`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 29, 2023

‘Orang luar nama kampung pun tak tahu’, kerajaan didesak pilih anak jati Labuan

 

Beberapa bekas ketua kampung mahu kerajaan memilih anak tempatan untuk menjadi pengerusi Perbadanan Labuan, yang melaksanakan fungsi kerajaan tempatan. (Gambar Bernama)

LABUAN: Beberapa bekas ketua kampung di Labuan mendesak kerajaan memilih pengerusi Perbadanan Labuan (PL) dalam kalangan anak jati kerana mereka lebih memahami selok-belok dan cita rasa penduduk.

Mereka semua menolak “orang luar” dilantik sebagai pengerusi PL, seperti hangat diperkatakan dalam kalangan warga Labuan yang menurut mereka turut tidak bersetuju.

Bekas ketua kampung Batu Maikar, Ismail Samad, berkata pentadbiran Anwar Ibrahim tidak wajar menolak permintaan penduduk yang mahu pengerusi PL dipilih dalam kalangan anak jati Labuan.

Ads by Kiosked

“Kita sebagai pemimpin masyarakat perlu melihat ke depan dan bersuara mempertahankan hak orang Labuan diangkat menjadi pengerusi PL, kerana mereka inilah yang memahami keadaan penduduk.

“Tiada maknanya jika orang luar dipilih sedangkan mereka langsung tidak dapat menjiwai kehendak rakyat Labuan,” katanya dalam kenyataan diterima FMT.

Fungsi kerajaan tempatan dan pihak berkuasa perancang tempatan di Labuan dilaksanakan oleh PL, yang turut berperanan untuk mengusahakan pembangunan ekonomi dan sosial.

Ia merupakan agensi bawah Jabatan Wilayah Persekutuan bawah Jabatan Perdana Menteri, susulan penstrukturan pada Disember tahun lalu.

Ahli lembaga PL terdiri daripada seorang pengerusi dan timbalan pengerusi, dan empat anggota lain. Berdasarkan laman web PL, jawatan pengerusi masih kosong manakala timbalannya Rosida Jaafar, yang juga ketua pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan.

“Pengalaman kami ketika dilantik sebagai ketua kampung, segala masalah kampung yang kami hadapi mudah diselesaikan oleh pengerusi PL yang dilantik dalam kalangan anak tempatan,” kata Ahad Ahmad, bekas ketua kampung Durian Tunjung.

Beliau mendakwa, sebelum ini warga Labuan terkilan apabila “orang luar” dilantik sebagai senator.

“Jawatan senator sudah pun terlepas kepada orang luar dari Labuan…kita berharap kesilapan lama tidak akan berulang yang mencetuskan kemarahan rakyat,” katanya.

Sementara itu, bekas ketua kampung Layang-Layangan, Faizal Lakat, berkata pelantikan bagi jawatan utama perlu mengambil kira kepentingan dan sentimen rakyat Labuan.

Beliau menambah, pemilihan anak jati sebagai pengerusi PL perlu dilihat sebagai suatu “keistimewaan” bagi penduduk, justeru menghormati maruah orang Labuan.

Faizal bertegas, mereka tidak sepenuhnya menolak pelantikan “orang luar”. “Mungkin pada masa akan datang akan lebih banyak lagi jawatan penting di Labuan akan diisi oleh orang luar.”

Seorang lagi bekas ketua kampung, Mazlan Din, berkata penduduk mahu melihat anak jati Labuan sendiri mengemudi pembangunan di wilayah itu, dan menambah ramai yang berkebolehan dalam pelbagai bidang.

Ads by Kiosked

“Apa gunanya kita lantik orang luar kalau mereka sendiri tidak tahu apa itu Labuan, malah nama-nama 27 kampung di Labuan pun mereka tidak tahu,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.