`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, July 7, 2023

Bila si muda tegur si tua

 

Semasa menulis artikel ini saya menerima menerusi satu WhatsApp group yang saya anggotai, video tertera “pertemuan bersejarah yang digeruni Anwar dan Zahid”. Rasanya ramai yang turut menerimanya kerana klip itu dikatakan diedar secara meluas. Saya tidak tahu sama ada Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi gerun akan pertemuan Muhyiddin dan Mahathir seperti yang didakwa pembikin video itu.

Menurut Pengerusi Proklamasi Orang Melayu, Khairuddin Hassan, pertemuan dua malam lalu di kediaman Mahathir itu manifestasi “penyatuan Melayu secara total” yang sedang diusahakan Mahathir. Sebelum ini, Mahathir pada sidang media pada penghujung Jun menganjurkan pemerintahan mutlak orang Melayu, yang sekaligus dilihat sebagai langkah mengenepikan warga Malaysia bukan Melayu.

Itu video. Ada pula mengenai audio. Rakaman diedar semula setelah ‘menghilang’ kira-kira tiga tahun lalu. Rakaman membabitkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika menjadi ketua Pemuda PH, semasa mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan pada 21 Feb 2020.

Rakaman asal yang tular memang panjang, dianggarkan dua jam lamanya. Ia memperdengarkan kepimpinan PH bertegang leher berhubung peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar Ibrahim. Tetapi audio yang saya terima tempoh hari hanya membabitkan pertikaman lidah antara Syed Saddiq dan pemimpin DAP, Gobind Singh Deo. Syed Saddiq begitu bersemangat malah penuh emosi mempertahankan Mahathir.

Ya, pertikaman lidah itu cerita lama, dan kerana ia cerita lama lah yang membuatkan saya pelik. Mengapa ia diputar semula setelah sekian lama? Audio itu diedar semula beberapa hari setelah Syed Saddiq, selaku presiden Muda, mengumumkan partinya akan bertanding solo pada PRN mendatang. Muda mengambil keputusan itu berikutan reaksi dingin PH terhadap hasrat menyertai gabungan itu. Menurut Syed Saddiq, permohonan rasmi sudah dibuat tetapi tiada respon. Mesyuarat yang diatur dibatal pada saat akhir, katanya.

Ada penyokong PH terkilan kerana kepimpinan gabungan itu melengah-lengahkan urusan menerima Muda, lantas ‘memaksa’ Muda bertanding solo. Bagi mereka, apa yang berlaku itu merugikan PH, pada jangka masa pendek (PRN pada 12 Ogos) dan panjang. Mungkinkah rakaman Syed Saddiq mempertahankan Mahathir itu diedar oleh pihak tertentu sebagai peringatan?

Bukan rahsia besar dalam kalangan penyokong PH mencurigai Syed Saddiq, dan percaya beliau masih bersama Mahathir. Ini dikatakan antara faktor PH enggan menerima Muda. Tentu ada faktor lain seperti yang saya huraikan sebelum ini, oleh itu tidak perlu diulang.

Benar Syed Saddiq rapat dengan Mahathir. Bagi saya ini kerana rasa hormat seorang anak muda kepada orang tua. Perlu diingat Syed Saddiq kerap tak bersetuju dengan Mahathir berhubung banyak perkara, apabila beliau meninggalkan PH. Apabila Mahathir menubuhkan Pejuang, Syed Saddiq tidak ikut serta.

Ada pihak dakwa keputusan Syed Saddiq tidak menyertai Pejuang strategi Mahathir. Ketika Syed Saddiq menubuhkan Muda pun, ada mendakwa ia proksi Mahathir yang akan menguntungkan beliau bila tiba masanya. Semua dakwaan itu dinafikan Syed Saddiq.

Beberapa hari lalu, Syed Saddiq menasihati bekas mentornya itu, dan secara terbuka meminta Mahathir menghentikan ‘budaya politik lama’. Syed Saddiq di Twitter menulis:

“Tun yang dihormati, politik lama perpecahan mesti dihentikan. Rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama sama-sama cintakan negara ini. Mereka mahu melihat Malaysia berkembang menjadi negara maju.”

Cukup setakat itu walaupun panjang lagi nasihatnya kepada Mahathir. Saya secara peribadi percaya kata-kata itu dari hati nurani Syed Saddiq, tidak ada soal agenda tersembunyi, proksi, mahupun kesetiaan membabi muda.

Pada sidang media 4 Julai lalu, Syed Saddiq menegaskan golongan muda akan membuktikan Mahathir salah mengenai “multiracialism” dan sebagainya. “Kami mendukung kepelbagaian bangsa dan yakin ia tidak akan melemahkan negara. Sebaliknya, ia akan menguatkan Malaysia.”

Apa-apa perjuangan memerlukan sokongan dan dorongan golongan muda untuk berjaya. Begitu juga agenda Mahathir. Masa depan milik golongan muda. Berdasarkan pendirian Syed Saddiq dan rakan-rakan, kelompok beliau menolak agenda Mahathir.

Teringat kata-kata Soekarno: “Beri aku 1,000 orang tua nescaya akan ku cabut Semeru dari akarnya. Beri aku 10 pemuda nescaya akan ku goncangkan dunia.” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.