`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, August 26, 2023

Hadir program PN, Jailani kata tak paling tadah dari Umno

 

Muhammad Jailani Khamis berkata beliau akan menjawab surat tunjuk sebab akan diberikan Lembaga Disiplin Umno. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis menegaskan beliau tidak pernah berpaling tadah daripada Umno, menjawab kontroversi kehadirannya ke program Perikatan Nasional (PN) di Johor, baru-baru ini.

Menang atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka 2021, Jailani menjelaskan kehadirannya ke majlis pengumuman calon PN untuk PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Rabu lalu atas kapasiti wakil Muafakat Nasional (MN).

“Ada juga kata saya berpaling tadah dan sebagainya…dulu dalam PKR pun tak pernah, saya ada bukti dua surat pemecatan pada dua tarikh berbeza.

“Saya tidak cakap pun soal itu (beralih ke PN), saya masih lagi percaya belum terlambat untuk semua umat Islam, Melayu dan Bumiputera bersatu di bawah naungan MN,” kata bekas exco kerajaan Melaka itu kepada FMT.

Beliau juga berpendapat kesetiaan seseorang itu tidak harus diukur kepada parti semata-mata tetapi pada agama, bangsa dan negara.

“Kesetiaan (saya) pada agama, bangsa dan tanah air…apa guna kita setia kepada parti tetapi menjahanamkan tiga itu,” katanya.

Mengulas surat tunjuk sebab akan diberikan Lembaga Disiplin Umno kerana tindakannya hadir program lawan, Jailani berkata beliau akan memberi maklum balas sewajarnya.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata surat tunjuk sebab akan diberikan kepada Jailani sebelum sebarang keputusan diambil terhadapnya.

Jailani, antara dua bekas exco Melaka di bawah pimpinan Sulaiman Ali yang tidak dicalonkan semula selepas Ab Rauf Yusoh dilantik ketua menteri pada Mac lalu.

Sebelum itu, Jailani menyifatkan pelantikan Rauf adalah tindakan mungkir janji manifesto Umno dan BN pada PRN 2021.

Pada Mac 2020, beliau antara empat wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Melaka yang bertindak menyokong gabungan PN-BN menyebabkan kerajaan pimpinan Adly Zahari ketika itu tumbang.

Beliau menyertai semula Umno pada 2021 daripada PKR, lima tahun selepas meninggalkannya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.