`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, October 28, 2023

Pengajaran pengalaman silam

 

Saya mulakan penulisan ini dengan menggariskan apa yang kita sudah maklum. Sejak 1972 Malaysia tidak pernah bermain lagi pada acara bola sepak di Sukan Olimpik. Benar lapan tahun kemudian pasukan bola sepak negara layak bermain di Sukan Olimpik 1980 Moscow. Tetapi seperti kita tahu pasukan itu tidak pergi ke Moscow berikutan arahan kerajaan temasya sukan itu diboikot sebagai tanda bantahan negara terhadap pencerobohan Rusia ke atas Afghanistan.

Oleh itu skuad kebangsaan 1972 satu-satunya pasukan bola sepak negara yang bermain di Sukan Olimpik. Pencapaian yang masih belum disamai apa lagi diatasi. Dan Rahim Abdullah adalah antara pemain menganggotai skuad 1972 beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972.

Kata Rahim beliau amat berbangga menjadi pemain dalam Skuad Olimpik 1972 tetapi pada masa sama “saya terus menanggung malu sebagai jurulatih pasukan negara yang pertama tewas kepada Filipina”.

Kekalahan 1-0 di tangan Filipina pada Sukan SEA 1991 di Manila diibaratkan media Malaysia sebagai satu “malapetaka” kerana Filipina sebelum ini adalah belasahan buat pasukan negara. Walaupun pada Sukan SEA 2019 (juga di Manila) Malaysia dimalukan Filipina (juga dengan jaringan satu gol), kekalahan 1991 dikatakan lebih memeranjatkan kerana ia kali pertama Malaysia ditewaskan Filipina yang waktu itu boleh dianggap kerdil.

Apa yang terjadi? Buat julung kalinya Rahim yang sekarang berusia 76 tahun mendedahkannya baru baru ini kepada Frankie D’Cruz, nama besar dalam arena kewartawanan Malaysia yang kini menulis untuk FMT (artikel D’Cruz berjudul “Reluctant coach, shady players and meddling officials of 1991 Harimau Malaya” disiar FMT 23 Okt lalu).

Setelah bersara Rahim melangkah ke arena kejurulatihan dan prestasinya terutama selaku jurulatih pasukan polis pada liga kebangsaan menarik minat FAM atau Persatuan Bolasepak Malaysia. Memendekkan cerita Rahim menerima tawaran FAM untuk jawatan jurulatih pasukan kebangsaan dengan tugasan pertama Sukan SEA 1991 di Manila.

Menurut Rahim di manila beliau mengesyaki beberapa pemain pasukan negara mengatur keputusan perlawanan. “Jual game” terma yang digunakan dalam kalangan sukan bola sepak. Dalam lain perkataan menerima rasuah untuk kalah.

Namun, Rahim mengakui tidak punya bukti. Dan pegawai FAM pula “kurang minat” mendengar apa yang beliau syaki. Ramai kata Rahim memilih untuk “look the other way”. Ringkasnya syak tinggal syak pendedahan dibiar terabai.

Tetapi ceritanya tidak berakhir di situ. Ada lagi yang Rahim dedahkan. Kata beliau “bencana” yang bakal menimpa sebenarnya sudah terbayang sejak awal. Semasa persiapan pasukan dijalankan beberapa pegawai tertentu masuk campur urusan latihan.

Rahim dan pembantunya Bakri Ibni tidak dapat melaksanakan idea atau perancangan yang mereka sediakan kerana Pengarah Teknikal FAM N Raju mengambil alih sesi latihan dan mengendalikan pasukan.

Dan pengurus pasukan Bakar Daud dakwa Rahim turut campur tangan. Menurut beliau, Bakar bertindak menentukan barisan kesebelasan utama pada hari perlawanan dan membuat pertukaran di atas padang.

Rahim juga mendakwa pengurus pasukan bertegas beberapa pemain diturunkan walaupun mereka tidak serius semasa latihan atau tidak cergas. Sebagai jurulatih baharu kata Rahim beliau tidak ada pilihan selain memendam perasaan.

Jujur saya katakan saya sudah lama tidak mengikuti perkembangan bola sepak negara. Apa yang saya tahu mengenai pasukan bola sepak negara sekarang saya dapati daripada laporan media dan apa yang diberitahu berapa kawan yang “kaki bola” juga penulis sukan veteran. Kesimpulan mereka ialah pasukan kebangsaan sekarang punya masa depan cerah.

Daripada apa yang mereka beritahu saya, skuad bola sepak negara sekarang dibarisi pemain muda berbakat, ada tahap skil tinggi lantas boleh membanggakan negara suatu masa kelak. Dan kata mereka pasukan dibimbing warga Korea Selatan Kim Pan-gon selaku ketua jurulatih.

Pan-gon kata kawan saya “boleh diharapkan”. Beliau punya idea dan rancangannya tersendiri untuk mengendalikan pasukan. Menggunakan taktik sesuai kemampuan pemain yang beliau ada bukan mengambil taktik pasukan lain untuk digunakan pasukan kebangsaan. Begitu saya diberitahu.

Sejak beliau menjadi ketua jurulatih Malaysia memanjat senarai ranking Fifa. Dewasa ini berada di tempat ke-134. “Slowly but surely moving up” kata akhbar The Star.

Baiklah. Jika Pan-gon jurulatih yang boleh diharapkan bak kata kawan saya si “kaki bola” dan sedang membawa pasukan “on the right path” eloklah beliau diberi kepercayaan dan sokongan meneruskan kerja baiknya. Beri beliau kebebasan untuk melaksanakan semua perancangannya tanpa diganggu atau diberi tekanan pihak atasan atau orang besar yang minat bola sepak mahupun peminat dan penyokong yang bijak memberi “nasihat” dan “tunjuk ajar” bagai pakar bola sepak. Kadang-kadang “coach” luar padang lebih hebat dari dalam padang.

Izinkan si jurulatih menentukan barisan pemainnya – siapa main, siapa duduk di bangku pemain simpanan, siapa yang mesti digugurkan dan siapa yang perlu dibawa masuk. Biarkan beliau menjalankan latihan ikut caranya tanpa diganggu atau “distraction”. Biarkan beliau menentukan sistem dan corak permainan pasukannya. “The buck stops with him”. Dan Pan-gon pernah dilapor berkata jangan dimarahi pemainnya. Sebaliknya jika ada kutukan dan tohmahan tujukan kepada beliau kerana beliau jurulatih manakala pemain sekadar mengikut arahan jurulatih. Ini bagi saya tindakan seorang “good coach” yang berani mengambil tanggungjawab.

Tugas utama Pan-gon dan pasukannya seterusnya ialah kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 bulan depan. Biar beliau bebas menumpu perhatian akan tugas besar itu. Apabila FAM memilih Pan-gon ertinya negara memberi beliau kepercayaan untuk melakukan yang terbaik buat skuad bola sepak negara. Oleh itu hormatilah keputusan itu.

Harapan kita janganlah apa yang berlaku ke atas Rahim semasa mengendalikan skuad Sukan SEA Manila 1991 diulangi dengan Pan-gon pula menjadi mangsa. Akhirnya mangsa paling besar ialah bola sepak negara. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.