`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, July 7, 2023

Onar di sempadan

 

Baru-baru ini ada kegemparan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur apabila menteri pelancongan, seni dan budaya iaitu Tiong King Sing mendakwa adanya amalan rasuah melibatkan penguatkuasa di sempadan. Debat mengenainya tampak masih berterusan dan giat berkembang. Benar atau tidak dakwaan ini nampaknya sedang dilihat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sebetulnya apabila timbul persoalan ini, saya serta merta teringatkan soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dalam mesyuarat Parlimen lalu.

Shu Qi meminta menteri dalam negeri menyatakan situasi terkini penubuhan agensi tunggal untuk mengawal-selia sempadan, serta perkembangan jadual pelaksanaan penubuhan agensi tersebut dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan sempadan. Dalam jawapan balas, diberitahukan bahawa cadangan penubuhan agensi ini akan diketengahkan ke peringkat Jemaah Menteri awal tahun depan.

Sesungguhnya idea untuk mewujudkan satu agensi tunggal bagi mengawal-selia sempadan negara satu bentuk reformasi dan inovasi yang baik. Saya berharap pihak Pejabat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak akan menolak mentah-mentah saranan ini demi kebaikan negara. Ada beberapa sebab-musabab atau khasiat yang perlu dinyatakan di sini.

Cadangan mengenai pelaksanaan penubuhan agensi tunggal sempadan, atau pintu masuk dan pelabuhan ini susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 30 Julai 2021. Ini bermakna idea ini sepatutnya boleh mendapat persetujuan baik dari pihak pembangkang mahupun kerajaan.

Penubuhan satu agensi tunggal di sempadan ini boleh menyatukan misalnya beberapa agensi yang kewujudannya agak lewah seperti Maqis (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia) yang fungsi dan tugasnya antara lain “memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang diimport ke dalam Malaysia bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar dan tidak menjejaskan sektor pertanian negara di samping mematuhi aspek kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan, ikan dan keselamatan agromakanan. Selain berperanan untuk mengkuarantinkan dan memeriksa apa-apa tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih, mikroorganisma, premis, pengangkut atau apa-apa benda lain di pintu masuk, stesen kuarantin dan premis kuarantin.”

Dapat dihujahkan, kewujudan Maqis adalah kolah duit di sempadan.

Di perbatasan juga, terdapat Kementerian Kesihatan (KKM) yang keberadaannya adalah perigi wang; juga Jabatan Pengangkutan Jalan yang misalnya melaksanakan Caj Jalan (RC) dan Permit Masuk Kenderaan (VEP) di sempadan. Justeru agensi ini merupakan lombong duit. Tidak terkecuali Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara yang merupakan sumur duit; dan tentunya JKDM (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) yang kita semua amat-amat mengetahui adalah lautan duit. Jangan dilupa, Jabatan Imigresen Malaysia yang kalau diibaratkan adalah seumpamanya samudera emas dan perak yang tidak pernah kering.

Semua agensi ini boleh mengekalkan kawalan, penguatkuasaan, pemeriksaan, dan prasarana perdagangan di luar kawasan sempadan. Akan tetapi, kalau di perbatasan negara lebih baik kita hanya ada satu agensi tunggal.

Di luar sempadan, agensi di atas boleh mengekalkan dasar dan polisi di bawah agensi masing-masing dan mereka tidak perlu bimbang kerana masih dapat mengaut kutipan hasil. Di Sabah dan Sarawak makanya kuasa, perundangan, perjawatan negeri dan hasil kekal ini boleh dibolot oleh kerajaan negeri tetapi perlu ada penubuhan agensi tunggal sempadan yang sama di peringkat negeri, yang bekerjasama secara strategik di peringkat persekutuan.

Kalau dilihat dari lojik penubuhannya, fadilat dan khasiat penubuhan satu agensi akan membolehkan penguatkuasaan dan kawalan lebih cekap di sempadan.

Moga-moga kita tidak mendengar lagi dakwaan demi dakwaan mengenai wang dan duit di KLIA atau pelabuhan. Ia juga membawa kepada pengoptimuman sumber. Manakala dari segi pengurusan kita akan beroleh pentadbiran yang lebih terselaras. Kita juga akan mendapat satu tatacara operasi standard (SOP) yang mudah-mudahan seragam.

Paling besar manfaatnya untuk negara tentulah untuk menghindar dari terpalitnya cerita-cerita rasuah. Atau lebih tepat, penubuhan satu agensi di sempadan ini akan dapat mengukuhkan integriti. Insyaallah pelabur akan lebih yakin dan negara kita akan lebih gemilang, cemerlang, dan terbilang.

Sebetulnya banyak negara lain memang memiliki agensi tunggal untuk mengawal-selia sempadan. Contohnya di AS beberapa agensi digabungkan pada 2003 yang melibatkan antara lain imigresen, kastam, dan pertanian. Singapura turut melakukan perkara serupa pada tahun yang sama di mana antara lain melibatkan Singapore Immigration & Registration (SIR) (1998), Customs and Excise Department (CED) dan pelbagai lagi. Jika negara dengan amalan terbaik ini boleh melakukannya, tentu saja kita juga boleh berbuat hal yang sama.

Tentu sahaja penubuhan satu agensi untuk mengawal selia sempadan ini akan ditentang oleh segelintir mereka yang beragenda serta enggan sama berbahagi isi kolah, perigi, lombong, sumur, lautan dan samudera wang atau emas perak ini dengan rakyat terbanyak. Kita boleh sahaja bertanyakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kalau tidak percaya. Padahal kalau isi kolah, perigi, lombong, sumur, lautan dan samudera wang atau emas perak ini diurus dengan baik dan tidak tiris, rakyat akan beroleh manfaat banyak.

Alasan-alasan mereka yang rimas dengan idea ini tentu sahaja ada banyak. Antara alasan akan diberikan ialah tentu sahaja sulit untuk menubuhkan satu agensi tunggal di sempadan ini memandangkan kerana sudah ada pelbagai agensi dengan aneka fungsi. Setiap satunya pula ada punca kuasa dan akta tersendiri. Tentu pula akan ada perbahasan bahawa akan adanya pertindanan pemeriksaan. Isu-isu lain berbangkit mungkin dihujahkan pula betapa berkurangnya kuasa dan kawalan pada agensi sedia ada. Di pihak sumber manusia, mereka akan berleter mengenai isu perjawatan dan beban tugas. Kemudian akan dipersulitkan lagi dengan cabaran tiadanya integrasi.

Lebih parah adanya isu kekurangan infrastruktur dan aset rosak seperti yang dikeluhkan oleh Perdana Menteri pada mesin pengimbas barangan Kastam di KLIA. Lebih sulit akan ada pula yang mencari-cari alasan seperti isu keselamatan (penyeludupan dan pemerdagangan termasuk manusia) dan keperluan kerjasama dengan negara lain.

Akan tetapi percayalah, jika kita terus melengahkan reformasi dan membiarkan segelintir kaduk naik junjung terus melindungi kolah, perigi, lombong, sumur, lautan dan samudera wang atau emas perak ini; maka selagi itulah isu-isu integriti seperti dakwaan rasuah dan korupsi akan berkumandang. Ini lantaran tangkapan dan serbuan yang dilakukan oleh SPRM hanyalah bersifat satu kali jalan sahaja dan tiada erti apa-apa jikalau sistem dengan kelompongan ini tidak ditangani dan diperbaiki segesitnya.

Jika perdana menteri serius melawan penyelewengan, inilah satu peluang untuk beliau menunjuk teladan di sempadan. Sudah tiba masa maruah negara di sempadan dipulihkan dan segala onar yang barangkali ada, dapat selekasnya dinyahkan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.