`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, October 29, 2023

Majlis kerajaan juga wajib guna bahasa Melayu, kata ahli akademik

 

Felo Kanan Majlis Profesor Negara Teo Kok Seong berkata terdapat program rasmi kerajaan masih menggunakan bahasa Inggeris. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik berkata bukan hanya urusan surat-menyurat melibatkan sektor awam dan swasta menggunakan bahasa Melayu, malah perlu diwajibkan dalam majlis serta program rasmi kerajaan.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Teo Kok Seong, berkata ini kerana terdapat program rasmi kerajaan masih menggunakan bahasa Inggeris.

“Misalnya acara angkat bendera yang dinamakan program ‘flag off’, sepatutnya digunakan nama acara pelepasan angkat bendera atau majlis permulaan. Kenapa perlu guna nama ‘majlis flag off’.

Teo Kok Seong.

“Begitu juga ketika Hari Sukan Negara, ada satu program diberi nama ‘Fit Malaysia’. Sepatutnya tidak perlu guna ungkapan bahasa Inggeris. Patut guna nama ‘Malaysia Cergas’ atau ‘Malaysia Sihat’,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengingatkan semua urusan surat-menyurat melibatkan sektor awam dan swasta, digunakan dalam bahasa Melayu.

Anwar berkata, jika surat diutus dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan, ia perlu dipulangkan semula.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahasa Melayu tidak boleh dipertikaikan mengenai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan.

Bersetuju dengan gesaan Anwar, Teo berkata kerajaan perlu memastikan peranan mereka untuk mewajibkan semua pihak terlibat mengikut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi saya itu arahan beliau sebagai ketua kerajaan. Jadi arahan daripada ketua kerajaan wajib digunakan untuk urusan rasmi dengan kerajaan, tidak kira dari kerajaan pusat, negeri dan pihak awam lain,” katanya.

Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata sepatutnya bahasa Melayu perlu digunakan dalam pengajaran di universiti awam dan swasta.

“Kita lihat lihat hari ini, di universiti pun pengajaran dibuat dalam bahasa Inggeris dan sehingga menjawab soalan disyaratkan dalam bahasa Inggeris.

“Sepatutnya untuk tujuan pelajaran digunakan bahasa Melayu atau Inggeris…dan menjawab soalan tidak boleh dihalang dalam bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, pengajaran dalam bahasa Melayu amat penting kerana melibatkan jati diri dan melahirkan semangat cintakan negara.

“Kalau lihat dari sudut bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran, itu berbeza,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.