`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, October 18, 2023

Kurang didikan keselamatan punca ramai kanak-kanak maut di jalan raya, kata pakar

 

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah baru-baru ini berkata secara purata seorang kanak-kanak maut setiap hari dalam kemalangan jalan raya antara 2011 hingga 2020. (Gambar Freepik)

PETALING JAYA: Kurangnya didikan keselamatan dan penekanan terhadap keselamatan kanak-kanak di jalan raya menyumbang kepada kadar kematian tinggi melibatkan golongan itu di jalan raya di negara ini, menurut pakar.

Law Teik Hua dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia berkata, dasar sedia ada yang bertujuan menjamin keselamatan kanak-kanak di jalan raya selalunya tidak mencukupi.

“Di Malaysia, ada dasar berkaitan kerusi keselamatan dan topi keledar kanak-kanak yang menunjukkan ada langkah-langkah bagi meningkatkan keselamatan. Malangnya, kadar penggunaan alat keselamatan ini masih amat rendah,” katanya kepada FMT.

Sebagai contoh, katanya, kajian pusat penyelidikan itu mendedahkan bahawa pada 2022, penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di kawasan bandar hanya 26%, dan hanya 15% di luar bandar.

Bernama baru-baru ini memetik Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata secara purata seorang kanak-kanak meninggal dunia dalam nahas jalan raya setiap hari di Malaysia antara 2011 hingga 2020.

Katanya, statistik bagi tempoh 10 tahun itu dihimpunkan polis dan dianalisis Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), mendapati 7.25% kematian melibatkan kanak-kanak bawah usia 15 tahun.

Ketika dihubungi, Miros menjelaskan 72% daripada kematian jalan raya melibatkan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah ketika menjadi penumpang kenderaan, manakala selebihnya sebagai pejalan kaki.

Menurut institut itu, bilangan tertinggi kematian antara kanak-kanak berusia enam hingga 10 tahun melibatkan penumpang (59%) kebanyakannya akibat tidak menggunakan tali pinggang keledar dalam kereta dan topi keledar ketika menunggang basikal. Kanak-kanak kumpulan usia ini juga maut ketika menjadi pejalan kaki (29%), dan pemandu atau penunggang (12%).

Sebaliknya, 75% kematian jalan raya melibatkan kanak-kanak usia 11 hingga 15 tahun adalah sebagai pemandu atau penunggang. Dalam kebanyakan kes, mangsa pengayuh basikal atau pengguna motosikal bawah umur.

Pengerusi Miros Wong Shaw Voon berkata, pendidikan keselamatan jalan raya bagi murid sekolah perlu menjangkaui bilik darjah mereka.

Buat masa ini, modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya diajar dalam bahasa Malaysia di semua sekolah peringkat rendah dan menengah. Sejak 2021, ini dilanjutkan ke tadika dan prasekolah.

Wong juga berkata, usaha perlu dilakukan untuk memastikan kanak-kanak tidak berada di jalan raya ketika tidak perlu mereka berada di situ. Ini boleh dilakukan dengan memastikan kemudahan mencukupi untuk mereka bermain, seperti taman permainan dan gelanggang badminton. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.