`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, October 23, 2023

Sanusi pemenang terbesar di muktamar

 

Menonton satu klip video ucapannya pada hari terakhir muktamar PAS semalam, Sanusi Nor terserlah sebagai seorang yang sedang dibuai keyakinan. Kata-katanya, meski disulam jenaka atau pembohongan mengikut tafsiran musuhnya, tetap menambat perhatian. Itu kelebihannya kerana apabila saja disua mikrofon, orang lain semua mendengar.

Berucap di pentas yang turut membariskan saf kepimpinan parti, tiada sedikit pun tanda beliau gemuruh. Sebaliknya, usikannya yang membuat mereka tersengih atau ketawa seakan-akan mengiyakan mesej yang hendak disampaikannya sebagai antara pemimpin masa depan parti berkenaan.

Sudah barang tentu isi ucapan Sanusi di perhimpunan sepenting itu tidak terkandung kata-kata kesat jika dibandingkan dengan di pentas ceramah pilihan raya kecil, dengan yang terakhir di Pelangai awal bulan ini, tapi beliau tetap ada caranya untuk mengundang laungan takbir dan derai ketawa khalayak di hadapannya. Di dalam PAS, beliau mendapat “restu” tanpa diminta.

“Sekarang ni semua negeri telah menaikkan elaun wakil rakyat, hat paling kaya sekali Terengganu. Walaupun tak dapat peruntukan, di negeri-negeri semua ada dah, di Parlimen ja belum ada, tidak lebih dari tiga bulan, insya-Allah, Ahli Parlimen akan dapat peruntukan tu,” katanya disambut laungan takbir perwakilan.

“Aku kata ja. Tapi ramalan saya selalunya benar,” sambungnya disambut gelak-ketawa saf kepimpinan parti, termasuk Presiden PAS Hadi Awang yang dilihat bergegar badannya mendengarkan jenaka Sanusi yang tidak pun menjelaskan maksud sebenarnya apakah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim yang sering diperlekehnya akan bertukar kurang tiga bulan lagi.

Anwar dalam satu temu bual Time Magazine disiarkan secara dalam talian 11 Okt lalu memberi jaminan tidak akan menghalang kerjasama dengan PAS jika ia wujud pada masa akan datang. Ini susulan jemputannya kepada parti itu selepas PRU15 November tahun lalu yang ditolak.

Bagaimanapun, muktamar kali ini menolak pelawaan seumpamanya, dengan Hadi pada sidang media selepas majlis perasmian Jumaat lalu tegas menyatakan PAS tidak mampu membersihkan kerajaan yang sudah sedia “tercemar”.

Berbalik kepada Sanusi, dengan tiadanya pertandingan pada muktamar kali ini bagi lima jawatan tertinggi parti — presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden – menteri besar Kedah itu adalah pemenang terbesar dalam pemilihan 18 Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2023-2025. Menduduki tangga pertama dengan 1,098 undi, 56 undi mengatasi pesaing terdekatnya, bekas ketua Pemuda Ahmad Fadhli Shaari (1,042) dan Adun Batu Buruk Khalil Hadi (1,033), Sanusi meraih 96.23% undi daripada 1,141 perwakilan yang mengundi.

Malah, bukan sekadar daripada perwakilan, Sanusi turut mendapat pengiktirafan tertinggi daripada Mursyidul Am PAS Hashim Jasin. Menyatakan dirinya sebagai orang tua dan Sanusi pula masih muda, beliau menyifatkan tatkala umat sedang berkemelut, Allah menghantar manusia seperti Sanusi yang mempunyai pandangan, hujah dan menyelesaikan beberapa perkara. Ia adalah ulangan kata-katanya terhadap menteri besar Kedah itu ketika kempen PRK enam negeri 12 Ogos lalu.

Berbanding kenyataannya 5 Julai lalu supaya Sanusi – daripada hanya anak kampung yang telah melonjak kemasyhurannya dengan membawa banyak perubahan di Kedah — menjaga percakapannya dan mengelak mencetuskan kontroversi yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan raja (3R), Hashim kali ini menasihatinya agar tidak perlu mengaku yang dirinya cerdik, berani dan pandai berpolitik. Perkara itu, katanya, diakui oleh musuh-musuh ketatnya sendiri.

“Dia memang cerdik. Dia tarik diri daripada bertanding naib presiden, dengan sendiri melonjakkan dia naik balik ke atas, itu hebat orang cerdik ni. Dan saya minta lain kali tak payah duk puji diri. Orang dah duk puji dah di mana-mana. Kami sayang Sanusi, kami sedia berkorban untuknya dan mengikut apa parti yang dipegang. Cukuplah setakat itu,” kata Hashim lagi.

Saya sedut sedikit tulisan kolumnis FMT Mohsin Abdullah bertajuk “Sanusi: Politikus cerdik atau licik?” 28 Sept lalu yang menghuraikan orang Melayu terutama di Kedah akan sifatkan Sanusi seorang pemimpin yang rendah diri, tidak sombong, tidak bongkak walaupun berjawatan menteri besar. Sanusi amat faham budaya Melayu yang tidak suka orang yang sombong, takbur dan cakap besar.

Tulis sahabat saya lagi: “Apabila beliau berkata ‘tak padan jadi naib presiden, jadi AJK padanlah’, maka sah beliau akan kekal dalam Jawatankuasa PAS Pusat. Mustahil beliau akan kalah pemilihan. Oleh itu untuk menjawab pertanyaan yang tertera pada tajuk artikel ini, saya sekali lagi kata Sanusi cerdik juga licik.”

Biar semua di luar PAS mengata tapi Sanusi tidak dapat dinafikan saatnya sebagai pemenang terbesar dalam muktamar yang berakhir semalam. Mungkin tidak sesuai untuk mengangkat popularitinya umpama seorang bintang rock berdasarkan khalayak yang dihadapinya tapi beliau arif benar dengan apa yang mahu didengar daripadanya mengikut tempat dan kesesuaian.

Ketika kempen PRN Ogos lalu, contohnya, Sanusi yang mendakwa dirinya memiliki “sembilan hayat”, menyerlahkan kekentalan menghadapi serangan bertalu-talu pihak lawan dengan menepisnya sebagai sekadar satu usaha menimbulkan persepsi negatif terhadapnya tanpa apa-apa yang telah dibuktikan.

Umpama seorang peguambela yang tangkas, Sanusi hanya bertujuan menimbulkan keraguan munasabah ke atas apa saja pertuduhan dilemparkan terhadapnya sambil membiarkan beban bukti diadakan oleh pihak pendakwaan. Lagipun, padanya, pentas ceramah bukanlah mahkamah.

Dikekalkan Jawatankuasa PAS Pusat sebagai ketua pengarah pilihan raya parti — melangkaui Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan tiga Naib Presiden Idris Ahmad, Mohd Amar Abdullah dan Ahmad Samsuri Mokhtar – parti itu melihat ada kelebihan Sanusi yang diyakini mereka untuk membuat percaturan parti itu dan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRU16 nanti.

Ia tidak akan jadi tugas mudah seiring dengan ucapan penggulungan Tuan Ibrahim yang menyatakan PAS yakin berpotensi besar memenangi Perak, Pahang, Selangor dan tidak mustahil Negeri Sembilan pada PRU akan datang berdasarkan gelombang sokongan rakyat kepada PN. Dalam pada itu, tambahnya, gelombang rakyat itu perlu diurus dengan PAS membina kekuatan organisasinya dengan memperkukuh dan memperkasakan penubuhan cawangan serta pertambahan keahlian.

Itu satu tuntutan yang harus difikir dan dibimbangi Sanusi kemudian sambil beliau harus dibiar seketika untuk menghadamkan kemenangan besarnya atas apa pun faktor sama ada kecerdikan, kelicikan atau keberaniannya. Seakan-akan terbayang ketika ini Sanusi menyorakkan “kepala…” kepada mereka yang menantikan kegagalannya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.