`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, February 27, 2022

Apa Hadi nak sebenarnya?

 

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, baru-baru ini menyatakan kekesalan serta kekecewaan (dan tentunya kemarahan) kerana “kini terserlah bahawa agama Islam yang dikatakan di bawah naungan raja-raja melalui pentadbiran khusus – yang dinamakan majlis agama Islam – tidak boleh bertindak mengatasi undang-undang ciptaan manusia”.

Bahkan katanya lagi “hukum yang nyata daripada hukum Islam boleh dibatalkan oleh mahkamah dan para hakim” (Perlu ditekankan ‘hukum yang nyata daripada hukum Islam’ itu ialah menurut pandangan atau tafsiran beliau walapun diakui Hadi memang arif dalam soal agama. Namun bukan itu soalnya untuk artikel ini).

Tetapi bak kata Raja Bahrin Shah, pengerusi Amanah Terengganu, isu yang ditimbulkan Hadi ini wujud sejak Merdeka lagi dan terus berulang pada situasi hari ini.

Raja Bahrin mengingatkan semula bahawa Hadi pernah bercakap mengenai isu ini dengan “berapi-api” sebagai pemimpin pembangkang dahulu dan kini “nadanya hampir sama walaupun sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan yang berkuasa”.

Kata beliau, isu yang dibangkitkan mesti ditangani dengan penuh sabar dan bijak tanpa emosi yang kadangkala boleh menimbulkan kekacauan. Lalu beliau menasihati Hadi, selaku duta khas bertaraf menteri, juga Ahli Parlimen kerajaan “cubalah cadangkan penyelesaian jangka panjang”.

Nasihat yang bagus pada hemat saya tetapi tidak tahulah sama ada akan dituruti Hadi kerana nasihat datang daripada pemimpin Amanah dan kita tahu perasaan PAS terhadap parti itu.

Apa pun kenyataan Hadi itu muncul beberapa hari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan agar tiga kanak-kanak – adik-beradik – diserahkan kepada ibu mereka. Kes ini kita semua sudah maklum kerana mendapt liputan meluas media.Reaksi Dewan Ulama PAS Pusat ialah mendesak pihak berkuasa agama di setiap negeri segera meminda syarat pertukaran agama dengan keizinan ibu ATAU bapa dan bukan ibu DAN bapa seperti yang wujud di sesetengah negeri (berdasarkan Perlembangaan).

Memang mudah membuat desakan seperti itu. Bagaimanapun menurut Perlembangaan pertukaran agama membabitkan kanak-kanak secara “unilateral” tidak boleh dilakukan. Maksudnya pertukaran agama kanak-kanak wajib mendapat izin ibu dan bapa. Dua-duanya sekali. Bukan seorang. Itu undang-undangnya. Perlembagaan adalah perundangan tertinggi atau “supreme” di negara ini.

Bicara tentang isu ini terlalu sensitif, kata Pengarah Operasi Ilham Centre, Mohd Azlan Zainal. Namun “kita boleh terus mempertahankan hak tetapi seluruhnya itu tetap dibatasi dengan undang-undang Perlembagaan yang kita terima bersama secara asasnya. Bebas kita tidaklah sehingga menafikan hak yang lain dikala dia berhak,” kata beliau.

Saya setuju dengan pendapat Azlan. Mungkin Perlembangaan kita tidak sempurna (Apa pun ciptaan manusia tidak ‘perfect’). Suka atau tidak Perlembagaan yang sedia ada dan diguna pakai untuk sekian lama mesti dihormati.

Pada hari yang sama Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan arahan mengembalikan hak penjagaan tiga kanak-kanak kepada ibu mereka, sembilan hakim Mahkamah Persekutuan pula sebulat suara mengisytiharkan bahawa tidak berperlembagaan untuk Dewan Undangan Negeri Selangor memberi kuasa semakan kehakiman atau “judicial review” kepada Mahkamah Tinggi Syariah di negeri itu.

Dalam konteks ini Dewan Ulama PAS “menggesa pindaan perlembagaan dalam jadual kesembilan senarai negeri untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah bidang kuasa melakukan ‘judicial review’ berhubung kes berkaitan umat Islam khususnya berkaitan pertukaran agama”.

Adakah pindaan yang dinyatakan itu memadai? Ada lagi kah yang mungkin PAS mahu? Isunya disini ialah bak kata Raja Bahrin mencari jalan untuk menyelesaikan “konflik undang-undang” antara undang-undang Islam negeri dan undang-undang sivil – sesuatu yang bagi saya tidak pernah cuba dilakukan oleh kerajaan pusat (yang saya ulangi PAS menganggotainya).

Menurut beliau, Hadi sendiri ada menyatakan terdapat “pertembungan kuasa” raja-raja Melayu di peringkat negeri dan mahkamah persekutuan.

Oleh itu apa yang PAS mahu dan boleh lakukan? Sekadar menuding jari dan menuduh itu tidak betul dan ini mesti lakukan tanpa menjelas dengan sejelasnya apa yang mesti dilakukan tidak memadai. Kata orang “talk is cheap”.

Bagi saya, berdasarkan apa yang dilaungkan oleh PAS selama ini, apa yang perlu mereka lakukan ialah meminda Perlembagaan secara ‘total’, sesuai dan seiring dengan desakan dan tuntutan mereka.

Mereka sekarang, seperti dikatakan berulang kali, sudah ada dalam kerajaan. Boleh lah mereka pinda Perlembagaan. Betul? Tidak betul. PAS perlu sokongan dan persetujuan semua parti rakan dalam kerajaan. Saya kira bukan sahaja kawan-kawan bukan Islam yang tidak setuju, kemungkinan besar yang Melayu Islam pun akan keberatan. PAS tidak tahu ini semua? Saya kira mereka tahu. Tetapi mereka tetap mendesak dan menuntut. Mengapa? Kita masing-masing ada pendapat tersendiri.

Lantas PAS mesti menguasai kerajaan untuk mencapai hasrat mereka. Boleh kah itu terjadi? Kalau boleh bagaimana? Atau PAS sendiri jadi kerajaan secara mutlak . Boleh?

Jika boleh pinda lah Perlembagaan. Tetapi ciptalah Perlembangaan yang adil seadil-adilnya. Saksama untuk rakyat Malaysia, Islam dan bukan islam. Mampu?

Oh ya Raja Bahrin mengimbau kembali bahawa “Hadi dan PAS pernah juga membawa isu seperti RUU355 semasa menjadi pembangkang tetapi walaupun telah menjadi kerajaan isu tersebut telah diam begitu sahaja”. Iya tak ya juga.

Pun begitu diberitakan Naib Presiden PAS yang kini menjadi Menteri Agama dalam kerajaan Naib Presiden Umno akan mengadakan perbincangan meja bulat dengan beberapa pakar undang-undang, ahli akademik dan mufti “hari Rabu malam Khamis akan datang”.

Mereka akan membincangkan isu yang disebut tadi iaitu membabitkan tiga anak mualaf yang dikembalikan kepada ibu mereka yang bukan beragama Islam. Tujuan perbincangan? “Mencari penyelesaian isu tersebut, ” Idris dilapor berkata.

Bagi saya, eloklah Idris bertanyakan Hadi apa penyelesaian yang patut diusulkan, supaya mesyuarat itu tidak lagi menjadi forum untuk mengumumkan kenyataan yang lazim didengar wartawan yakni ‘kita akan kaji’, atau ‘ kerajaan setuju tubuh jawatankuasa…’

Hadi pula patut bertapak di bumi nyata dan usulkan secara terbuka apa yang tersirat dalam hatinya supaya jelas kepada semua rakyat – Islam dan bukan Islam. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.