`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 8, 2020

JPM belanja RM132.85 untuk misi bantuan sepanjang Mac-April

Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
PETALING JAYA: Sebanyak RM132.85 perbelanjaan diperuntukkan untuk misi Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan agensi hal ehwal agama sepanjang Mac hingga April lalu bagi membantu asnaf, petugas barisan hadapan dan kumpulan lain yang memerlukan.
Dalam kad laporan Pejabat Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dikeluarkan hari ini, peruntukan berkenaan diagihkan menerusi program #MusaadahCovid-19 membabitkan 10 agensi bawah jabatan berkenaan.
“Ia termasuk peruntukan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebanyak RM81.2 juta dan RM6.2 juta untuk Lembaga Tabung Haji, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM39.5 juta, Yayasan Waqaf Malaysia (RM1 juta) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sebanyak RM1.54 juta.
“Turut menyumbang dalam program ini ialah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) (RM2.15 juta), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (RM350 ribu),” menurut kad laporan berkenaan.
Antara pencapaian lain yang dinyatakan Zulkifli bagi tempoh 2 bulan ini termasuk mengadakan 4 mesyuarat khas Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) bagi membincangkan isu pentadbiran Islam ketika PKP dan penyelarasan urusan pentadbiran hal ehwal agama dalam tempoh PKP pada peringkat persekutuan dan negeri.
“Ia termasuk membincangkan mengenai penangguhan aktiviti agama di masjid dan surau, kaedah melihat anak bulan, kaedah pembayaran zakat fitrah, kaedah pelaksanaan ibadah pada bulan Ramadan, kedudukan solat berjemaah, garis panduan sambutan hari raya, garis panduan perkahwinan orang Islam dalam tempoh PKP serta pasca PKP dan garis panduan ibadah pasca PKP,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli berkata pihaknya turut melaksanakan transformasi budaya kerja dengan melaksanakan serahan laporan bulanan bagi setiap agensi kepadanya serta lebih mengutamakan pendekatan status “meeting update”, “information sharing meeting”, “decision sharing meeting” dan “problem solving meeting” dalam setiap mesyuarat bersama agensi.
Tambahnya, bagi aspek modal insan, jabatannya turut menubuhkan Jawatankuasa Penyusun Tafsir al-Bayan, jawatankuasa penterjemah dan penyemak Kutub al-Sittah.
Turut serta dalam kerjasama bersepadu bersama 2 kementerian iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menyelesaikan isu pengurusan emosi berkaitan kekeluargaan, sosial dan komuniti, sebanyak 823 aduan diterima sehingga tarikh 28 April.
“Saya tidaklah berbangga dengan Anugerah Ikon Integriti dan Anti Rasuah Negara yang baru saya terima pada Disember 2019 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Ia satu amanah yang berat untuk saya zahirkan sepanjang memegang jawatan ini,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.