`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, January 15, 2021

Lagi kilang sarung tangan gagal sedia kemudahan asrama pekerja asing

 

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JTK Semenanjung Malaysia, Zaini Yaacob (kiri) bersama pegawai penguat kuasa JTK melakukan pemeriksaan di asrama pekerja asing sebuah kilang sarung tangan dekat Kampung Acheh, Sitiawan hari ini.

SITIAWAN: Sebuah kilang sarung tangan di Kampung Acheh dekat sini yang menempatkan 1,000 pekerja asing dikesan gagal mematuhi peraturan ditetapkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) membabitkan penyediaan tempat tinggal kepada pekerja.

Antara kesalahan yang dikesan adalah tempat tinggal melebihi kapasiti ditetapkan dan gagal mendapatkan perakuan penginapan untuk asrama yang disediakan kepada pekerja.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JTK Semenanjung Malaysia, Zaini Yaacob berkata, pemeriksaan di enam blok asrama di dua lokasi berasingan dimiliki kilang berkenaan mendapati terdapat beberapa aspek yang tidak mengikut peraturan ditetapkan JTK.

“Kesalahan yang paling ketara adalah kegagalan majikan mendapatkan perakuan penginapan daripada JTK.

“Hasil tinjauan juga mendapati berlaku kesesakan dalam bilik asrama berkenaan di mana unit yang sepatutnya untuk dua orang sahaja, dihuni lebih daripada empat orang.

“Selain itu kami juga mendapati ada katil diletakkan di ruang rehat sedangkan katil sepatutnya diletakan dalam bilik dan ia jelas melanggar peraturan di bawah akta berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi tiga jam di sini.

Operasi bersepadu itu turut disertai polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Jabatan Kesihatan.

Zaini berkata, kesalahan lain adalah tidak menyediakan katil dan tilam yang sesuai, menjadikan ruang rehat sebagai tempat memasak selain gagal menyediakan ruang simpanan barangan peribadi untuk pekerja.

Kesalahan tiada perakuan penginapan daripada JTK dan penginapan sesak yang tidak mengikut peraturan tertakluk di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Kegagalan majikan mematuhi menjadi satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000.

Zaini berkata, JTK akan berbincang dengan majikan terbabit bagi mengatasi masalah yang berlaku secepat mungkin sebelum tindakan susulan diambil.

“Buat masa ini siasatan lanjut akan dijalankan dan jika majikan gagal mematuhi barulah kertas siasatan akan dibuka,” katanya.

Rabu lalu, JTK Perak mendedahkan akan mendakwa sebuah kilang sarung tangan getah dekat Ipoh atas 10 pertuduhan dalam masa terdekat kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan JTK dalam satu pemeriksaan pada Nov tahun lalu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.