`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, May 27, 2021

Api Palestina terbakar di Andalusia

 

Maka sekonyong-konyong bertanya kepada saya, di manakah salahnya orang Islam apabila Palestina dihinjak dan dijadikan seperti ladam keldai oleh penyokong apartheid?

Di antara mereka itu mencari-cari sebab musabab dan ada yang mengomelkan hal Yasser Arafat, ada pula yang membawa kepada sejarah Nakba, tidak kurang juga yang memperincikan aneka kejadian sambil menyalahkan kuasa-kuasa besar.

Masing-masing memberikan hipotesis dan gagasan kepandaian sendiri-sendiri. Biarkan mereka bercakap. Sebab bercakap mencari punca itu memang baik, dan jika jujur akan pasti diberi taufik dan hidayah untuk menemukan musababnya.

Sebetulnya, jika kita benar-benar ingin menelusuri, kita akan menemukan punca api di Palestina itu ada di hadapan rumah Fatimah dan Ali Abi Talib selepas kewafatan Nabi Muhammad. Akan tetapi oleh kerana ramai antara orang kita kurang bersedia untuk menyelak sejarah sampai ke situ, mungkin baik kita hanya menyelak tidak sampai tinggi; tetapi memadai sampai separuh jalan.

Kita berhenti takat di Andalusia. Apakah yang berlaku di Andalusia?

Andalusia yang hari ini Sepanyol direbutkan oleh orang Islam ketika zaman Bani Umayyah. Untuk kenal Andalusia yang sedikit asing untuk kita itu, cukup dengan menilik Umaiyyah sahaja dahulu. Ia period yang dianggap keemasan kerana memberikan kemewahan, keindahan, khayalan, kepandaian, dan bermacam-macam lagi.

Selalu apabila kita merujuk sejarah Andalusia, kita akan bebelkan mengenai hebatnya tamadun Islam. Kemudian tiba-tiba; itu semua hilang, runtuh, dan terpadam apinya. Saya tidak fikir ada yang suka merenung sejarah kekalahan dan ketumpasan yang demikian dahsyat saat itu. Dalam buku sejarah umat Islam, hal-hal ini kurang direnungkan.

Padahal hal ehwal keruntuhan Andalusia itulah yang menyebabkan api di Gaza masih menyala, atau api di Baitulmaqdis tidak mahu padam, dan pada musim tertentu akan marak sehingga membakar semua.

Beginilah, orang Islam perlu berjujur sahaja. Janganlah menyalahkan Zionis sahaja. Harus kita berjujur dan merenung dalam diri dan jiwa kita.

Paling kurang ada enam api celaka yang membakar Andalusia dan baranya terus melarat kambuh.

Saya memberitahu mereka, sebetulnya kalau kita ingin merenung nasib Palestina, kita mesti percaya kepada satu kenyataan yang pilu dan pahit.

Pertama, sepeninggalan Nabi Muhammad, pengangkatan kepimpinan politik jatuh dalam tatanan yang relatif. Demikian relatif dan rapuh ia akhirnya berjaya dirompak dan direbut lalu ditukarkan menjadi pemerintahan monarki yang despotik.

Kita tidak dapat menafikan kezaliman monarki ini kerana dalam sejarah, mereka sampai gamak menyembelih ahli keluarga Rasulullah di Karbala. Pemimpin yang ditabal tidak lagi menurut syariat lantas melulu dengan nafsu dan meraja dengan hawa.

Kedua, kesetaraan dan hak asasi manusia yang diperkenalkan ketika pemerintahan Rasulullah dibenam dan tergulir. Al-Quran dan sunnah bukan lagi satu keistimewaan sebaliknya ras atau kaum dan bangsa menjadi unggulan di mana ketuanan Bani Umayyah diangkat.

Ketiga, hasil mahsul negara tidak lagi disalurkan untuk kebajikan umum sebaliknya dilihat bagai satu elaun dan milik diraja untuk bermewah, berpoya-poya, dan dilanyahkan untuk segala keduniaan. Mungkin keadaan ini berhenti dek harapan sekejap iaitu sekitar 22 sehingga 24 bulan ketika Khalifah Umar Abdul Aziz memerintah. Kemudian oleh ada khianat, ia berterusan lagi dalam zaman Abbasiyah.

Keempat, kezaliman ketika era Umayyah di mana penahanan, kehilangan paksa, penyeksaan, pembunuhan, dan pembantaian demi pembantaian terhadap kaum kecil dan mereka yang membangkang menjadi demikian resmi dan rutin harian penguasa.

Tangan besi ala Thanos ini menghempuk orang yang ikhlas hingga lenyek letak dan letai. Punya jahat bani Umaiyyah, mereka sampai melantak Kaabah dan merogol wanita di kota Madinah.

Kelima, ketamakan raja-raja Umaiyyah tatkala itu menjadikan mereka sentiasa dalam gaya, dalam kuasa dan dalam kedengkian yang bertali arus. Rakaman sejarah menunjukkan kegilaan mereka kepada makanan, busana, kediaman dan hal-hal lain yang mencengangkan. Mereka tanpa segan silu mempamerkan kemewahan itu kepada rakyat dengan penuh kemegahan.

Keenam, rekod para ulama dan seniman merakamkan Bani Umaiyyah terbiasa dengan arak, perempuan (juga lelaki), hedonisme, dan semua yang pernah menjadi pemujaan tatkala era jahiliah itu dikembalikan. Segelintir artis yang ikut korup menjadi buai khayal untuk umat.

Semua ajaran salah bid’ah kala Umayyah di atas diturun dan diajarkan di Andalusia. Ia kemudian diwarisi oleh panca monarki dalam sejarah Islam. Hari ini kita misalnya melihat itu pada wajah Arab Saudi dan UAE yang menjadi sembahan pemimpin tertentu.

Gara-gara mendewakan Saudi dan UAE ini, ada pemimpin negara umat Islam berhasrat untuk mendorong agar Zionis diberi muka. ‘Mujur’ sahaja Palestina dibakar pengganas ketika hujung Ramadhan lalu sehingga membawa ke minggu-minggu awal Syawal, lantas yang menyembah UAE dan Saudi ini jadi malu alah untuk menepuk tari dengan Tel Aviv.

Sebetulnya tuan-tuan, yang merdeka jiwanya ialah Palestina. Yang dijajah jiwanya ada di Dubai, Riyadh, Manama, Kaherah, dan Jeddah. Yang nifaknya ada di Ankara. Orang Palestina, mereka tidak pernah berhenti melawan sejak api itu menyala di hadapan rumah Fatimah.

Yang terjajah, ditakluk, terkurung dan dikolonialisasi ialah kita, umat Islam di luar Palestina. Itu sebab kita melihat orang Islam bersorak berdegar-degar meneriakkan Palestina, mengikut musim.

Akan tetapi teriakan dan seruan menyokong Palestina itu seperti kita tahu pasti akan mati andar. Kerana demikianlah jiwa umat yang rajanya manusia biasa; kerana sangat biasa, ia bisa kotor dengan sempudal duniawi. Padahal jiwa umat yang merdeka seperti ditunjukkan oleh nabi terdapat pada keturunan Al-Kauthar, yang mana mereka adalah insan luar biasa.

Masalah Palestina jejaknya di istana Umayyah lalu tercermin pada sejarah di Andalusia. Melarat bahangnya di negeri-negeri Salafi yang kita tanpa jelak raikan.

Masalah Palestina tidak mudah. Masalah Palestina ialah kerana umat tidak mengenal siapa pemimpinnya. Saya percaya, bukan kita yang akan membebaskan Palestina, sebetulnya Palestina yang akan membebaskan kita.

Satu hari nanti. -FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.