`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, October 20, 2023

Timbul lagi cerita PAS siap nak jadi kerajaan

 

PAS sedang bermuktamar. Semasa artikel ini ditulis Hadi Awang belum menyampaikan ucapan dasar presiden. Maka penulisan ini saya tumpukan kepada timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man ketika merasmikan Muktamar Pemuda PAS pada malam 18 Okt lalu.

Muktamar kali ini diadakan di Shah Alam yang kata Tuan Ibrahim sebagai penghargaan kepada PAS Selangor di atas “pencapaian cemerlang” pada pilihan raya negeri Ogos lalu. Kali terakhir PAS mengadakan muktamar di Selangor ialah 10 tahun lalu.

Pencapaian cemerlang yang disebut Tuan Ibrahim ialah sumbangan 10 (tapi beliau kata 11) kerusi DUN Selangor oleh PAS pada PRN yang diadakan 12 Ogos lalu. Bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional jumlah kerusi yang dimenangi 22 – tidak cukup untuk memerintah Selangor. Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menang 34 kerusi untuk mentadbir Selangor.

Pada sidang media selepas merasmikan muktamar sayap Pemudanya dua malam lalu, Tuan Ibrahim berkata kegagalan PN menawan Selangor pada PRN itu mengejutkan PAS. Maklumlah menjelang pilihan raya PAS yakin menang mengikut ramalannya.

Sebelum sidang media itu, dalam ucapan perasmian muktamar Pemuda, Tuan Ibrahim menyuarakan keyakinan PAS akan kembali ke Putrajaya kerana “kita punya peluang meneraju persekutuan dalam tempoh tidak berapa lama lagi.”

Beliau mendakwa dikunjungi ramai wakil kedutaan asing yang membuat kesimpulan masa depan negara terletak kepada PN dan “PAS akan menerajui”. Kata kuncinya PAS bukan Bersatu menerajui. Oleh itu, kata beliau, PAS harus bersedia menerajui kerajaan masa depan dan “Pemuda mesti melengkapkan hakikat tersebut dan bersama pimpinan menerajui kerajaan.”

Bagaimanapun bagi Pemuda PAS, kepimpinan partilah yang mesti lebih serius memberi ruang dan peluang kepada tenaga muda tampil ke depan bagi mengisi kemenangan pilihan raya. Ini kata ketuanya Ahmad Fadhli Shaari ketika menyampaikan ucaptama.

Ucapan beliau yang terakhir selaku ketua sayap. Fadhli tidak pertahankan jawatan pada pemilihan parti yang dijalankan pada muktamar ini.

Fadhli mengambil PRN di enam negeri sebagai contoh di mana pihaknya “sedikit terkilan” apabila penyertaan calon muda “begitu sedikit”. Pada hemat saya istilah ‘sedikit terkilan’ boleh membawa maksud ‘kecewa’.

Menurut beliau anak muda memberi sokongan tinggi kepada PAS dan PN pada PRU15 tahun lalu bagaimanapun pada PRN di enam negeri Ogos lalu penyertaan calon muda sangat minimum.

“Jika dibincang dari konteks ketua Pemuda negeri hanya satu ketua PAS negeri bertanding di kerusi Kota Anggerik di Selangor manakala lima negeri tidak membariskan ketua pemuda negeri atas pelbagai faktor,” kata Fadhli.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan apa “pelbagai faktor” yang menyebabkan lima ketua pemuda negeri tidak dipilih pimpinan sebagai calon.

Beralih pula kepada pemilihan PAS yang akan dijalankan pada muktamar kali ini. Seperti yang diumumkan lima jawatan teratas atau top five dalam PAS tidak dipertandingkan. Ertinya presiden, timbalannya, serta tiga naib presiden yang ada sekarang kekal di jawatan masing-masing.

Ada penganalisis politik berpandangan tidak ada pertandingan top five ialah untuk mengelak pergolakan besar seperti yang berlaku pada 2015 yang membawa kepada penubuhan Amanah. Ada penganalisis berpendapat masa depan PAS menjadi teraju negara boleh dipersoalkan dari segi penyediaan pemimpin pelapis.

“PAS dari segi kepimpinan tak sedia menjadi teraju negara, pelapis mereka hanya akur keputusan tertinggi. Mereka boleh kritik parti lain tapi parti sendiri tidak sedia bina kepimpinan,” kata Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya kepada FMT pada Sept lalu.

Zaireeni Azmi daripada Universiti Sains Malaysia memberitahu FMT ketiadaan cabaran bagi jawatan utama bukan sesuatu yang baik untuk masa depan kerana pertandingan perlu untuk melahirkan pemimpin pelapis.

Namun “walaupun tiada pertandingan ‘Top 5′ tetapi untuk AJK ada, muka baharu perlu tanding supaya sentiasa ada pelapis boleh beri nafas segar serta idea baharu… orang muda sekarang fleksibel bukan semua faham sifat wala’,” kata beliau dipetik FMT.

Kepimpinan PAS kita tahu nafi ada mengeluarkan arahan top five tidak dicabar. Bagi saya, sama ada barisan pelapis atau sesiapa yang memimpin PAS pada masa akan datang akan mengikut rentak dan berpandu acuan yang disediakan kepimpinan masa kini. Ertinya meneruskan apa yang ada.

Bukan ideologi yang saya maksudkan. Itu sememangnya tidak boleh diubah tetapi cara pelaksanaan dasar, strategi, dan taktik tidak akan berubah… kalau ada pun hanya sedikit. Negligible.

PAS pimpinan Hadi berbeza dengan PAS dipimpin Fadzil Noor dan Nik Aziz Nik Mat. PAS sekarang dilihat semakin hardline. Sejak berdampingan dengan bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, PAS kelihatan menjunjung konsep ketuanan Melayu berbanding konsep ‘PAS untuk semua’ tidak lama dahulu, meski pada PRK Parlimen Pulai Sept lalu konsep ‘PAS for all‘ diperkenalkan semula untuk menambat hati pengundi bukan Melayu.

Keputusan pilihan raya itu menceritakan segalanya. Mungkin PAS bergerak ke arah extreme right untuk mendapat imej kemelayuan demi kesesuaian dengan Bersatu, selain memperkukuhkan imej Islamis.

Namun bekas pimpinan tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman melihat Bersatu lah yang menjadi “pak turut” PAS dan menjadi “pelengkap agenda politik jumud” parti itu. Katanya, sekiranya Bersatu menjadi semakin ekstrem di bawah PN “sukar untuk bentuk kerajaan pusat kerana ia memerlukan kerjasama semua kaum termasuk blok Borneo yang ramai pribumi bukan Islam serta Muslim yang moderat.”

“Kalau setakat nak mempertahankan atau menawan negeri tradisional majoriti besar Melayu konservatif seperti Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu bolehlah, PAS yang untung akhirnya pun,” katanya.

Apa yang beliau kata bukan pendedahan baharu. PAS pun tahu betapa benarnya kata-kata itu. Namun mereka lakukan juga apa yang mereka lakukan. Mungkinkah mengekalkan pemerintahan di negeri disebut Faiz itu satu-satunya matlamat PAS? Sejak awal? Cakap-cakap untuk memerintah Malaysia hanya sekadar smoke screen? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.