`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, October 20, 2023

Inspirasi 2 legenda lari berpagar

 

Seorang daripada mereka kembali dari rahang maut dalam satu nahas jalan raya untuk terus cemerlang sebagai atlet manakala seorang lagi terpaksa menghabiskan wang saku, melawan kepenatan berulang-alik dan menguburkan hasrat mengalah awal untuk mencapai impian Olimpik masing-masing.

Ishtiaq Mubarak dan Nur Herman Majid, dua legenda acara 110m lari berpagar negara masing-masing pada era 70-an dan 90-an, harus meniupkan inspirasi besar buat atlet muda negara mengejar impian ke temasya sukan terbesar dunia itu secara merit – bukan melalui pintu belakang seperti lazimnya tiket “wildcard” yang ditawarkan badan sukan antarabangsa.

Jumaat lalu, melalui pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM72 juta bagi memperkukuh ekosistem atlet acara podium dan pelaksanaan inisiatif Road to Gold (RTG). Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM20 juta diperuntuk bawah inisiatif RTG sebagai persediaan untuk menggapai pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

Malaysia mempunyai sejarah penyertaan yang panjang dalam Sukan Olimpik, diwarnai oleh kejayaan Mani Jegathesan selaku atlet pertama negara layak ke separuh akhir acara lari 200m Sukan Olimpik Tokyo pada 17 Okt 1964 dan mengulanginya dalam Sukan Olimpik Mexico pada 16 Okt 1968. Ini dituruti Ishtiaq bagi acara 110m lari berpagar dalam Sukan Olimpik Montreal pada 28 Julai 1976.

47 tahun sudah berlalu sejak catatan bersejarah berkenaan – atau ia akan genap 60 tahun apabila Sukan Olimpik Paris berlangsung tahun depan (26 Julai-11 Ogos 2024) jika dikira dari tarikh kejayaan sulung Jegathesan itu.

Belum pernah sejak kejayaan dua atlet negara itu mara ke separuh akhir acara olahraga Sukan Olimpik, seorang atlet Malaysia mampu ke peringkat itu lagi, maka rasanya elok juga disorot semula kejayaan Ishtiaq dan Nur Herman dalam rangka persiapan kontinjen negara ke Paris.

Kisah Ishtiaq lebih menyayatkan. Untuk itu, saya petik tulisan seorang sahabat, Ian Pereira, bertajuk “Ishtiaq Mubarak: Triumph over tragedy” yang tersiar dalam akhbar The Malay Mail beberapa hari selepas kematian atlet itu pada 9 Ogos 2013.

Satu nahas jalan raya yang hampir meragut nyawanya pada 13 Okt 1970 menyaksikan dia menghabiskan sembilan bulan berikutnya berjuang untuk pulih, mengembalikan kecergasan serta menyarung singlet dan seluar pendek untuk ke tempat latihan semula.

Pakar bedah, yang terdahulu memberitahunya bahawa dia mungkin tidak akan mampu berlumba lagi, berkata kepadanya: “Kamu benar-benar miliki keberanian.” Ishtiaq, dalam mengingati perbualan itu mengungkapkan: “Ia sesuatu yang sedap didengar.” Malah, kata-kata azimat itulah yang melonjakkannya untuk layak bersaing dalam dua lagi temasya Olimpik — Munich 1972 dan Montreal 1976 – selepas penampilan sulungnya di Bandaraya Mexico 1968.

Pada usia semuda 19 tahun, penyertaan Ishtiaq di Bandaraya Mexico hanya sesingkat pusingan pertama dengan catatan 14.3 saat dan tidak mampu mengubah kedudukan di Munich empat tahun berikutnya. Sebagai pembawa bendera negara di temasya Montreal 1976, Ishak membalas penghormatan itu dengan mara sejauh peringkat separuh akhir.

Dalam saringan 2 pusingan pertama, dia mencatat 14.27s untuk tempat kelima dan layak ke separuh akhir pada tanggal bersejarah 28 Julai 1976 apabila menduduki tempat kelapan dengan masa 14.21 saat dalam saringan 2 yang dimenangi pelari Cuba, Alejandra Cassanas (13.30 saat).

Ishtiaq turut menang pingat emas dalam empat Sukan SEA pada 1969, 1971, 1973 dan 1977 dan rekod kebangsaan 14.08 saat miliknya bertahan selama 15 tahun sehingga dipecahkan oleh Nur Herman. Bermula dengan Sukan SEA 1991 di Manila dan seterusnya dalam lima temasya dwi-tahunan itu berturut-turut selepasnya, Nur Herman mengekalkan takhtanya.

Belum pernah dalam sejarah temasya sukan serantau itu, seorang atlet mampu merajai acaranya untuk satu tempoh sedemikian lama, yang melayakkan Nur Herman diangkat statusnya sebagai salah seorang legenda olahraga negara. Harus bertepatan juga untuk dia dianugerahkan Olahragawan Kebangsaan 1994 sebagai kemuncak dalam pencapaian gemilangnya.

Namun, tidak semuanya indah dan lancar buat Nur Herman yang hampir mengalah dan mahu meninggalkan terus lapangan olahraga pada 1988. Ketika bersekolah di Tingkatan 6 di Rembau, dia terpaksa berulang-alik ke Seremban untuk latihan dan itu menyukarkannya kerana dua sebab – kepenatan daripada perjalanan dan perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkannya.

Hasratnya untuk mengundurkan diri bagaimanapun terhalang oleh desakan jurulatih, JV Jayan, yang mahukannya melakukan pengorbanan untuk bergelar juara. Jayan, seorang jurulatih yang tegas dalam latihannya, bersungguh-sungguh memberikan motivasi dan memujuknya agar tidak mudah mengalah – sesuatu yang membuat Nur Herman berasa terhutang budi hinggalah bersara sebagai atlet pada usia 32 tahun selepas Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2001.

Berselang cuma setahun selepas kejuaraan kebangsaan pertamanya, Nur Herman dipersiapkan untuk Sukan SEA 1989 yang dianjurkan Kuala Lumpur. Rezeki bagaimanapun bukan miliknya dalam perlumbaan akhir acara 110m lari berpagar yang dinanti-nantikan di Stadium Merdeka. Nur Herman malangnya terlanggar pagar kedua terakhir dan terjatuh untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelima. Namun, dia menebusnya dengan pingat emas dalam enam Sukan SEA berturut-turut di Manila 1991, Singapura 1993, Chiang Mai 1995, Jakarta 1997, Brunei 1999 dan Kuala Lumpur 2001.

Detik gemilangnya menyusul dalam Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun. Dibariskan bersama dua jaguh China di garis mula pada tanggal 15 Okt 1994, Nur Herman memilih kesempatan itu untuk menjadi atlet pertama Malaysia mencatat bawah 14 saat apabila melakar rekod kebangsaan 13.73 saat di belakang Li Tong dan Chen Yanhao. Pingat gangsa yang dimenanginya itu belum mampu diulangi atlet Malaysia lain hingga hari ini.

Dua kali ke Sukan Olimpik, ada suka-duka yang diharungi Nur Herman di sebalik melayakkan diri secara merit ke Barcelona 1992 dan Atlanta 1996. Di Barcelona, dia bertuah disenaraikan bersama pemenang pingat perak Sukan Olimpik Seoul 1988, Colin Jackson dari Great Britain dan pelari Cuba, Emilio Vale dalam saringan 1. Tiada kerdilnya Nur Herman yang berkesudahan di tempat ketujuh dengan catatan 14.34 saat atau ranking ke-34 keseluruhan.

Berselang empat tahun di temasya Atlanta 1996, impiannya untuk meninggalkan sebarang impak berkubur lebih awal apabila menarik diri daripada saringan 4 kerana masalah kesihatan.

Ishtiaq sudah tiada manakala Nur Herman pula sudah lama bersara tapi kisah kejayaan kedua-duanya terus mekar sebagai rangsangan buat atlet-atlet pewaris yang bukan saja bercita-cita besar, malah sanggup bersusah-payah dan berkorban demi mencapai impian. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.