`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, February 6, 2023

Kedah pula dilanda banjir

 

Sebuah PPS dibuka di Sekolah Menengah Agama Madrasah Insaniah Jangkang dekat Kulim pada 6 petang tadi, tetapi jumlah mangsa belum diketahui kerana proses pemindahan sedang dilakukan. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Kedah menjadi negeri terbaharu dilanda banjir dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Mukim Karangan dekat Kulim, susulan hujan lebat lebih dua jam sejak 2 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulim, Amirul Aliff Ahmad berkata PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Madrasah Insaniah Jangkang itu dibuka pada 6 petang, namun jumlah mangsa belum diketahui kerana proses pemindahan mangsa sedang dilakukan.

“Sebanyak 25 rumah di Kampung Padang Limau terjejas selepas hujan lebat sejak 2 petang dan air mula masuk ke dalam rumah mangsa pada 4 petang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemantauan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) mendapati Sungai Padang Limau melepasi paras bahaya dan arus air sungai semakin deras.

Justeru, beliau menasihatkan penduduk sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa dan berpindah ke PPS sekiranya paras air semakin meningkat.

Di Pahang, banjir yang bermula petang tadi ekoran hujan lebat berterusan sejak malam tadi turut menjejaskan daerah Pekan dengan tiga PPS dibuka bagi menempatkan 75 mangsa daripada 21 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan PPS itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peramu Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Terentang dan SK Tanah Putih.

Jumlah mangsa banjir di Kuantan pula berkurangan sedikit malam ini dengan 1,285 mangsa masih berlindung di tujuh PPS berbanding 1,310 mangsa yang direkodkan tengah hari tadi.

Laman publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan dua sungai di Pahang melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan dan Sungai Keratong di Rompin.

Di Johor, 155 mangsa masih berada di tiga PPS malam ini berbanding 355 orang pada 4 petang tadi.

JPBN dalam kenyataan memaklumkan 129 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di dua PPS di Batu Pahat, manakala 26 orang daripada sembilan keluarga kekal di sebuah PPS di Segamat.

JPBN juga memaklumkan tujuh daerah diramalkan hujan malam ini, kecuali cuaca di Johor Bahru, Pontian dan Kulai yang diramalkan baik.

Sungai Bekok di Batu Pahat juga masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 19m. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.