`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, October 18, 2023

Sampai bila Netanyahu?

 

Gaza antara kawasan yang paling diawasi di dunia, if not the most surveilled place on earth. Talian telefon diintip. Ertinya, perbualan menerusi telefon dicuri dengar dan dirakam. Satelit digunakan untuk mengesan pergerakan manakala puluhan jika tidak ratusan pemberi maklumat memerhati penduduk untuk mendapatkan informasi yang akan dilapor kepada ‘majikan’.

Israel mempunyai rangkaian intelligence canggih dan peralatan moden untuk melakukan surveillance 24 jam setiap hari ke atas Gaza, dibantu oleh sekutunya Amerika Syarikat yang amat cekap mengintip, meneliti, dan memerhati. Mossad, agensi perisikan Israel dikatakan sehebat CIA.

Tetapi dunia diberitahu Israel terkejut beruk apabila Hamas menyerang wilayahnya pada 6 Okt lalu. Maksudnya Israel was caught off guard. Namun beberapa hari kemudian agensi berita antarabangsa termasuk CNN melaporkan perisikan AS daripada akhir September dan awal Oktober memberi amaran tentang risiko serangan Hamas. Menurut berita berkenaan, pegawai AS berkongsi maklumat dengan Israel mengenai aktiviti luar biasa Hamas satu hari sebelum serangan.

Akhbar The Guardian memetik Pengerusi Jawatankuasa Kongres AS bagi Hal Ehwal Luar Negeri Michael McCaul mendakwa Israel ada menerima amaran daripada Mesir akan kemungkinan serangan tiga hari sebelum serangan. Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menafikan dan dalam perutusan kepada rakyatnya berkata itu semua berita palsu.

Netanyahu kita tahu dilanda krisis sejak awal tahun ini. Krisis keyakinan, krisis politik, krisis kepimpinan. Pada 4 Jan lalu Menteri Kehakiman Yariv Levin mengumumkan rancangan untuk merombak sistem kehakiman Israel, termasuk mengehadkan autoriti mahkamah agung dan memberikan kepada pemerintah kawalan ke atas panel pemilihan hakim.

Rata-rata rakyat Israel melihat ia perancangan Netanyahu untuk menjadi diktator. Ada dalam kalangan jemaah menterinya membantah rancangan itu, antaranya Menteri Pertahanan Yoav Gallant yang kemudian dipecat. Sejak itu hampir setiap hari ada demonstrasi jalanan membantah rancangan Netanyahu mengubah sistem kehakiman. Ribuan rakyat menyertai tunjuk perasaan di seluruh Israel malah semasa Netanyahu di New York pada September lalu untuk berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu beliau disambut dengan protes ribuan rakyat Israel dan Yahudi AS.

Kesimpulannya Netanyahu bukan pemimpin yang disukai majoriti rakyat Israel dan masyarakat Yahudi di mana jua mereka berada. Kedudukannya sebagai perdana menteri terancam. Diberitakan satu lagi tunjuk perasaan besar-besaran dirancang yang boleh mengoncangnya tetapi tidak diadakan berikutan serangan Hamas pada 6 Okt.

Sebaik Hamas menyerang Netanyahu isytihar perang ke atas gerakan itu. Perisytiharan itu disambut baik rakyatnya. Menurut BBC, rakyat Israel secara am setuju dengan tindakan ketenteraan untuk membalas dendam. Serangan Hamas dipergunakan Netanyahu untuk menggantikan imej diktator dengan imej penyelamat. Rakyat yang anti-Netanyahu berubah kepada suka kepadanya. Perang di Gaza selamatkannya.

Namun sampai bila? Apabila keadaan di Gaza reda dan perang ditamatkan, mungkinkah kebencian rakyatnya akan timbul semula? Adakah protes anti-Netanyahu diadakan semula? Tidak mungkin Netanyahu tidak akan meneruskan hasrat merombak sistem kehakiman dan rakyatnya pula yang dulu membantah tidak menyambung bantahan.

Akibat kekejaman Israel di Gaza atas arahan Netanyahu, ada sekutu Tel Aviv yang mula bersuara meskipun tidak lantang. Umpamanya AS. Walaupun berkata Israel “punya hak pertahankan diri” dan “menyerang kerana Hamas menyerang dahulu”, Presiden Joe Biden mengingatkan Israel perang ada peraturan dan undang-undang serta menakluk Gaza suatu kesilapan besar.

Tidak cukup keras? Benar, tetapi untuk AS berkata demikian agak memeranjatkan Israel. Akibat kekejaman Israel di Gaza juga masyarakat antarabangsa membuka mata. Penindasan terhadap Palestin sejak 100 tahun lalu di imbau kembali. Demonstrasi anti-Israel di seluruh dunia yang disertai ribuan orang Islam dan bukan Islam bukan sahaja untuk meluahkan kemarahan tetapi isyarat kepada pemimpin masing-masing khususnya di negara-negara Arab supaya jangan memihak kepada Israel, dan melakukan sesuatu untuk menyelesaikan konflik yang sudah terlalu lama dibiar.

Golongan agamawan Yahudi tampil menjelaskan perbezaan antara Yahudi dan Zionis. Kata mereka, Zionis bukan agama Yahudi. Ini pernah dinyatakan dahulu tetapi diulang susulan keganasan tentera Israel terhadap Gaza yang kita sedang saksikan.

Konflik Palestin-Israel bukan mengenai agama tetapi bak kata wartawan kanan BBC, Lyse Doucet, semakin hari ia mengambil naratif keagamaan. Bagi saya ‘jasa’ Netanyahu ialah kerana tindakannya di Gaza umat Islam bersatu padu, setidak-tidaknya buat masa ini untuk isu ini. Ramai orang yang pernah memandang serong terhadap umat Islam tidak lagi berbuat demikian. Sekurang-kurangnya buat masa ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.