`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, November 10, 2021

Apa yang menunggu di Melaka

 

Kita masing-masing ada pandangan tersendiri mengapa pilihan raya di Melaka diadakan. Bagi saya ulasan terbaik (atau antara yang terbaik) dibuat Hisommudin Bakar, Pengarah Eksekutif Ilham Centre.

Menurut beliau, PRN Melaka menyaksikan parti-parti dalam kerajaan “gagal memuktamadkan kerjasama politik dan mengheret kepada pertembungan berbilang penjuru paling menarik untuk menjadi titik asas penilaian rakyat kepada semua parti dalam pilihan raya ini”.

Pada 23 hingga 30 Okt lalu, kata beliau, pasukan Ilham Centre turun membuat kajian pra-pilihan raya.

Ada beberapa dapatan menarik pandangan responden yang merupakan pengundi berdaftar untuk PRN ini.

Cerapan awal, kata Hisommudin, mendapati rata-rata pengundi tidak menunjukkan keterujaan untuk keluar mengundi. Dapatan ini dikongsi semua kaum yang memberi pengakuan yang sama.

Namun sebahagian masih menunggu saat pertaruhan calon dan juga fasa kempen berlangsung untuk menentukan sikap mereka.

Dapatan kedua ialah faktor yang akan mempengaruhi undi mereka. Undi berdasarkan calon semata-mata adalah 43%, 37% kerana identifikasi parti dan bakinya, 20% atas faktor isu yang dimainkan.

Bagi Hisommudin, pola ini sudah mengubah sedikit sebanyak apa yang mereka kenal pasti sebagai tingkah laku pengundi dalam pilihan raya.

Perubahan kerajaan daripada BN kepada PH selepas PRU14 lalu serta berlakunya Langkah Sheraton dan sekatan pergerakan Covid-19 sekian lama menyebabkan perubahan kepada psikologi pengundi secara tidak langsung.

Merujuk kepada asas ini, Ilham Centre membelah juga data PRU14 lalu. Namun didapati data lepas tidak lagi boleh dijadikan asas untuk mengukur trend pengundian yang absah dalam PRN ini.

Kedatangan entiti baharu seperti Perikatan Nasional (PN) satu “variable” baharu yang menyebabkan data lalu tidak dapat digunakan lagi.

Namun begitu, kata Hisommudin, unjuran sokongan kepada BN dan PH serta pengaruh PAS dijangka tidak banyak berubah. Dengan ini, boleh dikatakan hitungan atas kertas, persaingan sebenar PRN ini ialah antara dua blok gabungan politik yang besar iaitu BN dan PH.

Manakala, PN akan menguji sejauh manakah pengundi Melayu akan memberikan rekahan undi kepada parti berkenaan.

Sekiranya berlaku rekahan besar yang membawa hayunan undi Melayu kepada PN berlaku, kebanyakan responden membuat kesimpulan mudah bahawa fenomena sebegitu akan menguntungkan PH, menurut Hisommudin.

Bagi saya, ia juga boleh disimpulkan bahawa rekahan undi atau perpecahan undi Melayu tidak cukup untuk memberikan kemenangan kepada PN (termasuk Bersatu dan PAS) tetapi lebih memanfaatkan PH.

“Namun pada hemat kami, kemenangan PH amat bergantung kepada peratusan keluar mengundi yang tinggi. Ini kerana, kemenangan tipis dalam PRU lalu datang dari peratusan keluar mengundi melebihi aras 88%. Tiga segmen utama menyumbang undi kepada PH iaitu undi bukan Melayu, pengundi luar, dan pengundi muda,” kata Hisommudin.

Jika andaian pengundi tidak teruja sehingga jumlah yang keluar mengundi lebih rendah daripada sasaran 70% yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi realiti, ia membayangkan laluan sukar untuk PH menandingi pencapaiannya pada PRU 2018.

Seorang kawan membuat komen menerusi media sosial begini: “Beriya sangat nak buat PRN tapi SOP kepung demokrasi. Jangkaan keluar mengundi rendah terutama melibatkan pengundi luar.”

Jelas ulasan itu merujuk kepada pelbagai peraturan yang dikuatkuasakan di Melaka yang dilihat, seperti dikatakan kawan saya, “kepung demokrasi” yang “merugikan” PH. Setuju atau tidak terpulang.

Apa pun, berbalik kepada kajian pra-pilihan raya yang dijalankan Ilham Centre. Kata Hisommudin dalam bahasa mudahnya, ianya seakan menguntungkan BN. “Persoalannya di sini, sejauh manakah keupayaan PN terutama PAS dan Bersatu mampu memikat dan memecahkan undi Melayu yang selama ini dijuarai oleh Umno”.

Jika benar mereka berupaya memecahkan undi Melayu dengan “kepungan demokrasi” seperti yang dinyatakan tadi, selain meletakkan calon yang berketrampilan, tidak mustahil PN mampu memberikan cabaran kepada Umno di DUN yang mempunyai komposisi pengundi Melayu, menurut beliau.

Kesimpulannya berdasarkan senario dan keadaan awal ini, Ilham Centre sifatkan ruang dan peluang masih terbuka untuk semua pihak meraih kemenangan.

Terpulang kepada strategi dan taktik parti masing-masing untuk meraih perhatian pengundi, seterusnya memujuk mereka menterjemahkannya kepada undi sokongan pada 20 November nanti. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.