`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 3, 2024

6 MP: Bersatu terdesak

 

Free Malaysia Today

Naratif dicipta Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam ikhtiar partinya untuk mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimennya yang berpaling tadah menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim nampaknya berubah lagi.

Dari detik parti itu meluluskan pindaan perlembagaannya 2 Mac lalu yang menyasarkan enam Ahli Parlimen (MP) terbabit — Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) — tindakannya seperti tidak keruan.

Tempoh berkempen menjelang PRK DUN Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Muhyiddin untuk meyakinkan pengundi bahawa partinya mahu mengotakan apa yang dikata agar enam MP terbabit dan ADUN Selat Kelang Abdul Rashid Asari yang beralih sokongan kepada Menteri Besar Amirudin Shari kesudahannya akan terpaksa mengosongkan kerusi.

Pada 27 Apr lalu, Muhyiddin mengesahkan tindakan ke atas atas enam Ahli Parlimen dan ADUN itu sedang dilaksanakan mengikut prosedur yang dianggapnya penting untuk mengelak berlakunya sebarang kesilapan dalam tindakan yang diambil.

“Saya tak perlu umumkan (tindakan berkenaan) kerana ia satu strategi kita. Tetapi (saya boleh sahkan) tindakan itu mengikut Perlembagaan Persekutuan serta perlembagaan parti berkaitan Akta Lompat Parti yang kita luluskan dalam Bersatu.

“Kita akan patuh prosedur supaya tiada kesilapan. Pihak bertanggungjawab akan dihadapkan dengan apa tindakan yang perlu kita ambil terhadap mereka,” katanya ketika hadir memberikan sokongan kepada calon PN bagi PRK DUN itu, Khairul Azhari Saut.

Ini disusuli kenyataan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin keesokannya bahawa Bersatu akan menyerahkan notis pengosongan kerusi kepada enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN yang menyokong kerajaan selepas selesai PRK.

“Selepas sahaja PRK Kuala Kubu Baharu, kita akan segera mengadakan mesyuarat MPT (majlis pimpinan tertinggi) untuk mengesahkan tindakan yang akan diambil. Sehari selepas mesyuarat itu, kita akan serah notis kepada enam ahli Parlimen dan seorang Adun yang menyokong kerajaan,” kata Hamzah.

Alih-alih Muhyiddin kelmarin menggesa pengundi di enam kawasan Ahli Parlimen di samping ADUN itu untuk terus mendesak wakil rakyat terbabit susulan gagal mengotakan janji kepada rakyat. Mereka, katanya, perlu menyampaikan rasa tidak puas hati kerana masih dibebani isu peningkatan kos sara hidup yang semakin ketara.

“Patut nasihat kepada Yang Berhormat, beritahu mereka, tukar (sokongan), jangan sokong lagi (perdana menteri). Kalau mereka sedar situasi yang kian menekan, rakyat sebagai pengundi boleh menyampaikan khabar berita buruk bahawa YB berhak buat keputusan (alih sokongan), tetapi rakyat tidak boleh tahan dengan keadaan kerajaan tidak bertanggungjawab, tidak amanah dan tidak melaksanakan janji,” katanya ketika ceramah umum PN di Kuala Kubu Baharu pada malam Selasa.

Kenyataannya ditempelak Syed Abu Hussin yang melontarkan pandangan bahawa parti itu patut segera menyerahkan notis pengosongan kerusi kepada beliau dan enam lagi yang sealiran dengannya tanpa perlu menunggu sehingga selesai PRK Kuala Kubu Baharu. “Buat apa tunggu lama, hantar segera notis,” katanya.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu sebelum ini pengkritik paling lantang Bersatu yang didakwanya masih tiada hala tuju yang jelas sehingga mengetepikan peranan Ahli-ahli Parlimennya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Mendakwa wakil rakyat parti itu jarang dilibatkan dalam mesyuarat parti mendepani masalah peruntukan kawasan, Bersatu langsung tidak ambil perhatian terhadap masalah kewangan semua Ahli Parlimennya.

Seperti Syed Abu Hussin, enam lagi Ahli Parlimen yang berkongsi pendirian dengannya tetap tidak berganjak untuk terus menyokong Anwar.

Di sebalik semua itu, Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee pada 13 April lalu mengesahkan parti itu belum menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul berhubung keahlian enam Ahli Parlimennya yang didakwa tergugur secara automatik selepas pindaan perlembagaan parti yang berkuat kuasa 1 April lalu.

Muhyiddin sebenarnya tidak perlu tercari-cari lebih jauh daripada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk mendapatkan jawapan. Ketua Pemuda Bersatu itu sebelum ini berkata beliau ragu-ragu Johari akan memenuhi permintaan parti itu untuk mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen terbabit. Ini didasarkannya kepada pendiran Johari sebelumnya terhadap empat Ahli Parlimen Bersatu dari Sabah yang meninggalkan parti itu selepas PRU15.

“Berdasarkan apa yang berlaku dengan kes kami sebelumnya dengan GRS, saya tidak fikir beliau (Johari) akan menyokong permintaan kami untuk kerusi (enam Ahli Parlimen yang menyokong Anwar) akan dikosongkan,” kata Wan Ahmad Fayhsal di luar Konvensyen Ahli Parlimen dan ADUN Bersatu di ibu kota 9 Mac lalu.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor ketika itu mengumumkan beliau bersama empat yang lain — Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Matbali Musah (Sipitang) dan Jonathan Yasin (Ranau) — meninggalkan Bersatu untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 2022.

Berikutan itu, Johari menolak permintaan Bersatu, sebaliknya membenarkan empat Ahli Parlimen dari Sabah itu mengekalkan kerusi Parlimen masing-masing.

Bersatu selepas itu mengambil tindakan undang-undang untuk Johari mengisytiharkan kerusi empat Ahli Parlimen itu kosong tapi ia ditolak Mahkamah Tinggi yang menyebut ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa keputusan speaker sama ada wujud kekosongan tidak boleh diadili di bawah Perkara 63(1) Perlembagaan.

Pada 17 Nov 2023, Bersatu memfailkan rayuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman berhubung keputusan Johari untuk tidak mengisytiharkan kerusi empat Ahli Parlimen Sabah itu kosong. Mahkamah Rayuan bagaimanapun masih belum menetapkan tarikh pendengaran rayuan.

Kiandee sebelum itu dilaporkan sebagai berkata Bersatu mengeluarkan surat penamatan keahlian kepada empat Ahli Parlimen terbabit pada 21 Dis 2022. Dakwanya, mereka ‘menyeberang’ dengan duduk di blok kerajaan sewaktu sidang Dewan Rakyat pada 19 Dis. Lantaran itu, katanya, ia menguatkuasakan Perkara 49A Perlembagaan yang menyatakan Ahli Parlimen akan kehilangan kerusinya jika berpindah parti kecuali jika dipecat oleh partinya atau ia dibubar atau dibatalkan pendaftaran.

Bersatu ketika itu menuntut Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Johari dan sebaliknya mengarahkannya mengisytiharkan empat kerusi Parlimen itu kosong. Kini, mereka harus menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Berkait kedudukan enam Ahli Parlimen itu pula, Johari pada 19 Februari lalu sudah menegaskan mereka tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing. Perkara penting Ahli Parlimen berkenaan perlu lakukan, katanya, adalah menyatakan secara bertulis bahawa mereka masih kekal ahli parti terbabit.

“Pada saya selagi mereka kata tidak ‘lompat’, dia tidak meninggalkan partinya, nyatakan secara bertulis yang mereka masih ahli Bersatu, dia sokong PM (perdana menteri). Jadi apa masalahnya?” jelasnya.

Sekarang, kita mungkin lebih jelas kenapa Muhyiddin mahu menggunakan pengundi di Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang, Jeli, Bukit Gantang, Tanjong Karang, dan Selat Kelang untuk menterbalikkan keadaan pada ketika Bersatu jelas makin terdesak. - FMT

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.