong kami. Tapi tidak mengapa, kita cuba, tak cuba tak tahu, mungkin ini persediaan sebelum kami memasuki alam perkahwinan,” katanya sambil tertawa kecil.
Ditanya adakah mereka akan ziarah rakan sekitar ibu kota, Husna yang bekerja sebagai guru berkata, dia belum memikirkan lagi kerana patuh arahan kerajaan supaya duduk di rumah.
“Lebih baik kekal di rumah, kita ikut saranan pihak berkuasa. Jaga diri sendiri, jangan membahayakan diri dengan menziarah,” katanya, kerana ziarah boleh ditangguh sehingga Covid-19 reda.
Hafieza dan Nur Hazierah dari Sabah.
Sementara itu, bagi Nur Hazieqah, pilihan untuk kekal di ibu kota keputusan terbaik buat dirinya dan keluarga.
“Kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur majoriti zon merah, jadi risiko,” katanya.
“Untuk elak rasa sunyi, kami akan memasak dan agihkan makanan kepada jiran. Mungkin ini masa terbaik untuk kami yang di rumah bujang ini mengenali jiran-jiran walaupun sudah lama tinggal di kawasan sama,” katanya.
Bagi adik beradik, Nur Hafieza dan Nur Hazierah dari Sabah, mereka tidak mempunyai pilihan kerana pengangkutan pulang ke kampung halaman juga terhad.
“Kami akan berhubung dengan ahli keluarga secara dalam talian. Perasaan sedih itu ada tapi, sebab kami sudah biasa tidak balik raya semasa belajar dulu, jadi tidaklah rasa hiba sangat.
“Malah kami boleh guna kelebihan menyanyi untuk hiburkan rakan-rakan di rumah sewa ini,” katanya.
Kucing peneman raya
Nazirul Razman Abdul Rahaman dari Perak, bersama kucingnya.
Nazirul Razman Abdul Rahaman tidak membuat persiapan raya berlebihan tahun ini. Setiap tahun sepanjang 27 tahun beraya di kampung, dia sekeluarga akan akan sibuk memasak selepas Subuh.
“Selepas solat raya, pulang bermaafan bersama keluarga, cium tangan ibu dan ayah, kemudian tunggu tetamu datang, itulah aktiviti setiap pagi raya kami.
“Tapi tahun ini berbeza. Memang rasa kosong. Panggilan video tidak sama dengan jumpa, peluk cium depan-depan.
“Tahun ini kena raya sorang. Nak sambut dengan siapa pun tak tahu, hanya ada kucing saja di rumah bujang saya, mungkin raya dengan dia sajalah tahun ini,” katanya.
Tiada makcik bawang
Namun kata Nazirul, ada baiknya juga raya di perantauan tahun ini, kerana dapat mengelak pertanyaan saudara mara khususnya melibatkan perkahwinan.
“Boleh elak soalan cepumas, kadang-kadang jenuh makcik pakcik di kampung, banyak soalan bila nak kawin, kerja apa.
“Tahun depan kita boleh sedia jawapan mantap,” katanya.
Bagi Ahmad Najmi pula, beraya di ibu kota peluang untuk menyimpan wang bagi perkahwinannya.
“Hikmah beraya di perantauan, tidak perlu baju raya, tiada kos balik kampung, tak perlu sediakan duit raya kecuali untuk adik beradik dan ibu bapa, jadi saya boleh jimat kira-kira RM2,000 tahun ini,” katanya.
Selain menjimatkan wang, keputusan kerajaan melarang perjalanan rentas negeri memberi ruang kepada mereka yang tidak pernah beraya di perantauan merasai suasana raya di bandar.
“Jika tahun sebelum ini hari raya pertama bandar kita dipenuhi warga asing, tapi kali ini, rakyat tempatan sendiri boleh merasai suasana itu,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.