`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 24, 2023

Mat Solo, amuk dan Melayu

 

“Awok kat mana?” tanya saya melalui telefon dengan “dengung-idgham” loghat Pahang.

“Sekejap. Dah sampai Padang Merbok ni,” jawab Amerul Affendi, pelakon yang suatu ketika dahulu tular apabila namanya pernah digugurkan daripada membintangi sebuah drama tv oleh sebuah stesen tv dek kerana mukanya dikategorikan sebagai tidak kacak itu.

Saya dan isteri sudah berada di depan panggung Aswara seawal 8 malam lagi. Hujan yang membasahi ibu kota tidak mematahkan saya untuk mencilok skuter di celah-celah kereta yang bersesakan sementara isteri yang membonceng di belakang memeluk pinggang saya dengan cukup erat. Sesekali dia mencubit paha saya jika dia berasa cemas dengan mutu kawalan saya. Kami ke Aswara untuk menonton teater bahasa Inggeris “The Amok Of Mat Solo”, naskhah tulisan Salleh Ben Joned pada 1994 yang mana bukunya diterbitkan pada 2011.

Peminat sastera tanah air memang tahu siapa Salleh Ben Joned. Tentulah arwah ini lain macam. Kalau tidak masakan arwah dijuluki sebagai “budak jahat dunia sastera”. Sajak-sajak Salleh keras dan liar. Malah, watak ketua mafia dilakonkan Salleh Ben Joned dalam filem Bintang Malam (arahan Adman Salleh – 1991) bagi saya sebagai terbaik dalam sejarah filem Melayu bercorak gengster. Naskhah “The Amok Of Mat Solo” yang diarahkan oleh Syafiq Syazim dan dilakonkan oleh Muhammad Ibrahim, Sri Irdina, Jerrica Lai dan lain-lain ini sebenarnya dikembang daripada sajak Salleh sendiri berjudul “The Ballad Of Mat Solo” (1987). Mengisahkan seorang cendekiawan Melayu yang mengalami masalah mental teruk dalam pencariannya tentang identiti Melayu sebenar sebelum kedatangan Islam.

Mat Solo atau Dr Muhammad Awang Hitam berserabut melihat pemikiran “simple” masyarakat yang digelarnya dengan Mat Hempap, Mat Lebih, Mat Tahu dan Mat Leka. Manakala watak-watak cerdik pandai sebangsa dengannya seperti Datuk Seri Muhammad Tuah dan Prof Dr Takdir Al Atas, meskipun sama darjat keintelektualannya namun dirasakan oleh Mat Solo kedua mereka telah menggadaikan maruah diri kepada kekayaan materi.

Prof Mat Solo terus-terusan bermonolog tentang bangsa sambil diganggu dengan watak-watak pengacau. Dia terus menyelak ke belakang demi ke belakang sejarah bangsa mencari kononnya sebuah jati diri. Melayu sebelum datangnya Islam baginya adalah Melayu yang betul-betul tulen sebelum keaslian jiwa Melayu itu bercampur-aduk antara adat budaya Melayu dan Arab, falsafah serta hukum-hakam agama. Penjajahan barat dan kedatangan Islam bagi Mat Solo telah menghakis ketulenan bangsa Melayu.

“Moh minum!” ajak Amerul ketika persembahan berehat seketika selama 15 minit setelah bahagian pertama yang berjalan selama 45 minit selesai. Saya terkejut. Alamak! Takkan nak blah dah! Ada separuh lagi persembahan.

“Pekena teh tarik kat Selangor Mansion, moh!” kata Amerul sambil mencetuskan api “lighter” untuk membakar rokok di bibirnya. “Serabut ah!” sungut dia lagi sambil menghembus asap rokok. Asap rokok yang baunya cukup saya cam sebagai bau rokok dari seberang menerawang ke angkasa dan kemudian terhisap meresap ke titis-titis air hujan yang masih turun walaupun tidak selebat tadi. Saya dan isteri masuk ke dalam kereta Amerul untuk ke Jalan Masjid India. Entah kenapa kami sepakat meninggalkan separuh masa kedua teater “The Amok Of Mat Solo” itu.

Hujan sudah sidang. Selepas memesan makanan dan minuman kami pun terus membebel perihal persoalan bangsa dalam teater Mat Solo itu tadi. Saya tidak pasti apakah kami tidak puas hati dengan persoalan identiti bangsa oleh watak bernama Mat Solo itu atau tidak puas hati dengan naskhah Salleh itu sendiri? Atau adakah persembahan teater tersebut yang membuat kami serabut sehingga cabut lari sebelum melihat Mat Solo mengamuk?

Mungkin saya, isteri dan Amerul sendiri sudah muak dengan hujah-hujah identiti bangsa yang selama ini sudah banyak kami dengar tidak kiralah sama ada melalui rencana dan tulisan, bebelan di pentas ceramah oleh orang politik, seniman atau ahli akademik. Muak dengan yang dibentangkan dan muak apabila melihat kebenarannya juga.
Tentang Melayu malas, tiada jati diri, perihal Melayu dengan kepercayaan karut-marut dan tahyul, Melayu konservatif yang masih lagi dengan mantera serapah jampi, Melayu yang kononnya alim tetapi memegang agama dengan “tangan tak capai langit, kaki tak jejak bumi”. Melayu! Melayu! Melayu! Semuanya tak kena dengan Melayu. Melayu sahaja yang ada penyakit melatah dan hanya Melayu sahaja ada perkataan amuk sehingga orang putih pun mengguna perkataan tersebut.

Saya baru tersedar, isu tertekan sehingga membawa kepada amuk seperti Mat Solo karya Salleh Ben Joned ini juga telah pernah saya hasilkan dalam novel saya “Amuk Malam Merdeka” (2014) terbitan DuBook Press dan novel Kerinchi (2018) terbitan Anak Kunci Production. Rupa-rupanya saya juga pernah mengambil elemen amuk ini melalui karya-karya saya seperti juga Salleh. Agaknya kami berkongsi pemikiran yang sama juga; sekurang-kurangnya suatu ketika dahulu iaitu mengharapkan Melayu itu sebagai sebuah bangsa yang cukup sempurna. Apa-apa yang bertentangan dengan adat Melayu yang kami bayangkan, maknanya ia telah dicemari. Penyelesaian daripada segala bala dan celaka ke atas bangsa ini harus diselesaikan dengan amukan. Itu yang pernah saya fikirkan dan saya tulis pada dua novel saya itu. Samalah seperti Mat Solo yang mengamuk dinukilkan oleh Salleh Ben Joned sebagai sebuah penyelesaian. Maka watak Hang Jebat, Laksamana Bentan, Si Bongkok kami kaitkan sebagai watak yang menentang kemungkaran dengan kaedah amuk.

Menurut kata pengarah teater ini, kita tidak semestinya bersetuju dengan karya Salleh Ben Joned ini tetapi naskhah “The Amok Of Mat Solo” harus diangkat ke pentas sebagai satu pandangan alternatif terhadap identiti bangsa Melayu untuk kita nilaikan. Dan benar, hasil penilaian kami ternyata kami tidak dapat bersetuju dengan Mat Solo (dan Salleh Ben Joned). Persoalan yang diapungkan, hujah-hujah yang diketengahkan oleh Mat Solo membuat kami serabut sebab kami rasa ia tidak selari dengan perkembangan zaman ini. Balik-balik itu! Balik-balik begitu!

“Dah la sekarang kita tengah sakit dengan Zionis. Mood kita sekarang dengan Palestin. Jadi, persoalan identiti bangsa ala Mat Solo ini tidak seragam dengan keadaan sekarang.” sungut Amerul lagi. Ini disokong oleh isteri saya. Maknanya, identiti Melayu yang difikirkan oleh Mat Solo itu tidak secocok dengan jati diri kami (Melayu) untuk dipadankan ke peringkat sejagat.

Kereta dipandu Amerul berhenti di pagar Aswara tempat saya “park” skuter saya. Apa identiti Melayu yang dicari oleh Mat Solo itu sebenarnya tidaklah salah dan tidaklah juga betul semuanya, fikir saya. Melalui akal fikiran kita meneroka mencari asal-usul dan daripada penerokaan itu kita akan dapat jawaban. Jawaban itu muncul mengikut soalan yang kita bangkitkan. Soalan yang kita bangkitkan itu datang daripada hasil pemikiran kita sendiri yang telah lama tersorok di dalam benak. Ia akan terkeluar sebagai suatu bentuk jawaban apabila dirangsang dan dicungkil dengan soalan-soalan yang terancang. Bahasa mudahnya, persoalan datang daripada pengalaman yang ditempuhi oleh kita dan jawaban akan datang selepas kita memproses pengalaman yang ditempuh itu.

Macam Melayu yang kita fikirkan. Macam itulah! Ada Melayu macam Mat Solo, Mat Lebih, Mat Tahu. Ada Melayu macam saya, macam Amerul, macam anda. Kerana masing-masing ada sesuatu yang dikejarkan. Yang ingin dimiliki. Cinta, kuasa, pengaruh, dunia dan akhirat. Semua bangsa pun begitu. Biasalah! Yang menjadikan ia rumit adalah diri kita sendiri. Kerana kita terbelit dengan keangkuhan sendiri yang berasakan diri kitalah “terpaling tahu”. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.