`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, July 28, 2022

GWGF dakwa perjanjian tanam semula Felda berat sebelah

 

Setiausaha Agung Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) Mohd Ismail Masri, berkata pihaknya ada menghantar memorandum kepada perdana menteri, pada 15 Sept 2021 berhubung isu perjanjian tanam semula, namun tiada maklum balas.

PETALING JAYA: Felda didakwa menawarkan perjanjian berat sebelah kepada peneroka untuk ditandatangani dalam perjanjian tanam semula, kata Setiausaha Agung Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) Mohd Ismail Masri.

Katanya, perjanjian itu hanya memberi kelebihan kepada Felda, selain pengurusan agensi berkenaan yang tidak efektif menangani isu tanam semula.

“Terdapat persoalan dikemukakan pihak peneroka yang belum diselesaikan pihak Felda iaitu dokumen perjanjian tanam semula yang diberikan kepada peneroka untuk ditandatangani adalah berat sebelah.

“Ia hanya memberi kelebihan kepada Felda dan bukan kepada peneroka serta ditambah pula dengan pengurusan Felda yang tidak efektif dalam menangani isu-isu berkenaan tanam semula dan dokumen perjanjian yang tidak mengikut standard proses penanaman semula sawit,” katanya dalam kenyataan.

Ismail mendakwa, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Mustapa Mohamed di Parlimen, hari ini, mengenai faktor mendorong peneroka mengurus tanam semula secara individu juga mengelirukan Dewan Rakyat.

Mustapa dalam sesi jawab lisan, berkata antara faktor peneroka mengurus tanam semula secara individu disebabkan tidak ingin berkongsi pendapatan secara blok atau secara peringkat.

Selain itu, beliau berkata faktor lain ialah isu pewarisan, ingin berdikari, isu kekurangan buruh di ladang, tiada kesepakatan waris untuk mengurus kebun dan anak-anak peneroka yang kembali ke Felda untuk menguruskan kebun.

Ismail ketika mengulas lanjut, berkata apa yang dinyatakan Mustapa di Dewan Rakyat tidak tepat kerana punca kepada mengurus tanam semula secara individu kerana perjanjian berat sebelah.

Beliau berkata, presiden GWGF Rozali Ismail telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Felda Idris Jusoh, pada 20 Sep 2021 untuk menyerahkan sendiri cadangan penambahbaikan dokumen perjanjian tanam semula berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak Felda.

“GWGF juga telah menghantar memorandum kepada perdana menteri pada 15 Sep 2021 mengenai isu yang sama, tetapi tidak ada sebarang maklum balas berkenaan memorandum itu. Oleh itu, para peneroka yang tidak mahu menyerahkan ladang mereka kepada Felda untuk diuruskan dan ditadbir tidak boleh disalahkan.

Katanya, GWGF berharap isu tanam semula dan syarat perjanjian diteliti dan pihaknya akan membawa perkara itu ke mahkamah sekiranya tiada sebarang tindakan diambil Felda. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.