`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, October 21, 2023

Misi buru emas elusif Olimpik

 

Kalangan kepimpinan sukan negara sudah jenuh bermuka merah padam setiap kali negara jiran meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik. Namun, tiada yang dapat mengatasi tamparan daripada jaguh angkat berat wanita Filipina, Hidilyn Diaz, yang mengakhiri kemarau pingat emas negara itu menerusi acara angkat berat kelas bawah 55kg dua tahun lalu.

Sejujurnya, sukan Malaysia sudah lama berasakan tamparannya dari saat Indonesia mendahului negara-negara tetangga di Asia Tenggara merintis perolehan pingat emas melalui ‘merpati dua sejoli’ badmintonnya, Alan Budi Kusuma dan Susi Susanti, masing-masing dalam perseorangan lelaki dan wanita dalam Sukan Olimpik Barcelona 1992 – kali pertama badminton dipertandingkan sebagai acara rasmi.

Kemudian, apabila Thailand menyusuli dengan pingat emas sulungnya menerusi peninju Somluck Kamsing dalam kategori featherweight Sukan Olimpik Atlanta, Amerika Syarikat (AS) 1996, kalangan kepimpinan sukan Malaysia harus berasa senak perut. Ini dituruti pula oleh Vietnam yang penembaknya Hoang Xuan Vinh unggul dalam acara 10 meter air pistol dalam Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016.

Kejayaan jiran terdekat Singapura meraih emas sulungnya menerusi perenang Joseph Schooling, juga dalam temasya di Brazil itu, mungkin membuat ada pimpinan sukan negara berasa diserang sakit jantung. Schooling menang dengan catatan rekod baru Olimpik 50.39 saat dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu, mengatasi rekod 50.58s milik jaguh AS Michael Phelps, yang berkongsi pingat perak dengan Laszlo Cseh (Hungary) dan Chad le Clos (Afrika Selatan), ketiga-tiganya mencatat 51.14 saat.

Tidak mengapalah Indonesia menang enam lagi pingat emas badminton Olimpik — Rexy Mainaky-Ricky Subagja (1996), Tony Gunawan-Chandra Wijaya (2000), Taufik Hidayat (2004), Hendra Setiawan-Markis Kido (2008), Tontowi AhmadLiliyana Natsir (2016) dan Greysia PoliiApriyani Rahayu (2020) – kerana ia tidak mungkin lebih mengesankan daripada kejayaan Hidilyn yang sekadar membuat kalangan pimpinan sukan Malaysia tersipu malu.

Harus ramai yang mengingati kisah atlet Filipina kelahiran 20 Februari 1991 itu yang berkelana ke Malaysia untuk berlatih apabila keputusan kerajaan menguatkuasakan sekatan perjalanan gara-gara Covid-19 pada April 2020 menyebabkannya terkandas. Tanpa ada pilihan selepas gimnasium latihan di ibu negara turut diarahkan tutup, dia terpaksa mengubahsuai peralatan latihannya dengan menggunakan batang buluh dan botol-botol besar air sebagai pemberat dalam Latihan sendiri di apartmen sewanya.

Dia kemudian mengubah tempat latihannya ke sebuah bangsal di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka atas ihsan seorang pegawai Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) pada Oktober tahun berkenaan. Siapa sangka dalam keadaan serba kekurangan dan sekatan perjalanan yang menyulitkan, Hidilyn tampil sebagai wira negaranya. Beban 127kg dalam angkatan terakhirnya di Tokyo menghadiahkan Filipina pingat emas sulungnya dalam sejarah penyertaan 97 tahun dalam temasya terbesar dunia itu.

Malaysia pula bukannya tidak berpeluang. Bermula dengan beregu adik-beradik RazifJalani Sidek menyumbang gangsa dalam Sukan Olimpik Barcelona 1992, kontinjen negara semakin hampir kepada emas dalam sekurang-kurangnya lapan percubaan lagi selepas itu hanya untuk dihampakan pada halangan terakhir.

Di temasya Atlanta 1996, pasangan beregu Cheah Soon KitYap Kim Hock menerbitkan harapan itu sebelum dikecewakan Rexy Mainaky-Ricky Subagja sambil Rashid Sidek pula terkandas lebih awal dalam separuh akhir untuk berpuas hati dengan sebutir gangsa – yang pertama dalam perseorangan lelaki.

Ini disusuli tiga kemaraan berturut-turut Lee Chong Wei ke final, namun dikecewakan dua kali oleh jagoan China Lin Dan di Beijing 2008 dan London 2012 sebelum Chen Long pula menjadi pemusnah Impian emasnya di Rio de Janeiro 2016. Malah, temasya di Brazil itulah menghadirkan peluang terbaik Malaysia. Selain Chong Wei, malangnya Goh V ShemTan Wee Kiong dalam beregu lelaki dan Chan Peng Soon– Goh Liu Ying dalam beregu campuran turut ditelan tekanan tinggi dan gemuruh perlawanan akhir.

Sebutir perak lagi daripada Cheong Jun HoongPandelela Rinong dalam acara terjun 10m platform seirama manakala gangsa keirin sumbangan Azizulhasni Awang bermakna buruan emas Malaysia berlanjutan sekurang-kurangnya empat tahun lagi. Lima tahun sebenarnya kerana Sukan Olimpik Tokyo 2020 tertangguh setahun dek Covid-19.

The Pocket Rocketman Azizulhasni sekali lagi paling hampir menamatkan pemburuan tapi dikejutkan dalam saingan peringkat akhir yang penuh dramatik apabila pelumba Team GB Jason Kenny mempamerkan kayuhan luar biasa sejak peringkat awal lagi untuk terus menguasai perlumbaan sehingga ke akhir bagi mengekalkan kejuaraannya di Velodrom Izu, Shizuoka pada 7 Ogos 2021.

RM72 juta untuk ‘Road to Gold’

Mac lalu pula, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan projek ‘Road to Gold’ yang bertujuan menyelaras perse­diaan rapi atlet negara menjelang temasya Olimpik Paris 2024 dan Olimpik Los Angeles 2028. Menterinya Hannah Yeoh berkata pasukan projek itu terdiri daripada bekas atlet dan individu elit dalam arena sukan negara yang memberi tumpuan kepada program persediaan meliputi latihan harian, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.

Jumaat lalu, melalui pembentangan Belanjawan Negara 2024, kerajaan memperuntukkan RM72 juta bagi memperkukuh ekosistem atlet acara podium dan pelaksanaan inisiatif RTG. Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM20 juta diperuntuk di bawah inisiatif RTG sebagai persediaan untuk menggapai pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

Sandaran utama akan kembali tertumpu kepada Azizulhasni, beregu badminton Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Lee Zii Jia antaranya di samping skuad terjun negara untuk membutirkan emas sulung didam-idamkan di temasya dijadualkan dari 26 Julai-11 Ogos 2024 atau kira-kira hanya sembilan bulan lagi. Selepas sekian lama menjadi penonton kepada atlet-atlet negara jiran menduduki podium tertinggi, tiba masanya untuk atlet tempatan meraih penghormatan serupa.

Puluhan malah ratusan juta ringgit yang telah diperuntukkan, kemudahan latihan dan bimbingan kejurulatihan terbaik seharusnya berbalas dengan pulangan kejayaan di temasya terbesar dan tahap tertinggi untuk sukan Malaysia tidak lagi berasa terus ditinggalkan oleh negara-negara jiran berdekatan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.