`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, July 8, 2023

Persepsi PAS amal ‘politik wang’: Hadi yakin menang lagi besar di Kuala Terengganu

 

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyatakan keyakinan rakyat kekal menyokong parti itu jika PRK Kuala Terengganu diadakan serentak dengan PRN enam negeri pada 12 Ogos. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Abdul Hadi Awang seperti “tidak terkesan” terhadap persepsi PAS mengamalkan “politik wang” sehingga membawa pembatalan kemenangan parti di Parlimen Kuala Terengganu.

Sebaliknya, presiden PAS itu yakin mampu menang lebih besar di kawasan itu jika PRK diadakan.

Hadi berkata, keputusan tidak merayu petisyen Parlimen Kuala Terengganu tidak bermaksud parti itu mengakui “dakwaan” melakukan sogokan pada PRU15.

Katanya, tindakan itu bakal mendorong PRK bagi membolehkan pengundi Kuala Terengganu membuat pilihan.

“Tidak timbul soal politik wang, biar rakyat tentukan. Saya tidak mahu sentuh soal keputusan mahkamah, tetapi kami lihat rakyat sangat positif (kepada PAS).

“Mungkin (jika diadakan) PRK (Kuala Terengganu), kita akan peroleh majoriti yang lebih besar,” katanya menurut Kosmo.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika diziarahi Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin di Rusila.

Hadi berharap, PRK Kuala Terengganu dapat dilaksanakan serentak dengan PRN pada 12 Ogos.

Hari ini, Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Kuala Terengganu memutuskan tidak mengemukakan rayuan Mahkamah Tinggi Pilihan Raya Terengganu yang membatalkan kemenangan PAS di kerusi Parlimen itu pada PRU15.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya Terengganu Mohd Firuz Jaffril pada 27 Jun memutuskan demikian selepas berpuas hati wujudnya unsur rasuah sewaktu kempen PRU15.

Pada 3 Jan, Umno Terengganu memfailkan petisyen membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua Umno Terengganu, Ahmad Said, berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia, dan i-Siswa. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.