`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, October 23, 2023

Malaysiaku ini negara Islam atau sekular?

 

Seperti “liberal”, pada ramai orang Melayu, istilah “sekular” seakan carutan. “Dirty word”. Sekular menurut pandangan ramai Melayu membawa erti tidak Islam. Lalu mesti dijauhi.

Menurut Wikipedia, “sekular adalah konsep pemerintah atau entiti berkaitan dalam sesebuah negara harus berdiri sendiri secara terasing daripada agama dan atau kepercayaan agama”.

Dalam istilah politik, “sekularisme adalah suatu gerakan terhadap pengasingan agama dan kerajaan. Ini adalah dirujukkan pada pengurangan ikatan antara kerajaan dan sesebuah agama negara, menggantikan kitab suci dengan undang-undang sivil dan menghapuskan perselisihan pada asas agama. Ini dikatakan untuk menambah demokrasi dengan melindungi hak asasi agama minoriti”. Itu secara ringkas.

Persoalan mengenai sekular di Malaysia timbul lagi baru-baru ini. Semuanya bermula apabila Presiden PAS Hadi Awang mengarah ahli partinya menarik undi orang bukan Melayu bukan Islam. Tampil Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng “menawarkan” tiga kaedah difikirkannya mampu membantu PAS mendapatkan sokongan diidamkan. Kaedah pertama, kata Lim, ialah Hadi dan PAS perlu bersetuju “dengan pandangan bahawa Malaysia sebuah negara sekular yang menjadikan Islam agama rasmi”.

Tampil pula Tuan Ibrahim Tuan Man, timbalan kepada Hadi, menolak cadangan Lim. “Malaysia bukan negara sekular. Kalau Malaysia negara sekular, apa perlu DAP masukkan dalam manifesto mereka memperjuangkan sebuah negara sekular? Ini manifesto DAP sendiri,” kata Tuan Ibrahim.

Pada pemahaman saya, apa beliau nyatakan ialah apa yang perlu PAS setujui jika Malaysia sudah sememangnya negara bukan sekular.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Mohamed Azam Mohamed Adil, menerusi rencananya siaran Berita Harian 29 Mac lalu, mengakui perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman pernah menjelaskan dalam sesi Parlimen, negara ini ialah negara sekular dan peruntukan Islam dalam Perlembagaan hanya untuk tujuan rasmi negara. Namun kata Azam kenyataan Tunku tidak sama sekali menjejaskan kedudukan sebenar Perlembagaan yang tidak menyebut perkataan sekular.

Pensyarah Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia Nazri Muslim, dalam penulisannya disiar 18 Jun 2018 juga oleh Berita Harian, mendakwa Tunku Abdul Rahman mengubah pendiriannya pada 1984 dengan mengatakan Malaysia bukan negara Islam tetapi bukan negara sekular secara mutlak.

Wikipedia menyenaraikan banyak negara sekular di benua Eropah, Afrika dan Asia yang majoriti rakyatnya orang Islam. Ini termasuk Bangladesh dan Indonesia (kecuali Aceh) negara yang ada umat Islam paling ramai di dunia. Ditegaskan Muslim sekular tetap mengamalkan Islam namun lazimnya tidak setuju penguasaan undang-undang syariah dalam masyarakat. Hakikatnya mereka tetap Muslim. Bukan orang bukan Islam.

Berbalik rencana ditulis ketua pengarah Ikim disebut tadi. Rencana bertajuk “Salah faham status Malaysia negara Islam, sekular perlu diperbetul”. Benar perlu dibetulkan. Yang terjadi untuk sekian lama bukan sahaja salah faham bahkan kekeliruan. Siapa yang membuat ramai termasuk saya keliru?

Laporan media disiar 30 Sept 2001 melaporkan Dr Mahathir Mohamad waktu itu perdana menteri pada malam sebelumnya secara terbuka mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam. Tetapi menurut laporan beliau pada masa sama meminta PAS menyahut cabaran memperincikan bentuk negara Islam yang ia cita-citakan.

Dalam pada Mahathir tidak melarang orang bukan Islam di negara ini menganggap Malaysia sebagai negara sekular berdasarkan tafsiran masing-masing.

Bagaimanapun pemerhati juga penulis seperti saya melihat itu silat politik – langkah Mahathir mematahkan gerakan PAS yang mahu menumbangkan kerajaannya kerana dituduh tidak Islamik. Lantas kata PAS ia mesti ditumbangkan untuk mereka tegakkan negara Islam.

Pada 17 Sept tahun berikutnya, Mahathir juga selaku perdana menteri diberitakan Malaysiakini, yang memetik laporan Bernama, berkata pengiktirafan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang diberi oleh dunia Islam atau bukan Islam sudah mencukupi untuk negara ini dianggap negara Islam.

Sambil menyatakan alasan lain sebenarnya tidak perlu untuk membuktikan Malaysia negara Islam, Mahathir mendakwa kerajaannya boleh menunjukkan bukti jelas bahawa segala ajaran Islam yang mampu dilaksanakan oleh pemerintah di Malaysia sudah dilakukan. Sekali lagi pada hemat saya itu satu langkah untuk menumpulkan tuduhan dan serangan PAS.

Dengan Mahathir mengumumkan demikian, Barisan Nasional (BN) terutama Umno dengan mudah dan pantas melontar pertanyaan kepada PAS – negara Islam apa lagi yang PAS mahu tubuhkan kerana Malaysia sememangnya negara Islam. Apa lagi kamu mahu?

Tergamam juga dibuatnya PAS yang bertindak balas dengan berkata Malaysia pimpinan BN hanya Islam pada nama kerana didakwa tidak buat apa Islam suruh. Umpamanya, kata PAS, tidak laksana hukum hudud.

Maka hudud dijadikan isu politik. Dijadikan modal oleh PAS dan Umno yang diterajui Mahathir untuk meraih sokongan orang Melayu waktu itu. Kesimpulannya hudud tidak dilaksanakan hingga sekarang. Walau PAS pernah duduk dalam kerajaan bersama Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob suatu ketika dahulu.

Imbas pula laporan MStar bertarikh 18 Jun 2014. Berkata Mahathir (ketika itu sudah bergelar bekas perdana menteri) Malaysia hanya sebuah negara biasa yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi. Bagaimanapun, kata beliau, ini tidak bererti Malaysia sebuah negara Islam atau sekular.

“Kita (baca saya) mengisytiharkan negara kita sebagai negara Islam sebelum ini tetapi tidak bererti kita perlu melakukan semua jenis perkara lain untuk menjadikan ia negara Islam. Terdapat banyak negara Islam yang tidak mengisytiharkan mereka negara Islam dan mereka juga tidak mengamalkan pelbagai perkara yang sepatutnya ada kaitan dengan negara Islam,” kata Mahathir.

Oleh itu tidak boleh dipersalahkan sesiapa yang salah faham dan keliru. Realitinya begini. Adakah Malaysia sebuah negara Islam atau sekular akan terus ditanya mengikut musim. Kita ada musim buah, musim banjir, musim jerebu. Kita ada juga musim tanya kita negara Islam atau sekular? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.